Tidak lama lagi pelajar Tingkatan Lima bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pasti banyak yang difikirkan, adakah mampu harunginya setelah melalui pelbagai cabaran.

Bagi membangkitkan semangat yang baharu, Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, merangkap Guru Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran berkongsi tip ini.

Saya mula berubah untuk mengubah hidup pada awal Tingkatan Lima. Semuanya bermula selepas balik dari kursus motivasi BTN di Ulu Sepri.

Saya masih ingat, pada saat kaki melangkah memasuki rumah, saya rasa seperti menjadi manusia baharu..

Azam baru

Selesai menyertai kursus, satu impian di hati saya, mahu berjaya dalam SPM. Saya mahu berubah. Saya mahu membanggakan emak dan abah.

Namun seingat saya perubahan itu perlahan pergerakannya. Persekitaran sentiasa menjadi penghalang utama untuk kita berjaya.

Namun, beberapa bulan menjelang percubaan SPM, saya mula serius untuk berubah. Saya membuat jadual dan bertanya pada guru-guru bagaimana hendak belajar.

Malah saya mencuba beberapa teknik belajar yang saya olah sendiri untuk membolehkan saya mampu menguasai subjek-subjek dalam SPM.

Antara kaedah yang saya gunakan ialah teknik 3M iaitu membaca, mengingat dan menulis semula.

Teknik ini sangat berkesan untuk membantu saya mengingat dengan pantas. Teknik ini juga saya kongsikan dalam buku saya, Nota Hati Buat Pelajar.

Tiada yang mudah dalam hidup.

Untuk kita berjaya, tiada jalan singkat. Dalam apa jua bidang yang kita lalui, pasti ada liku-likunya. Pasti ada kesusahan yang akan dihadapi.

Percayalah, tanpa kesusahan, tiadalah kejayaan. Lihatlah bagaimana susah dan peritnya jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya sebelum Islam berkembang.

Iya, itu sunnah dalam perjuangan menuju kejayaan.

Lalu adik-adik yang mahukan kejayaan, adakah dengan berazam dan berimpian sahaja, kejayaan itu akan tiba?

Ayuh, mulakan sekarang. Biarlah kita dianggap terlewat untuk memulakan. Apa yang penting kita memulakan. Apa yang penting kita memulakan sekarang kerana peluang itu masih ada.

Jika ada yang memandang sinis, tunjukkan wajah yang manis kerana anda sedang menikmati kemanisan sebuah perjuangan.

Buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan SPM minggu hadapan dan pelajar STPM yang tidak lama lagi, percayalah, setiap ujian itu Allah datangkan bersama hikmahnya.

Moga adik-adik sentiasa sabar dan tenang berhadapan dengan ujian yang berat ini, serta tidak berputus asa sehingga akhirnya adik-adik beroleh kejayaan yang cemerlang.

Sesungguhnya, kejayaan pada waktu itu sangat manis untuk dinikmati.