CARA pandang kita terhadap konsep kejayaan dalam pendidikan sebenarnya sangat bergantung kepada sistem kepercayaan (mindset) kita.

Sudah sekian lama kita percaya bahawa pelajar yang mendapat nombor 1 lebih baik daripada pelajar yang mendapat nombor 20.

Saya mendapat banyak sekali soalan dari ibu bapa setelah kita memutuskan untuk memansuhkan peperiksaan Tahap 1, yang melibatkan Tahun 1,2 dan 3.

Mereka musykil dan gusar bagaimana kejayaan anak mereka diukur. Sudah berpuluh tahun mereka datang bertemu dengan pengetua dan bertanyakan soalan, "Anak saya dapat nombor berapa?"

Cabaran kita adalah untuk merobohkan mitos ranking ini. Kita tidak mahu anak-anak bangsa kita dinilai dengan cara yang tidak adil dan menyeluruh. Kita mahu pelajar yang mendapat nombor 20 tidak merasa dirinya bodoh dan tidak disayangi.

Sebab itulah kita mahu mengubah sudut pandang sebegini, dan ianya bermula dengan melihat nilai sebagai bentuk kejayaan.

Tidak mengapa sekiranya anak kita tidak mendapat nombor 1, tetapi anak kita tidak pernah biadab, tidak pernah lupa untuk berterima kasih kepada kita, dan sangat menghormati orang lain.

Tidak mengapa anak kita tidak menjadi pelajar paling pandai di sekolah, tetapi anak kita cintakan ilmu, rajin membaca, dan penuh dengan rasa ingin tahu.

Ini semua ialah nilai kejayaan dan ia tidak boleh dipandang sebelah mata, malah kita semua perlu mengiktirafnya. Inilah definisi sebenar kepada sebuah kejayaan, seperti kata HAMKA:

"Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang."