DALAM negara menghadapi krisis wabak covid-19 di samping cabaran ekonomi, kepimpinan memerlukan generasi bagi mencari solusi serta memulihkan keadaan tersebut agar dapat diselamatkan dan terus stabil.

Ekonomi dan pendidikan saling berkait bagi menjana pendapatan dan memenuhi keperluan sosioekonomi masyarakat.

Justeru itu sebarang perubahan dan cabaran yang dihadapi terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) negara memerlukan generasi bukan sahaja berpendidikan malah boleh berinovasi.

Zaltman et. al (1973) menjelaskan inovasi ialah idea, latihan atau bahan artifak yang kelihatan baharu pada unit yang menggunakannya.

Selain itu inovasi merupakan pembaharuan, modifikasi, atau membaiki idea, benda, ilmu dan ciptaan seni budaya tamadun dengan tujuan memenuhi fungsi-fungsi tertentu atau memenuhi cita rasa tertentu atau memenuhi pasaran tertentu (Sufean Hussin, 2001).

Hala tuju pendidikan negara hari ini jelas menggalakkan para guru dan anak murid kita untuk berinovasi. Hal ini dibuktikan menerusi dasar-dasar kerajaan dan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  (PPPM) 2013-2025.

Guru merupakan agen utama bagi menyemai budaya inovasi dalam kalangan murid-murid. Aktiviti inovasi juga dapat melahikan generasi yang bakal memimpin dunia ke arah kecemerlangan.

Impak inovasi dapat dilihat daripada penghasilan pelindung muka/ ‘face shield’ untuk keperluan barisan hadapan negara bagi menghadapi wabak covid-19.

Selain itu pelbagai cara perlu difikirkan oleh kepimpinan negara bagi membantu keperluan rakyat dalam menghadapi normal baharu terutama dalam pendidikan yang menuntut idea baharu dan modifikasi.  

Pendidikan bersifat dinamik yang menuntut perubahan mengikut perkembangan zaman. Kita tidak boleh terus konvensional bagi memenuhi keperluan murid dan generasi mendatang.

Perubahan perlu dilakukan melalui budaya inovasi agar pelbagai masalah dapat diselesaikan dengan baik dan berterusan. Keperluan murid yang pelbagai dan mencabar memerlukan guru yang inovatif demi mencapai matlamat proses pembelajaran.

Proses pembelajaran tidak mudah dilaksanakan tanpa permikiran yang inovatif dalam kalangan warga pendidik.

Justeru itu pihak pengurusan dan kepimpinan sekolah serta negara bukan hanya perlu menyediakan ruang dan peluang inovasi ini malah menambah peruntukan bagi menggalakan inisiatif kritikal ini.

Geran penyelidikan yang diperuntukan untuk universiti awam dan swasta juga boleh membantu para guru dan murid dalam menghasilkan produk inovasi.

Kini ramai dalam kalangan guru-guru yang kita yang memiliki kelulusan master dan PhD boleh berkarya dalam inovasi.

Hasil karya inovasi guru kita telah mencapai standard dan setanding di peringkat antarabangsa, justeru itu pertimbangan wajar dilakukan oleh kepimpinan negara dalam memberi peluang kepada para guru dan murid kita.        

Peluang dan ruang inovasi ini bermula dengan peranan pihak pengurusan dan kepimpinan sekolah. Pentadbir yang cakna akan melahirkan pendidik dan generasi yang berkemahiran dalam inovasi.

Aktiviti-aktiviti seperti mereka cipta bahan, permainan animasi, ICT, melukis dan pertandingan-pertandingan berkaitan yang dianjurkan untuk murid-murid dan guru boleh membantu menjayakan hasrat dan aspirasi tersebut.

Galakan penglibatan pelbagai peringkat oleh pihak luar turut membantu membina budaya inovasi ini, miskipun menghadapi kekangan tertentu seperti kewangan.

Cabaran atau masalah yang dihadapi juga boleh membantu dalam menghasilkan produk inovasi tetapi perlu bersifat membantu dalam menyelesaikan masalah bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.   

Jelaslah dalam situasi dunia dan negara menghadapi wabak covid-19, maka penyelesaian yang kritikal dan inovasi sentiasa digarap bagi membantu mengurangkan dan sekali gus menghapuskan wabak ini. 

Kerjasama dari semua rakyat yang membantu melalui pelbagai media sosial dengan inovasi video, nasihat dan animasi yang kemudian tular bagi mempromosi dan mematuhi PKP juga  memberi impak dalam menjayakan usaha kerajaan.

Semoga Malaysia terus melangkah meneroka pelbagai kejayaan dan kecemerlangan dengan budaya inovasi inshallah...

Terus perang Covid-19 ..kita mesti menang!     

Rujukan

Zaltman, G., Duncan, R. & Holbrek, J. (1973). Innovations and organizations. New York, NY: John Wiley and Sons.

Sufean Hussin (2001). Inovasi Pendidikan Di Kalangan Pengetua. Universiti Malaya

Oleh;

Dr Mohd Asnorhisham Adam & Muhammad Sabiq Mohd Noor

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Pasir Gudang, Johor

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital