DUHAI muridku, jagalah sikap dan peribadimu, terutamanya perkataanmu ketika berada di hadapan orang lain.

Jangan sampai kamu menjadi hina dan jatuh disebabkan oleh perkataan mu sendiri.

Sehebat manapun kamu janganlah  merendahkan orang lain hanya untuk mempamerkan kehebatan diri sendiri kerana ia tidak akan menjamin kamu kelihatan hebat mungkin sebaliknya yang terjadi.

Ramai juga antara kita sanggup berbohong dan menyebarkan  pembohongan hanya untuk memperlekehkan orang lain dan menonjolkan kehebatan kita.

Namun kita harus ingat bukan semua orang mempercayai pembohongan  kita.

Ada antara kita sering kali  menyalahkan dan mengkritik orang lain atas sesuatu tindakan yang dilakukan.

Mulut senang berkata-kata kerana diri sendiri tidak  berada dalam situasi itu.

Mungkin jika dialami sendiri tindakan mereka ini akan jauh lebih teruk daripada orang yang mereka kritik sebelum ini.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, hanya mereka yang  menanggung beban cabaran sahaja yang yang merasainya.

Orang lain hanya menilai melalui pengamatan sahaja. Entahkan betul  entahkan salah penilaian mereka itu.

Ramai juga yang mendabik dada mengakui dirinya terhebat dan mampu menyelesaikan sesuatu perkara tetapi apabila diberi peluang untuk  menyelesaikannya mereka hanya dia menikus atau meniru kembali cara orang sebelum ini.

Golongan ini umpama ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Jika ada orang yang lebih bagus  daripada kita, akuilah dan merendah diri kerana orang yang hebat sentiasa merendah diri serta belajar untuk memperbaiki diri.

Seperti kata orang tua-tua, menegur jangan sampai  menghina, mendidik jangan sampai memaki, meminta jangan sampai memaksa, memberi jangan  sampai mengungkit.

Jagalah perkataan dan sikap kita agar sentiasa  merendah diri.

MOHD RAUFIE OSHA MOHD YAMIN

Guru PPKI SK Taman Klang Utama, Selangor

Artikel Menarik:

Cikgu SK Ulu Lemanak redah laluan balak 150km selamatkan murid dari jerebu teruk di Lubok Antu

Mahu murid menjadi lebih kreatif...ini ada 17 tip untuk guru-guru jadikan panduan

'Jika hanya dengan pembedahan saya dapat pulih, saya sanggup asalkan dapat fokus belajar'