PUTRAJAYA - Kanak-kanak bukan warganegara dan tanpa dokumen boleh diterima masuk ke sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan namun perlu memenuhi beberapa syarat.

Timbalan Pengarah Sekolah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Pesol Md Saad berkata, syarat ketat akan dikenakan ke atas kanak-kanak ini, rentetan status mereka.

Jelasnya, terdapat empat kategori kanak-kanak bukan warganegara yang boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.

“Kategori itu adalah anak kakitangan kedutaan asing, anak yang ibu bapanya bukan warganegara tetapi bekerja dalam perkhidmatan atau agensi kerajaan, badan berkanun atau mana-mana tempat lain dengan permit kerja sah.

“Anak yang ibu bapanya adalah pemastautin tetap Malaysia atau kanak-kanak yang dipilih kerajaan untuk melanjutkan pelajarannya di Malaysia melalui mana-mana memorandum persefahaman atau perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan kerajaan negara kanak-kanak itu,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan, kelmarin.

Sementara itu menyentuh mengenai dokumen diperlukan sebelum kanak-kanak ini diterima masuk ke sekolah, Pesol berkata, ia perlu disertakan bersama borang permohonan Jadual Pertama P.U.A (275), sijil lahir mereka atau kad pengenalan, pasport mereka dan ibu bapa.

“Jika ibu bapa kanak-kanak ini bekerja di negara ini, ibu bapa perlu mengemukakan pas pengajian, pas tanggungan, surat majikan yang telah disahkan, pas pelajar dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan membuat bayaran fi di Unit Kewangan, Jabatan Pendidikan Negeri berkenaan,” katanya.

Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia turut memberi laluan kepada kanak-kanak bukan warganegara atau tanpa dokumen meneruskan persekolahan.

Syarat bagi anak tanpa dokumen

Bagi kanak-kanak tanpa dokumen, pemohon perlu mengemukakan kad pengenalan ibu atau bapa yang warganegara Malaysia, mempunyai surat pengesahan atau surat perakuan sama ada daripada Ahli Parlimen, Adun, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung, ketua kaum atau ketua rumah panjang tempat tinggal kanak-kanak tersebut.

Menurut Pesol, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu diberi tempoh dua tahun untuk menguruskan dokumen pengenalan diri atau membuat permohonan kewarganegaraan kanak-kanak itu dengan mengemukakan satu salinan kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi tujuan rekod.

“Kanak-kanak ini boleh ditamatkan persekolahan jika ibu atau bapa atau penjaga gagal mengemukakannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri dalam tempoh tersebut,” katanya.

Jelasnya, borang permohonan Jadual Pertama P.U.A (275) persekolahan kanak-kanak itu perlu dikemukakan di Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berhampiran.

Tegas beliau, kanak-kanak berkenaan perlu bayar yuran pengajian sebelum diterima masuk ke sekolah.

“Kanak-kanak ini perlu bayar yuran ditetapkan Kementerian Pendidikan sebanyak RM120 untuk sekolah rendah dan RM240 untuk sekolah menengah selama setahun.

“Bayaran boleh dibuat di Unit Kewangan Jabatan Pendidikan Negeri berkenaan sebelum diterima masuk ke sekolah,” katanya.

Mengenai status ibu bapa kanak-kanak bukan warganegara yang tidak bekerja dalam perkhidmatan atau agensi kerajaan atau badan berkanun tetapi mempunyai permit kerja sah, ibu bapa kanak-kanak itu perlu mengemukakan pas pengajian kategori I bergaji RM10,000 ke atas dengankontrak minimum dua tahun atau pas penggajian kategori II yang bergaji RM5,000 hingga RM9,999 dengan kontrak kurang dari dua tahun, yang membenarkan mereka membawa tanggungan sepanjang tempoh bekerja di negara ini.

Pesol

Anak angkat boleh bersekolah

Ada beberapa kategori lain kanak-kanak bukan warganegara boleh ke sekolah sekiranya memenuhi syarat ditetapkan, antaranya kanak-kanak bukan warganegara yang telah diambil oleh warganegara Malaysia sebagai anak angkat, kanak-kanak bukan warganegara hasil perkahwinan tidak mengikut undang-undang Malaysia iaitu bapa adalah warganegara dan ibunya bukan warganegara.

Ini termasuk kes kanak-kanak tanpa dokumen, dengan salah seorang ibu atau bapanya warganegara.

"Mengenai keperluan dokumen bagi kategori ini, pemohon perlu kemukakan Sijil Pengangkatan atau Perintah Mahkamah hak penjagaan kanak-kanak itu atau Surat Akuan Penjagaan Kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Bagi kanak-kanak bukan warganegara hasil perkahwinan tidak mengikut undang-undang, pemohon perlu kemukakan Sijil Pengangkatan, Perintah Mahkamah atau surat perakuan daripada Ahli Parlimen, Adun, pegawai daerah, ketua kampung, ketua kaum atau ketua rumah panjang tempat kanak-kanak itu tinggal,” katanya.