Sehari dua ni saya lihat ramai guru yang post pasal markah penilaian prestasi tahunan.

Ada yang dapat 80++, ada yang dapat 90++.

Ada yang sedih, ada yang gembira. Ada juga yang berasa markah yang diperoleh tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukan.

Kadang-kadang kita rasa kawan kita yang dapat 90% ke atas tu macam tak layak je dapat markah tu. Adil ke untuk kita?

Tidak mengapa cikgu. Kita lebih kenal siapa diri kita. Pentadbir yang memberikan markah itu pasti memberikan seribu alasan jika cikgu mempersoalkan mereka.

Jika cikgu masuk ke bilik guru besar/pengetua meminta penjelasan kenapa dapat markah yang rendah, semua itu akan jadi sia-sia.

Mereka tidak akan mengubah markah cikgu. Buat penat dan membazir air liur sahaja. Cikgu akan jadi lebih tertekan.
Cikgu sendiri tahu cara cikgu bekerja bagaimana. Jika cikgu berasa markah yang diberikan bersifat peribadi, biarkan saja. Itu urusan dia. Dia akan menerima

balasan di sana nanti. Saya pasti doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan. Cuma cikgu jangan putus asa.

Saya juga pernah alami apa yang cikgu rasa. Sedih, kecewa, marah dan tertekan. Saya merasakan markah yang diperoleh seperti saya tidak melaksanakan tugas dengan baik.

Tapi saya cuba untuk menjadi lebih positif. Saya jadikan ia sebagai pembakar semangat.

Ramai yang dapat 90 peratus tapi tidak menggunakannya untuk menjadi lebih cemerlang.

Saya antara guru yang tidak pernah merasa dapat angka 9 dalam penilaian prestasi tahunan. Saya hanya pernah merasa dapat 83, 84 dan 85++ sahaja paling tinggi ketika berkhidmat 'di sana'. Tapi Allah (SWT) kurniakan saya rezeki yang melimpah ruah di tempat lain.

Dan untuk pengetahuan cikgu, saya juga belum pernah menerima APC sepanjang saya berkhidmat sebagai guru.

Jangan bersedih cikgu. Teruskanlah berusaha. Jadilah cemerlang untuk diri cikgu sahaja. Betulkan niat kita. Insya-Allah hati cikgu akan lebih tenang dan gembira.
Kepada pentadbir yang membaca penulisan saya ini, jika guru tersebut sememangnya terlalu teruk dan tidak melaksanakan tugas hakikinya, tuan/puan memang berhak memberikannya  markah yang rendah.

Tapi jika tuan/puan memberikan markah rendah hanya kerana cikgu tersebut tidak sehaluan dengan anda dan bersifat peribadi, bermuhasabahlah.

Semak semula hati kita. Setiap yang kita lakukan sebagai seorang pemimpin akan dipersoalkan kelak.