MENJELANG peperiksaan pastinya semua orang berpusu-pusu menuju ke perpustakaan. Taman ilmu itu dipenuhi selaut manusia. Kekadang sampai buku tertentu pun sukar didapati di rak. Berebut-rebut semuanya untuk meminjam dan membaca. Begitulah cara mengulang kaji dan membuat pelbagai persediaan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.

Sehari-hari, perbincangan adalah sekitar topik peperiksaan sahaja. Jarang yang membuka topik lain melainkan mereka yang tidak meletakkan sebarang sasaran pencapaian.

Ah, lantaklah!!

Golongan lantak inilah selalu rugi.

Menjelang Ramadan yang bakal menjengah, seharusnya persediaan kita lebih rapi. Ramadan menjanjikan hadiah seribu rahmat, barakah, perlindungan, kebaikan dan kasih sayang Allah yang tidak bertepi kepada hamba-hambaNya.

Kenapa kita tidak melakukan persediaan untuk meraih segala hadiah istimewa Ramadan ini daripada Allah?

Jadi, bagi yang jarang-jarang membaca al-Quran, bolehlah menanam tekad mula kembali membacanya dari sekarang.

Sikit-sikit pun tidak mengapa. Sesungguhnya perjalanan beribu langkah itu hanya akan bermula dengan langkah yang pertama diatur. Ingatlah, Ramadan tidak sampai sebulan lagi akan tiba. Kita sudah sangat hampir dengannya.

Boleh mulakan dengan membaca sehelai muka surat sehari andai sudah berbulan-bulan tidak menyentuh al-Quran. Mulakan usaha menanam amalan membaca al-Quran supaya kelak niat khatam Quran di bulan Ramadan akan kesampaian.

Lebih baik lagi jika dapat mengembangkan pencapaian membaca satu a’in atau satu maqra’ sehari. Atau lagi bagus semaqra’ setiap kali selesai solat fardu.

Barulah ketika melalui hari-hari di bulan Ramadan, bacaan al-Quran menjadi lancar. Stamina membaca al-Quran juga dapat dibanggakan. Tidaklah pancit sebelum mencapai sasaran bacaan. Lalu terus putus semangat membaca dan bertadarus dalam halaqah al-Quran.

Khatam al-Quran seharusnya diiringi dengan bacaan yang betul tajwidnya. Tepat makhraj hurufnya. Juga faham akan maksudnya (jika mampu).

Amalan yang konsisten sebelum Ramadan diharapkan kekal menjadi amalan yang juga konsisten di bulan Ramadan. Terus, semoga kekal diamalkan sehingga menjadi amalan yang soleh di sepanjang tahun melewati hari-hari sebagai seorang hamba yang taat.

Untunglah sesiapa yang melakukan persediaan sebelum Ramadan tiba. Sama keadaannya dengan mereka yang sudah melakukan persiapan memasuki dewan peperiksaan.

Hatinya tenang. Dan pastinya dia bakal menjadi orang-orang yang mendapat kejayaan yang besar di sisiNya. Biiznillah.

#MenantiRamadanTiba

Sumber: Facebook Mawaddah MN

- Merupakan seorang Guru Bahasa Arab Sekolah kebangsaan (SK) Bertam Perdana, Pulau Pinang