JIKA kamu tak tahan menanggung penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan, demikian pesanan dari tokoh tersohor Islam, Imam As-Syafie.

Justeru setiap insan perlu akur bahawa untuk belajar ianya memerlukan proses yang panjang dan menuntut komitmen yang tinggi.

Sehubungan itu, para murid harus akur dengan segala tuntutan pembelajaran untuk mencapai kejayaan.

Beberapa perkara perlu diberi perhatian untuk setiap insan mencipta kejayaan demi kesenangan pada masa depan.

1.  Menjemput kejayaan

Analogi paling mudah, cuba kita bayangkan apabila ibu bapa kita maklumkan bahawa ibu bapa kita telah menjemput sahabat mereka atau saudara sendiri datang bertamu di rumah.

Lebih-manis lagi, apabila ibu bapa kita maklumkan bahawa mereka akan mengadakan majlis sambutan hari lahir kita sendiri. Dan, itu mungkin kali pertama sambutan hari lahir kita. 

Apakah yang akan berlaku? Adakah ibu bapa kita akan membiarkan rumah bersepah? Atau adakah ibu bapa kita tidak membuat persediaan dari segi jamuan untuk para tamu?

Saya pasti, anak-anak menjadi insan yang turut sibuk saat ibu bapa maklumkan kediaman kita akan dikunjungi oleh insan-insan istimewa dalam hidup kita dan juga mereka sendiri.

Pasti sibuk kita menghias kediaman dengan dekorasi yang sesuai dengan majlis sambutan lahir walaupun ianya adalah hanya sekadar sederhana. Kita juga akan menyediakan aneka juadah walaupun mungkin ianya hanya sekadar dibeli atau ditempah.

PERSIAPAN tetap dilakukan. Kita juga pastinya akan berpakaian yang sedikit cantik berbanding pakaian basahan.

Begitulah kejayaan, ianya apabila dijemput akan menjadikan kita membuat pelbagai persediaan untuk berusaha bersungguh-sungguh agar kita memperoleh kejayaan hasil segala penat lelah.

Kita letakkan matlamat yang jelas dan spesifik. Contohnya, apakah keputusan SPM yang kita sasarkan? Kemanakah kita akan melanjutkan pengajian dan kursus apakah yang akan kita ikuti?

Apakah kerjaya yang mungkin kita berjaya perolehi? Beranikah kita untuk membuang masa dengan gajet dan media sosial?

Beranikah kita membuang masa dengan melayan ‘game’ hingga kita berjaga hingga awal pagi dan lantas ponteng sekolah atau kalau hadir ke sekolah pun tetapi tanpa menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru atau tidak mampu fokus dalam bilik darjah.

Dengan mempunyai matlamat yang jelas dan spesifik ini, segala tingkah laku, emosi dan pergaulan kita akan sentiasa dalam keadaan terancang dan terkawal.

Pasti kita akan memperuntukkan masa, tenaga dan mungkin wang untuk melakukan pelbagai persiapan bagi menghadapi peperiksaan untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Kita akan menghadiri kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah, menyiapkan pelbagai tugasan yg diberi oleh para guru dan mungkin kita mencari soalan-soalan dari internet atau buku rujukan yang dibeli. Semuanya dilakukan sebab kita tahu dan percaya bahawa kejayaan tidak akan datang bergolek.

2.  Kenali diri dan keluarga

Setiap murid perlu ‘kenal’ diri dan keluarga. Beruntunglah jika dilahirkan dalam dulang emas. Tetapi, majoritinya Status Sosio Ekonomi keluarga mungkin berpendapatan sederhana atau mungkin miskin dan lebih parah adalah miskin tegar.

Adakah kita ingin meneruskan kerjaya keluarga kita pada masa akan datang? Jika bapa kita adalah Pengarah syarikat beliau sendiri, maka kita mungkin berpeluang mewarisi jawatan tersebut, tetapi harus diingat masih ramai lagi adik beradik kita juga masing-masing mengimpikan jawatan tersebut.

Jika bapa kita sebagai penoreh getah pula adakah kita akan menyimpan impian untuk mewarisi kerjaya tersebut. Umum mengetahui bahawa remaja di Malaysia tidak berminat untuk berkerja dalam kerjaya 3D iaitu Dirty (Kotor), Dangerous (Bahaya) dan Difficult (Sukar).

Kita perlu mengenali diri dalam erti kata kita mengetahui setiap potensi yang dimiliki serta segala kekuatan dan kelemahan kita. 

Justeru, jika kita sudah mengenali  siapa keluarga kita, masihkah kita akan membiarkan waktu berlalu dengan cara kita melibatkan diri dengan gejala sosial atau mungkin membuang masa melayari media sosial.

Cuba fikirkan sejenak, adakah kita sudah mengenali kekuatan yang dimiliki. Kita gunakan sepenuhnya kekuatan yang dimiliki untuk meraih kejayaan. Jika tidak gunakan sekarang, bilakah kita akan gunakannya?

Kenapakah kita perlu menyimpan kekuatan yang kita miliki? Remaja selalu berbangga menyebut, masa remaja hanya sekali.

