Masyarakat sedia maklum, masalah besar yang sering dihadapi oleh murid-murid pedalaman, adalah kesukaran mengakses internet  sehingga menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Prihatin dengan keperluan murid-murid SK Nanga Oyan Kapit, Sarawak, sekumpulan 14 guru dan lapan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), dari sekolah itu sanggup berperahu menempuh laluan sungai yang dalam dan deras hanya kerana ingin menghantar kerja sekolah ke beberapa buah kampung sekitar sungai Oyan, Mujong, Kapit.

Menurut Guru Prasekolah, SK Nanga Oyan Kapit, Cikgu Fadilla anak Layang, inisiatif tersebut dilakukan kerana tidak mahu sebahagian murid sekolah itu ketinggalan dalam pelajaran.

“Masalah ketiadaan capaian dan akses internet di kawasan pedalaman menyebabkan pembelajaran maya tidak dapat dilaksanakan.

“Jadi, pihak sekolah telah melaksanakan program Ruai Based Learning khas kepada murid-murid yang tinggal di rumah panjang sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP ini,”katanya.

Kata Fadilla, rumah panjang moden ataupun tradisional amat sinonim dengan penggunaan ‘Ruai‘ dalam kehidupan seharian masyarakatnya.

Ruai bererti kawasan ruang legar yang luas dan terbuka merupakan tempat yang sering kali digunakan untuk majlis, pertemuan umum, perbincangan dan sebagainya.

Ditanya mengenai latar belakang murid-murid SK Nanga, Fadilla berkata, selain masalah capaian internet, rata-rata murid yang tinggal di pedalaman tidak mempunyai keperluan asas seperti alat tulis dan pakaian seragam sekolah mencukupi, memandangkan mereka berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Untuk memastikan mereka tidak keciciran dan ketinggalan, kami berusaha mendedahkan mereka dengan kemudahan digital seperti televisyen, komputer riba dan sebagainya agar seiring dengan perkembangan pendidikan masa kini,”katanya.

Pembahagian zon

Tambah guru asal Kapit itu lagi, kerja pengagihan dibahagikan mengikut zon. Zon satu  menuju ke kawasan hilir sekolah iaitu ke Rumah Bangkong, Rumah Weng dan  Rumah Nawin.

Manakala zon dua pula guru-guru perlu memudik Sungai Oyan menuju ke Rumah Jimmy Jarraw dan Rumah Lumpun.

Sementara zon tiga, melibatkan Rumah Dawin, Rumah Peter, Rumah Sengiang, Rumah Nisson dan Rumah Along.

Kesemua rumah panjang tersebut terletak di pinggir Sungai Mujong, Kapit.

 “Pengangkutan utama untuk menghantar latihan hanyalah perahu panjang sahaja, sebab tiada jalan darat yang boleh menghubungkan sekolah dengan rumah panjang.

 “Walaupun terpaksa meredah arus sungai yang deras dan dalam, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat kami. Tambahan pula, guru besar sekolah kami sentiasa memberikan kata semangat dan turut sama dalam program ini,”jelasnya.

Jarak berbeza

Jelas Fadilla lagi, untuk ke rumah panjang yang terletak di zon satu, perjalanan hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit.

Berbeza dengan  zon satu dan tiga, masa yang diperlukan untuk sampai adalah satu jam setengah, memandangkan jaraknya yang agak jauh.  

“ Zon satu diketuai oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, manakala zon dua dan tiga diketuai Penolong Kanan 1 dan Guru Besar sendiri,”tambahnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Nanga Oyan, Mohamad Mobun berkata, beliau menyokong penuh program yang dianjurkan.

Malah beliau juga turut memantau lembaran kerja dan latihan sebelum ia diberikan kepada murid.

”Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah Kapit turut memberi sokongan dan kerjasama. Ia sedikit sebanyak dapat membantu murid-murid pedalaman tidak keciciran dalam pelajaran,”katanya.

Tambah beliau, ibu bapa juga menyambut baik kedatangan warga sekolah, malah mereka turut risau sekiranya anak-anak ketinggalan dalam pelajaran.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar setiap rumah panjang ditubuhkan biro pendidikan, berfungsi untuk mengurus dan mengendalikan proses belajar mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Setiap biro itu akan dikendalikan sendiri oleh penghuni rumah panjang. Ketua rumah panjang atau lebih dikenali sebagai Tuai Rumah di sini akan berperanan seperti Guru Besar.

Manakala biro pendidikan yang dilantik bertanggungjawab sebagai Penolong Kanan, sementara ibu bapa dan adik beradik pelajar yang mempunyai latar belakang pendidikan akan menjadi fasilitator,”katanya.

Kongsinya, setiap biro akan membuat laporan mudah berkaitan perjalanan proses pembelajaran, ia secara tidak langsung dapat mengenal pasti tahap pencapaian setiap murid.

Pada akhir program, pengiktirafan dalam bentuk sijil dan hadiah akan diberikan kepada semua yang terlibat, sebagai tanda terima kasih atas kerjasama yang dihulurkan.

 Barisan guru terlibat

  1. Mohammad Mobun (Guru Besar)
  2. Mohd Fadzia Termize (PK1)
  3. Kilat Stonie anak Nading (PKHEM)
  4. Jaffery anak Belitang (PKKOKU)
  5. Mohd Syauqi Abu Hassan
  6. Khairul Anwar Othman
  7. Mohd Noor Afiq Abu Bakar
  8. Nur Nadirah Khairul Annuar Asya'ari
  9. Noor Amalina Hassan
  10. Dominic anak Henry
  11. Fadilla anak Layang
  12.  Corina anak Lang
  13. Muhamad Zuhairi Mohd Shukri
  14. Ruddy anak Sibat

Menarik di dalam

Orang Jepun guna teknik rangsang otak kanan.. patutlah murid mereka cepat pandai (4 tip berkesan)

Lima sebab badan cikgu sering letih dan lesu. Rupa-rupanya ini yang cikgu lakukan...

Antara ciri-ciri pentadbir yang diinginkan guru-guru di Malaysia...Ini senarainya

Enam tip emosi sihat untuk calon SPM 2020 amalkan