Ledakan globalisasi meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dan menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia. KPM menggembleng usaha tersebut dengan melaksanakan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) bermula tahun 2014. PAK21 merupakan mekanisma yang mampu memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini. PAK21 yang berpusatkan Student Centered Learning (SCL) melibatkan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan aplikasi nilai murni serta etika. Tanggapan pelajar yang menyatakan bahawa subjek berorientasikan sejarah sebagai membosankan memang tidak dapat disangkal lagi.

Terdapat banyak faktor yang boleh dikenal pasti sebagai punca hilang minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Antaranya ialah teknik pembelajaran, pengajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) yang tidak menarik dan kecenderungan hafalan. Pdpc yang bersifat sehala mencetuskan stigma dan suasana pembelajaran pasif.

Namun, para pendidik juga turut memberikan pelbagai alasan seperti tahap kepelbagaian keupayaan murid dan demografi. Sukatan kandungan mata pelajaran sejarah yang berupa unit pembelajaran perlu disempurnakan dalam tempoh setahun turut dijadikan isu. Hal yang demikian disusuli pula dengan tugasan dan pembentangan yang tidak menarik serta berfokuskan iklim bilik darjah sahaja. Kaedah dan pendekatan tradisional turut membataskan minat serta pemahaman pelajar.

Tugasan yang diberikan pula sering dikaitkan juga dengan isu tidak kontemporari. Hasilnya diterjemahkan apabila majoriti pelajar menghasilkan tugasan sambil lewa yang diplagiat samada dari rakan ataupun laman sesawang. Hal yang demikian menjadi serius apabila pendidik yang bukan pengkhususan dan tiada asas kukuh dalam metode Pdpc sejarah. Mata pelajaran ini juga sering kali dikorbankan apabila tidak dinilai dalam peperiksaan awam di peringkat sekolah rendah.

Menjelang penilaian peperiksaan akhir, peruntukan masa Pdpc bagi subjek ini sering kali dianjalkan bagi memenuhi keperluan mata pelajaran lain seperti sains dan matematik. Justeru itu, penyelarasan yang gagal dilakukan di peringkat sekolah menjadikan para pendidik terus menyampaikan Pdpc mengikut gaya dan pendekatan tersendiri.

Seseorang pendidik perlu bijak dan berupaya menggunakan pengetahuan, rangsangan serta kreadibiliti dalam menyampaikan Pdpc. Kredibiliti tersebut merangkumi keupayaan mengubah suasana Pdpc menjadi kreatif dan berinformasi. Hal yang demikian mampu memberikan suntikan motivasi kepada pelajar yang mempunyai paradigma dan persepsi negatif terhadap pembelajaran.

Murid yang bermotivasi tinggi akan bersemangat untuk mengikuti sesi pengajaran guru. Mereka juga akan memberikan sepenuh perhatian terhadap aktiviti pdpc. Hal ini akan mencetuskan kepentingan dalam meningkatkan daya pemahaman murid terhadap isi kandungan pembelajaran.

Senario guru yang lebih mendominasi proses instruksional tanpa merangsang pelajar untuk berfikir dan menggunakan bahan-bahan pembelajaran turut menjadi kekangan. Justeru itu ketiadaan penyelarasan menyebabkan guru  menyampaikan Pdpc mengikut acuan tersendiri. Sikap negatif para guru dalam mendekati pelajar turut menterjemahkan reaksi tidak berminat pelajar terhadap mata pelajaran sejarah yang menjadi antara komponen penting dan teras.

Minat mempunyai kaitan yang rapat dengan sikap. Pelajar-pelajar akan menunjukkan reaksi positif apabila mereka berminat terhadap sesuatu situasi atau perkara. Sebaliknya mereka akan menunjukkan reaksi negatif apabila tidak berminat. Mager (2004) menegaskan bahawa isi kandungan kursus yang disampaikan seharusnya jelas, menarik minat dan dapat diaplikasikan dalam konteks kehidupan seharian.

KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH (KPS)

Sejarah merupakan satu peristiwa yang  berkait rapat dengan manusia dan dalam tempoh masa tertentu. Sejarah juga merupakan satu komponen penting dalam proses kehidupan manusia. Manusia sentiasa mengingati peristiwa sejarah yang lalu kerana ia amat berguna kepada mereka.

