Lazimnya, sekolah tahfiz sering digambarkan sebagai sebuah tempat buruk, kotor, daif.

Namun, menjejakkan kaki ke Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Kompleks Anak yatim dan Tahfiz Darul Hijrah, Chendering, Kuala Terengganu yang menempatkan lebih kurang 160 pelajar, persepsi itu hilang.

Apa tidaknya, sebagai sebuah pusat tahfiz yang diuruskan oleh orang persendirian, kemudahan infrastruktur madrasah ini boleh dibanggakan sekali gus melenyapkan gambaran buruk terhadap sekolah pondok.

Pengerusinya, Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latif berkata, sekolah itu mempunyai 10 kelas kesemuanya dilengkapi pendingin hawa.

Beliau turut mewujudkan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelajar menuntut ilmu.

Antara kelengkapan yang terdapat di Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Kompleks Anak yatim dan Tahfiz Darul Hijrah.

Antara kemudahan itu adalah kolam renang yang turut dibuka kepada orang awam, taman permainan kanak-kanak untuk kanak-kanak tadika dan murid sekolah rendah, perpustakaan, internet unifi, kantin, surau dan asrama yang selesa.

“Sekolah ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan pelajar selain empat unit televisyen bersaiz 70 inci sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran agar pelajar seronok belajar.

“Selain sesi pembelajaran biasa, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti sukan dan kemahiran seperti silat, badminton, kelas memasak dan menjahit untuk perempuan serta pertukangan bagi pelajar lelaki,” katanya.

Taman permainan turut disediakan sebagai lokasi riadah pelajar taska dan sekolah rendah.

Beliau berkata, sesuai dengan perkembangan teknologi kini, madrasah itu turut bergerak seiring arus kemodenan apabila pelajarnya menghafaz al-Quran melalui Stiffin Personaliti.

Melalui kaedah itu katanya, setiap pelajar akan menghafaz al-Quran menggunakan bahagian otak paling dominan sama ada analitis, kreatif, memori dan fisik, emosi atau hubungan perasaan dan serba boleh yang dikenal pasti dengan alat pengimbas jari.

Wan Muhamamd Mizan

“Kaedah ini terbukti berkesan kerana pelajar mampu hafaz 30 juzuk al-Quran hanya lima bulan berbanding cara biasa yang mengambil masa tiga tahun untuk bergelar hafiz.

“Kami berhasrat mengembangkan kaedah ini dengan membina 10 kelas baru untuk menempatkan pelajar mengikut personaliti genetik masing-masing dalam kelas sama agar kaedah pengajaran lebih mudah dan berkesan,” katanya.

Pusat tahfiz daif ditambah baik

Sementara itu, Kerajaan Terengganu akan mendahulukan sekolah tahfiz daif dan mengalami kerosakan khususnya melibatkan aspek pendawaian elektrik untuk ditambah baik bagi mengelak berlaku tragedi kebakaran.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata, hampir 80 peratus sekolah tahfiz di negeri ini masih belum mematuhi piawaian ditetapkan.

“Di Terengganu kita mempunyai 81 sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan hampir 60 lagi belum berdaftar.

“Hasil siasatan mendapati, sebahagian daripada jumlah itu adalah sekolah atau maahad tahfiz yang benar-benar uzur khususnya dari segi pendawaian elektrik,” katanya.

Ghazali

Sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa pihak lain untuk tindakan lanjut.

“Kita akan bekerjasama bagi membuat bancian atau memilih sekolah yang perlu didahulukan dari segi bantuan penambahbaikan aspek pendawaian di pusat pengajian terlibat.

“Kita juga percaya, bagi menyelesaikan kesemua masalah pendawaian di semua sekolah tahfiz berdaftar mungkin kita tak mampu lakukan dalam masa yang singkat kerana ia memerlukan satu jangka masa tertentu, jadi, kita akan buat bancian dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazali berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada Pusat GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggarakan sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz berdaftar di Malaysia.

“Alhamdulillah, ini adalah usaha kerajaan yang prihatin masalah melibatkan aspek keselamatan pelajar,” katanya.

Apa kata mereka

Mohd Mokhtar Abdullah, 61

Kerja sendiri

"Sebelum menghantar anak ke sekolah tahfiz, saya akan tititberatkan kemudahan asas sekolah berkenaan seperti tempat tinggal dan suasana belajar yang baik. Faktor itu dapat membantu pelajar untuk belajar dengan baik selain memudahkan kehidupan mereka nanti."

Mohd Danish Daves Dayoh, 37

Pekerja swasta

"Keselamatan sekolah tahfiz paling diutamakan. Sekolah tahfiz perlu ada sijil layak menduduki (CF) daripada bomba. sebabnya kita tidak mahu kejadian dan apa-apa tragedi sebelum ini berulang lagi."

Mohd Isa Saud, 42

Guru

"Saya hantar anak di sekolah dan pusat pengajian yang berasaskan tahfiz. Apa yang saya titikberatkan adalah sistem pembelajaran dan kemudahan asas supaya anak-anak mudah memahami al-Quran. Yuran pengajian juga antara faktor yang perlu difikirkan."

Ahmad Hazarul Ahmad Bakhtia, 29

Peniaga

"Pada saya, perkara pertama yang perlu dilihat adalah sekolah itu. Kita kena kaji latarbelakangnya. Kita juga perlu tahu tenaga pengajar sama ada mempunyai tauliah atau tidak. Selain itu, faktor keselamatan sekolah itu juga perlu dititikberatkan."