KETIKA ini, wabak Covid-19 masih menjadi agenda utama bagi setiap negara dengan menyediakan pelbagai langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

Perintah Kawalan Berkurung yang seharusnya berakhir pada penghujung Mac ini akhirnya dipanjangkan tempohnya kepada 14 April 2020.

Keprihatinan pihak kerajaan terhadap semua rakyat Malaysia, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan pelbagai inisiatif  bagi mengurangkan beban rakyat yang perlu ditanggung pada ketika ini.

Oleh yang demikian, tindakan ‘duduk di rumah’ merupakan tindakan yang harus kita patuhi dan sebagai guru tanggungjawab mengajar tidak terhenti di situ.

Tugas mengajar memerlukan komunikasi berterusan antara guru dengan murid untuk penyampaian pengetahuan.

Pelaksanaan pembelajaran maya dan jarak jauh untuk memastikan kesinambungan pembelajaran itu berlaku ketika di rumah. Pembelajaran jarak jauh boleh berlaku tanpa kehadiran murid di sekolah dan berlaku secara maya khususnya dalam situasi sekarang (Ibrahim & Van, 2019).

Pembelajaran ini memberikan fleksibiliti terhadap masa, tempat dan cara pembelajaran murid.

Dalam era ini, ia merupakan kelebihan kepada murid untuk belajar daripada pelbagai sumber dan bahan pembelajaran yang disediakan secara atas talian.

Ketika ini rakan guru juga tidak putus-putus mengadakan pelbagai kumpulan secara atas talian khusus meningkatkan kompetensi guru dalam pembelajaran digital.

Kompetensi merupakan perkara tunjang dalam pelaksanaan pembelajaran digital disamping teknologi dan infrastruktur membantu dalam pembinaan bahan pembelajaran untuk murid-murid (Colbran& Al Ghreimil,2013).

Kumpulan seperti CikgooTube dan JDT- Guru Sukarelawan Digital merupakan usaha guru-guru menyediakan dan berkongsi bahan pengajaran terutamanya dalam bentuk video yang boleh dikongsi kepada murid-murid yang berada di rumah.

Dalam kumpulan tersebut, terdiri daripada pelbagai latar guru, diberikan tunjuk ajar pelaksanaan, berkongsi idea dan pendapat serta bantuan-bantuan khususnya dalam pelaksanaan pendidikan  digital.

Dalam keterujaan guru menyediakan bahan pembelajaran, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil pertimbangan antaranya keperluan dan latar belakang murid.

Keperluan dan latar ini melihat kepada akses internet dan perkakasan digital selain aplikasi yang digunakan oleh guru yang disimpulkan sebagai ’ease of control’ dalam pembelajaran murid.

Dalam beberapa kajian menunjukkan cabaran pelaksanaan pembelajaran jarak jauh adalah kemudahan murid untuk menggunakan peralatan digital untuk belajar (Levy, 2007).

Keterujuaan ini dilihat apabila guru-guru mengimplemenkan pelbagai medium pengajaran seperti Google Classroom, aplikasi Youtube, Zoom dan lain-lain.

Kepelbagaian ini dilihat bagus jika ia menjadi pengamalan oleh guru-guru dan murid-murid dimana mereka tidak memerlukan bantuan-bantuan teknikal asas.

Pembelajaran jarak jauh secara maya merupakan satu mod yang wajar dilaksanakan secara berterusan dan bukan dilaksanakan pada situasi tertentu sahaja.

Pelaksanaan pembelajaran ini memerlukan perancangan yang teliti serta mengikut sirkulasi model pembelajaran yang tersusun.

Guru-guru perlu mengenal pasti keperluan dan latar belakang murid supaya mereka mudah untuk mengakses pembelajaran yang disediakan.

Perkara ini penting bagi memastikan pembelajaran dua hala secara maya berlaku samaada dalam bentuk visual mahupun teks.

Kebijaksanaan guru dalam merangka, memilih dan menyusun amat penting supaya komunikasi guru dengan murid berlaku secara berterusan.

Teknologi adalah memudahkan, bukan menyulitkan.  

Bibliografi

Colbran, S., & Al-Ghreimil, N. (2013). The Role of Information Technology in Supporting Quality Teaching and Learning. In. L.Smith & A.Aboummoh (Eds.), High Education in Saudi Arabia: Achievements, Challenges and Opportunities. Dordrecht, Netherlands, Europe: Springer  

Ibrahim, M. A., & Van der Heijden, B. I. (2019). Learner characteristics’ factors and their relationship with drop-out in distance learning: The case of the Arab Open University in Saudi Arabia Riyadh Branch.

Levy, Y. (2007). Comparing dropouts and persistence in e-learning courses. Computers & Education, 45(2), 185-204.

Oleh,

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Mohd Asnorhisham Adam,

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Daerah Pasir Gudang, Johor

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain