Ekoran isu yang ditularkan menerusi media sosial berkaitan ketidakpuasan hati seorang guru tentang proses pertukaran guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa isu tuduhan tersebut amat berat melibatkan integriti pegawai-pegawai di KPM.

Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada GPS Bestari, KPM telah membuat laporan polis pada 3 Jun. KPM juga telah menggerakkan siasatan dalaman berkaitan isu yang dibangkitkan.

Laporan polis yang dibuat KPM pada 3 Jun lalu.

Kementerian juga menasihatkan guru-guru yang ingin membuat permohonan pertukaran supaya berhubung dengan KPM dan bukannya pihak luar atau pihak ketiga bagi mengelakkan unsur-unsur penipuan dalam menyelesaikan sebarang isu berkaitan permohonan tersebut.

Berkenaan isu ini, KPM menjelaskan proses kelulusan pertukaran guru adalah berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu Kepentingan Perkhidmatan, Kekosongan Perjawatan serta Keperluan Opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dimohon.

Manakala alasan-alasan permohonan yang diberi pertimbangan dalam menentukan kelulusan pertukaran tersebut melibatkan sakit kronik, ancaman keselamatan, mengikut pasangan, tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah dan lain-lain alasan munasabah dan wajar guru berkenaan.

Dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru dan kebajikan mereka, KPM juga perlu memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid.

Sementara itu, KPM juga memaklumkan permohonan pertukaran guru dibuka sekali setahun di Modul e-GTukar bermula 18 Februari 2018 hingga 25 Mac 2018.

Semua permohonan diproses mengambil kira alasan-alasan pemohon berdasarkan wajaran seperti ditetapkan dalam sistem e-GTukar. Keputusan kelulusan pertukaran dimuktamadkan oleh sebuah Jawatankuasa Pertukaran Guru di peringkat KPM.

Dalam tempoh tersebut, seramai 25,332 guru membuat permohonan pertukaran. Jumlah diluluskan bagi sesi Jun 2018 adalah 2,133 orang (8.42%), di mana kelulusan sekolah rendah seramai 1,257 (4.96%) dan bagi kelulusan sekolah menengah seramai 876 orang (3.46%).

Daripada jumlah tersebut, alasan tertinggi yang diberi kelulusan adalah kes mengikut pasangan seramai 951 orang (44.59%), diikuti kes tempoh berkhidmat seramai 387 orang (18.14%), lain-lain alasan munasabah seramai 368 orang (17.25%), kes sakit kronik seramai 219 orang (10.27%). kes permohonan bersama seramai 168 orang (7.88%) dan kes ancaman keselamatan seramai 40 orang (1.88%).