Sebab itu mereka mahu ‘enjoy’ sepuas-puasnya masa remaja. Jika mereka sedar bahawa meniti zaman remaja hanya sekali, sudah pasti mereka akan mmanfaatkan sepenuhnya usia remaja agar mereka peroleh manfaat saat usia mencecah alam dewasa.

Begitu juga dengan keburukan. Sebagai insan yang normal, kita sememangnya menyedari kekurangan yang dimilki. Misalannya, kita bukan dikurniakan daya ingatan yang tinggi.

Jika kita menyedari akan kekurangan itu, pastinya kita akan menyiapkan nota yang bersaiz poket untuk sentiasa dibawa bersama dan dibaca ketika mempunyai waktu terluang.

Bukan itu sahaja, kita juga akan menyiapkan peta minda dan dilekatkan di dalam bilik kita sendiri atau di rumah yang mudah kita akses. Ianya sangat membantu para murid untuk mengingati isi pelajaran terutama untuk subjek yang sukar.

3.  Sentiasa hormat pada guru

Keberkatan ilmu amat berkait dengan cara seseorang murid menghormati guru. Keberkatan merupakan suatu aspek yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Perkara yang paling sensitif adalah cara kita mk elayani guru.

Walau mungkin, murid tidak berminat dengan subjek tertentu, tetapi setiap arahan guru terutama berkaitan tugasan guru berkenaan hendaklah disiapkan. Usah sesekali mencebik bibir kepada guru. Apatah lagi biadap terhadap guru.

Perkara yang paling ditakuti oleh setiap murid adalah terlupa atau tidak mampu menjawab sesuatu soalan. Walaupun hakikatnya, para murid sudah mengulangkaji topik tersebut saat sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

 4.  Jadikan kegagalan lalu sebagai pemangkin mencipta sejarah diri

Pengalaman adalah guru sejati. Demikian kata bijak pandai tentang cara kita menangani setiap keadaan.

Sehubungan itu, setiap murid seharusnya tidak terus dibuai perasaan sedih dek hanya kerana pernah mengalami kegagalan dalam sesuatu subjek atau peperiksaan.

Bangkit dengan emosi orang berjaya. Telah terbukti, ramai tokoh di dunia mempunyai sejarah dalam kegagalan. Mana mungkin kita sekarang mampu menggunakan lampu seandainya Thomas Edison berhenti saat beliau gagal mencipta lampu. Namun, beliau tidak berputus asa hingga berjaya dan sekarang kita terus menikmati lampu hasil ciptaan beliau.

Lakukan perubahan dan berjumpalah dengan guru Bimbingan dan Kaunseling untuk meluah perasaan sedih akibat kegagalan dan mengadakan perbincangan tentang proses yang perlu dilakanakan untuk menuju kejayaan.

Setiap dari kita tidak pernah tahu bila masanya akan tiba untuk kita memperoleh kejayaan. Justeru, mulakan langkah hari ini dengan emosi orang Berjaya dan teruskan melangkah walau jalan di hadapan agak sukar. Mungkin ada sinar di hujung jalan.

5.  Berkongsi ilmu

Rakan sebaya memberi  pengaruh yang besar kepada murid. Justeru, kita dapat memanfaatkan hubungan ini dengan menggunakan kelebihan itu untuk pendidikan.

Remaja akan lebih mudah memahami dan mengingati isi pengajaran sekiranya ianya disampaikan oleh rakan sebaya mereka. Perbincangan kumpulan yang berfokus dan terarah ini akan mampu memudahkan pengajaran ilmu disampaikan.

Si pandai akan membantu sahabatnya yang lemah dalam subjek tertentu. Kumpulan perbincangan yang dibentuk secara simbiosis ini iaitu ada gabungan pelajar yang mempunyai kelebihan dari subjek yang berbeza akan mudah difahami.

Apabila masing-masing menggunakan kelebihan untuk membantu para sahabat maka ianya secara tidak langsung mewujudkan kumpulan murid yang berjaya. Bukan sekadar melibatkan sahabat di dalam kelas kita sahaja.

Murid dari kelas lain yang agak cemerlang boleh membantu murid yang berpencapaian sederhana atau lemah dalam Program Guru Muda.

Apabila kita mengajar orang lain ilmu kita tidak akan berkurang malah pemahaman kita menjadi lebih kukuh dan ingatannya pula adalah secara jangka panjang.

6.  Menjadikan guru sebagai ‘sahabat’

Bagi murid yang masih belum dapat menguasi sesuatu topik, bertemulah dengan guru. Paling baik, seandainya pertemuan itu dilakukan secara berkala dan berjadual.

Ini kerana para guru juga terikat dengan jadual mereka. Jadi, para murid boleh bertanya subjek tersebut hingga mereka memahaminya. Kalau tak kenal maka tak cinta. Begitulah dengan subjek yang dipelajari. Murid akan hilang minat seandainya mereka tidak memahami pengajaran guru.

Kesimpulannya, peribahasa Melayu telah menyebut bahawa yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang. Jadi sebagai murid, kita seharusnya sentiasa berusaha tanpa mengenal erti jemu dan tidak berputus asa untuk mengecapi kejayaan.

ZURINA ZAKARYA

GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SMK JERAI, KUPANG, KEDAH

Artikel lain:

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020