Peristiwa tersebut dapat dijadikan sebagai panduan ataupun pengalaman bagi mengharungi cabaran mendatang. Berlainan pula dengan generasi yang prihatin, mereka akan mencatatnya supaya dapat mengingati pengetahuan masa lalu. Hatta generasi akan datang akan berasa bangga dengan pengalaman hidupnya yang terdiri daripada pelbagai peristiwa pahit manis. Hal yang demikian akan membawa kepada peningkatan jati diri insan khususnya dalam konteks bernegara.

Aktiviti bermain memberikan pelajar memenuhi keperluan perasaan ingin tahu, di samping meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran. Vygotsky (1962) menjelaskan bahawa permainan pilihan kanak-kanak sendiri yang disokong oleh seorang guru ataupun orang dewasa melalui perbincangan dan sesi soal jawab akan menggalakkan pencapaian kognitif lebih tinggi.

Permainan adalah satu kaedah pengajaran yang akan dapat mengembangkan daya kreativiti dan memupuk minat terhadap pembelajaran. Ianya juga akan dapat mengurangkan rasa bosan dan jemu, khusus semasa menyelesaikan pelbagai masalah dalam pembelajaran. Penggunaan aktiviti permainan sebagai kaedah Pdpc dalam dan luar bilik darjah adalah berlandaskan prinsip bermain sambil belajar. Penyelesaian bagi beberapa masalah dalam pembelajaran boleh ditunjukkan melalui aktiviti permainan dan simulasi, khususnya masalah yang melibatkan aplikasi kehidupan seharian.

Manakala minat adalah salah satu faktor yang penting dalam mempertingkatkan keupayaan diri dalam pencapaian akademik. Manakala kurang minat pula berkaitan rapat dengan kepercayaan seseorang individu bahawa usaha yang dicurahkan tidak dapat memberikan hasil yang diingini.

Prestasi individu boleh ditunjukkan dalam perubahan kebolehan melalui usaha. Minat dan usaha merupakan aspek yang banyak mempengaruhi kejayaan pembelajaran seseorang. Sikap dan minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran adalah penentu dalam kejayaan. Antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan pencapaian pelajar ialah minat, sikap, gaya pembelajaran, kaedah pengajaran dan latar belakang keluarga. Minat mempunyai kaitan dengan sikap.

Apabila seseorang meminati sesuatu, maka ia akan bersikap positif terhadap perkara tersebut. Hal ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna dan berkesan. Namun, ada kalanya minat tidak selari dengan sikap seseorang. Seseorang pelajar yang berminat dengan mata pelajaran sejarah tetapi tidak mahu berusaha membuat kajian dan penerokaan tidak akan berjaya menjadi seorang sejarawan.

Satu model yang berfokuskan SCL dan mampu mengubah iklim pdpc menjadi kondusif, kreatif dan berinformasi serta menyeronokkan perlu diwujudkan. Hal yang demikian mampu memberikan suntikan motivasi kepada pelajar yang mempunyai paradigma dan persepsi negatif terhadap pembelajaran.

Pengimplementasian KPS akan mengalami kesukaran terutamanya dalam suasana bilik darjah yang mempunyai pelbagai kebolehan. Kesukaran yang dijangkakan adalah apabila kumpulan pelajar tidak mampu dan berminat dalam proses untuk memahami serta berfikir isu-isu yang kompleks.

Justeru itu pelbagai kemahiran perlu diterapkan kepada pelbagai kumpulan pelajar agar mereka mempunyai keupayaan untuk meneroka, menyelidiki, menganalisis dan menginterpretasi sumber. Mereka juga boleh dibimbing untuk membuat perkaitan tentang sebab dan akibat berdasarkan peristiwa sejarah.

 Ini bermakna pelajar-pelajar akan dilatih untuk ke arah memiliki pemikiran yang kritis dan kreatif, serta memenuhi kriteria-kriteria KPS. Hal yang demikian juga bertepatan dengan mata pelajaran sejarah yang dianggap sebagai kompleks, abstrak dan empirikal.

KPS yang diimplementasikan mampu meningkatkan minat dan motivasi pelajar. KPS merangkumi lima proses yang utama. Peringkat pertama ialah memahami kronologi iaitu melihat masa lalu, kini dan masa akan datang mengikut urutan sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku.

Sebelum menyampaikan Pdpc, para pendidik perlu memberikan maklumat jelas mengenai objektif yang seharusnya dicapai oleh pelajar. Pelajar akan diberikan bimbingan untuk memahami kronologi. Antara elemen penting dalam fasa ini ialah melihat masa lalu, kini dan akan datang. Di samping itu pelajar akan didedahkan dengan konsep masa dan memahami konversi masa.

Langkah kedua ialah meneroka bukti iaitu  kemahiran mengenalpasti sumber pertama dan kedua serta membuat perbandingan antara kedua-duanya. Pelajar akan dibimbing untuk mendapatkan maklumat daripada sumber tersebut dengan  memberikan tugasan berdasarkan topik yang dipelajari.

Pelajar-pelajar akan diminta menentukan signifikan, tarikh, tokoh, lokasi peristiwa dan bagaimana peristiwa itu berlaku. Manakala langkah ketiga ialah membuat interpretasi iaitu proses tafsiran terhadap sesuatu peristiwa dengan memberi ulasan dan kupasan. Hal yang demikian akan membolehkan pelajar lebih memahami perkaitan antara fakta sejarah dan tafsiran sejarah dengan baik.

Kemahiran ini juga bermakna, masa lalu yang boleh difahami melalui pemerhatian dan interpretasi yang sistematik. Ini akan dapat membantu kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Justeru itu, pelajar dikehendaki membuat tafsiran sesuatu peristiwa dan membezakan antara tafsiran dengan perspektif.

Pelajar juga dibimbing untuk membezakan antara fakta sejarah dengan tafsiran sejarah. KPS boleh dijana melalui aktiviti-aktiviti SCL seperti Brainstorming, Three Minutes Each Away, Snowballing, Buzz Groups, Syndicates atau lain-lain lagi.

Membuat imaginasi ialah langkah keempat melibatkan pelajar dengan sesuatu situasi dalam peristiwa sejarah yang dikaji. Kemahiran imaginasi ialah secara visual dan empati. Empati merujuk kepada seseorang yang menilai sejarah menurut kaca mata sumber atau subjek sejarah yang terlibat.

 Pelajar akan berkongsi pengalaman secara imaginasi dan menyatakan pandangan seolah-olah melibatkan diri dalam sesuatu peristiwa sejarah. Mereka juga boleh membuat imaginasi secara visual dan empati untuk perkongsian bersama. Manakala langkah terakhir ialah membuat rasionalisasi.

Rasionalisasi melibatkan penggunaan akal untuk membuat pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Justeru itu, pelajar-pelajar akan menggunakan akal fikiran untuk membuat pertimbangan yang wajar bagi menyelesaikan sesuatu persoalan. Pelajar akan dibimbing untuk mengumpul data, hipotesis, dan menentukan signifikan bukti serta membuat inferens. Pelajar akan membuat rasionalisasi melalui kajian bahan yang diberikan secara kritis.

Seharusnya KPS diperkasakan oleh pendidik ketika menyampaikan sesi Pdpc. Melalui pembacaan saya di akaun Facebook bertarikh 21 Januari 2020 saya ditemukan dengan usaha yang dilakukan oleh seorang guru di sebuah sekolah rendah di Jerantut, Pahang. Cikgu Norafizah binti Abdul Razak dari sebuah Sekolah Kurang Murid (SKM)  cuba membantu murid memahami dan menguasai ilmu melalui Pembelajaran Berasaskan Kajian dan Penyelidikan (RBL) bagi mata pelajaran sejarah.

Beliau menjadikan RBL sebagai medium pembelajaran untuk membantu murid menguasai isi kandungan mata pelajaran dengan berkesan. Hal yang demikian akan menjadikan proses Pdpc pelajar-pelajar menjadi lebih bermakna kerana menggabungkan  PAK21. Saya melihat dalam konteks RBL, elemen KPS menjadi tunjang utama kerana murid akan dilatih sebagai penyelidik dan membuat kajian berkenaan tajuk yang mereka pilih berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Menurut beliau, dalam proses pengimplementasian RBL, murid diberikan empat tajuk berkaitan topik Pra Sejarah dan mereka dikehendaki mengkaji dan mencari maklumat dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada melalui laman web, bahan bercetak mahupun bukan bercetak. Penyelidik cilik yang mahu dilahirkan diberi masa dua bulan untuk membuat kajian dan dikehendaki menemubual individu yang pakar dalam bidang berkaitan dengan menggunakan pendekatan Sejarah Lisan.

Hal yang demikian menggabungkan kemahiran bekerja dalam kumpulan dan kemahiran insaniah. Sebagai elemen pengukuhan, pelajar-pelajar dikehendaki  membuat kajian lapangan iaitu di Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang. Justeru itu pelajar-pelajar akan mempunyai pengetahuan dalam menganalisis bahan dan peralatan di zaman pra sejarah melalui pencarian fakta serta mitos.

Elemen KPS dalam RBL mampu mengupayakan murid biasa dan sederhana menguasai semua disiplin ilmu, pendedahan dengan literasi maklumat, literasi media, kajian lapangan, kemahiran ICT, komunikasi dan gerak kerja  secara berkumpulan. Kemahiran rasionalisasi juga mampu menghasilkan pembentangan yang berkualiti oleh para pelajar.

Justeru itu elemen kemenjadian pelajar khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar akan dapat direalisasikan. Pelajar yang sederhana boleh diangkat menjadi lebih aktif,  berkeyakinan dan matlamat Pdpc boleh dicapai. Hal yang demikian tercapai kerana pelajar-pelajar tersebut akan melalui lima peringkat KPS yang terkandung dalam RBL. Elemen  keyakinan diri yang tinggi dapat dibentuk kerana pelajar sendiri terlibat dalam proses mencari bahan untuk melengkapkan kajian.

Usaha guru ini menggubal RBL merupakan sebahagian daripada inovasi seorang pendidik dalam mengupayakan PdPc. Matlamat akhirnya ialah untuk  membantu murid menguasai standard kandungan dan standard pembelajaran dengan lebih mendalam.

Dalam pengimplementasian KPS, pelajar-pelajar juga akan didedahkan dengan kemahiran  inkuiri, kajian lapangan dan penyelidikan bagi membentuk pembelajaran bermakna. Elemen  ICT dan membuat laporan juga boleh diperkasakan agar pembelajaran itu menjadi proses yang berterusan.

MENDASARI NORMA BAHARU

    Covid 19 memberikan ancaman besar kepada nyawa manusia di seluruh pelusuk dunia. Negara kita juga tidak terkecuali apabila bilangan kes positif dan kematian terus meningkat serta membimbangkan. Tindakan pantas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) berjaya mengekang dan menghalang penularan wabak tersebut.

Cara terbaik untuk menghadapi dan menangani wabak ini ialah dengan bersatu dan berhadapan dengannya sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat, cekal, berdaya tahan serta berdisiplin.

Pada saat getir seperti ini jika kita bersatu hati pasti akan dapat mengekang penularan wabak, seterusnya berjaya mengharungi cabaran ini dengan jayanya. Biar ditulis dalam catatan sejarah negara bahawa betapa seluruh rakyat Malaysia bersatu padu mendepani ancaman wabak ini.

Sekarang bukanlah masa yang terbaik untuk bertelagah dan bersengketa mengenai isu sosial atau politik. Sekarang adalah masanya bagi kita untuk menunjukkan bahawa kita adalah matang dan tahu apa yang perlu dipertaruhkan dalam kehidupan setiap individu warga Malaysia tanpa mengira bangsa, kefahaman atau agama.

Pandemik Covid 19 tidak seharusnya dijadikan alasan dalam usaha pendemokrasian pendidikan. Wabak yang tidak kenal batas agama, bangsa dan ideologi politik mampu dihadapi dengan bersatu sebagai bangsa Malaysia yang kuat, cekal, berdaya tahan serta berdisiplin.

Justeru itu, no one left behind dalam usaha Pdpc kepada semua pelajar di pelbagai peringkat pengajian. Sekarang adalah tempoh bagi kita untuk menunjukkan kematangan  dan tahu apa yang perlu dipertaruhkan dalam kehidupan setiap individu warga Malaysia. Justeru para pendidik juga perlu melaksanakan anjakan paradigma dalam mendasari norma baharu. Home Based Learning seharusnya didemokrasikan kepada semua pelajar tanpa mengira batas keturunan, kebolehan dan demografi.

Dalam usaha mendasari norma baharu kaedah pelaksanaan Pdpc adalah bercorak fleksibel dan merentasi demografi. Guru seharusnya mempunyai persediaan untuk mengimplementasikan dua pendekatan berbeza mengikut senario semasa. Pdpc boleh diimplementasikan secara bersemuka atau atas talian sekiranya keadaan persekitaran tidak mengizinkan.

 Kaedah Pdpc melalui pemerhatian, aktiviti-aktiviti berfokuskan SCL, refleksi dan Focus Group Discussion (FGD) boleh digunakan bagi mencapai objektif Pdpc. Diversiti pelajar berdasarkan etnik, gender dan demografi perlu diambil kira sebelum pelaksanaan Pdpc dalam sebarang situasi.  

Kaedah pemerhatian boleh digunakan dalam mengendalikan Pdpc secara bersemuka ataupun atas talian untuk mendapatkan maklumat pelajar secara lebih terperinci, jelas, teliti dan  tepat. Kekuatan seseorang pendidik ialah keupayaan untuk mendekati jiwa pelajar dalam norma baharu.

Penguasaan pelbagai jenis teknologi pula merupakan kelebihan tambahan bagi seseorang pendidik. Namun alasan tidak tahu perlu dielakkan dalam mendepani cabaran norma baharu. Para pendidik perlu keluar dari kepompong selesa PKP dan PKPP yang sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian.  

Sekiranya pelajar tidak mendapat akses internet, pelbagai pendekatan lain boleh dicuba untuk mengimplementasikan KPS. Antaranya ialah dengan menggunakan konsep drop box di sekolah, kedai runcit, surau dan masjid, balai raya dan lain-lain lagi. Soal selidik sama ada secara atas talian (Google Form) atau bersemuka boleh diberikan kepada pelajar sebagai penanda aras untuk mengukur tahap minat dan kecenderungan pelajar dalam mengikuti Pdpc.

Pemerhatian juga boleh dilaksanakan semasa dan selepas menjalankan setiap aktiviti Pdpc di bilik darjah, rumah ataupun atas talian. Minat dan kesungguhan pelajar dapat diterjemahkan dalam bentuk penglibatan dalam aktiviti Pdpc yang berfokuskan KPS. Maklumat yang diperoleh melalui kaedah pemerhatian ini sama ada dijangka ataupun tidak berupaya berfungsi sebagai dapatan dan rujukan yang penting.

Sesi Brainstorming boleh digunakan untuk mengeluarkan idea secara bebas dari setiap individu ataupun kumpulan secara teratur dan sistematik. Manakala Buzz Group pula boleh diimplementasikan dalam kumpulan kecil yang mengandungi seramai tiga hingga enam orang pelajar. Syndicate boleh digunakan sebagai ruang kepada pelajar untuk berbincang.

Di peringkat seterusnya satu kesimpulan boleh dibuat berdasarkan kepada perkongsian idea yang diperoleh. Oleh yang demikian, pelajar akan mendapat maklumat tepat dan terkini yang dicari oleh mereka berdasarkan KPS. Bagi mendapatkan info dan reaksi segera Three Minutes Each Way dan Snowballing boleh dikendalikan secara bersistem atas talian atau bersemuka.

Refleksi merupakan proses penting dalam Pdpc yang digunakan untuk merenung, menganalisis, mencari alasan, cadangan dan tindakan untuk penambahbaikan secara berterusan. Refleksi yang akan dikendalikan berupaya untuk menyediakan bukti dan pengetahuan teknikal bagi meramal penyelesaian efektif serta proses penambahbaikan secara konsisten dan berterusan dalam KPS.

Refleksi juga boleh dikendalikan melalui teknik inkuiri bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar. Tindakan susulan perlu dilakukan sama ada melalui pemulihan atau pengayaan. Refleksi yang dikendalikan secara konsisten dan bebas membolehkan guru menjangka hasil sesuatu tindakan dan membuat perancangan awal.

Guru juga boleh meramalkan mengenai segala perubahan dan hasil pembelajaran kerana latar belakang pelajar serta keupayaan mereka sudah dikenal pasti. Bagi mendapatkan maklum balas mengenai KPS yang digunakan FGD boleh digunakan  untuk berkongsi idea dan impak pengendalian KPS. Norma baharu tidak membataskan pengendalian FGD dan penambahbaikan dalam pedagogi dan bahan Pdpc juga boleh dilaksanakan bagi memantapkan lagi pelaksanaan KPS.

CABARAN DAN HARAPAN

KPS merupakan proses berfikir bagi membolehkan pelajar-pelajar meneroka idea yang kompleks dan abstrak. Kaedah ini amat bersesuaian untuk Pdpc sejarah atau mata pelajaran yang banyak menekankan content knowledge. Pelajar-pelajar akan menjadi lebih fokus, berkeyakinan dan aktif dalam dan luar iklim pembelajaran dengan pelbagai aktiviti berpusatkan SCL.

Sesi rasionalisasi akan menjana kekuatan dan menggembleng kemahiran insaniah pelajar secara holistik.  Elemen kemenjadian pelajar dapat diukur melalui komponen kerja kumpulan dan menjana kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Mereka juga mampu membina keupayaan untuk meneroka, menyelidiki, menganalisis dan menginterpretasi sumber.

KPS juga sejajar dengan hasrat Malaysia dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0. Pembinaan ekosistem yang lebih adil dan saksama bertunjangkan kesejahteraan dengan persekitaran dunia baharu masih sedang diperbahaskan dalam konteks norma baharu.

Perubahan ini mampu mentransformasikan bukan sahaja cara hidup, masyarakat, nilai dan norma, tetapi juga persepsi mengenai manusia itu sendiri. Hal yang demikian juga boleh ditangani secara rasional melalui KPS. Dalam menghadapi survival norma baharu, elemen jati diri perlu diperkasakan.

Penerapan jiwa merdeka dan semangat patriotisme yang kental boleh dilakukan melalui KPS. Institusi keluarga adalah saraf penting untuk membina rakyat dan individu berguna kepada agama dan negara.

Semangat patriotik yang dipupuk dari zaman kanak-kanak akan menjadikan mereka kuat dan berkongsi serta bertindak sebagai rakyat Malaysia. Mereka tidak akan melihat diri berdasarkan etnik, agama, sempadan geografi dan latar belakang sosial. Patriotisme Malaysia adalah elemen penting dalam membina idea yang dikenali sebagai Negara Bangsa Malaysia.

Pendidik seharusnya mempunyai kreativiti untuk menarik para pelajar menghargai aspek patriotisme dan perkongsian nilai masyarakat Malaysia secara bersama. Pendidikan adalah isu penting dalam agenda pembinaan tamadun dan kewujudan serta kekuatan sebuah negara.

Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah yang paling berjaya dalam proses pembinaan negara di Malaysia.  Justeru itu, pendidikan adalah alat yang sangat penting untuk memupuk integrasi. Dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat, sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi juga perlu berubah seiring dengan keperluan dan pasaran dunia.

Dalam usaha memupuk perkongsian nilai dan jati diri, sejarah merupakan komponen penting ke arah pembinaan bangsa yang bertamadun. Pembangunan modal insan dan pembinaan minda kelas pertama perlu diselaraskan supaya Malaysia dibangunkan mengikut piawaiannya sendiri.

 KESIMPULAN

Pendekatan KPS akan menunjukkan kesan yang positif dalam meningkatkan minat dan pencapaian pelajar bagi mencapai objektif Pdpc. Kepelbagaian pendekatan Pdpc melalui bahan-bahan multimedia berupaya merangsang dan menarik minat pelajar. Sejajar dengan perkembangan zaman, pelbagai inovasi perlu dicetuskan bagi meningkatkan minat para pelajar.

Hal yang demikian juga secara tidak langsungnya berupaya membina interaksi dua hala antara pendidik dan pelajar. Pembelajaran bermakna “learning by doing” dapat membantu pelajar berfikir dan membentuk kefahaman mengenai sesuatu permasalahan.

Anjakan paradigma bagi mengimplementasikan KPS seharusnya diperkasakan. Pdpc berpusatkan SCL perlu dibina bagi membina aura positif. Hak pelajar perlu dikembalikan, norma baharu dan no one left behind seharusnya dijadikan  kata kunci keramat bagi menggapai harapan pelajar mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.