20 Januari 2021 merupakan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan pada tahun baru. Pastinya segala persiapan dan persediaan telah dibuat untuk menerima kemasukan semula pelajar ke sekolah dalam norma baharu.

Tidak dinafikan pelajar telah selesa berada di rumah tatkala pada tahun 2020 mereka lebih banyak menghabiskan masa di rumah dalam tempoh perintah kawalan berbanding belajar di sekolah.

Kini, tibalah masanya pelajar kembali ke sekolah melakukan rutin harian dengan pengalaman norma baharu. Sudah pasti, ramai pelajar yang teruja untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan sekolah dan kembali belajar bersama-sama walaupun norma baharu memberi kesan kepada penjarakan sosial mereka.

Untuk permulaan sekolah pada tahun baharu ini, pastinya ramai ibu bapa yang bimbang akan penularan wabak Covid-19 terhadap anak mereka lebih-lebih lagi peningkatan kes berlaku saban hari.

Mengupas lanjut, Pensyarah, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan, Nurul Hafizah Mohd Yasin menjelaskan lanjut apakah peranan guru dan ibu bapa ketika berhadapan dengan pembelajaran norma baharu ini.

Bagi mengurangkan risiko penularan, ibu bapa perlu mengambil peranan dalam memastikan anak mereka yang tidak sihat atau bergejala tidak dihantar ke sekolah.

Ini kerana, ibu bapa atau penjaga lebih mengetahui status kesihatan anak-anak mereka berbanding guru. Mereka mesti mengambil inisiatif untuk mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya anak-anak bergejala.

Selain itu, pemberian bekal makanan dari rumah juga mampu mengurangkan risiko penularan. Jika ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan bekal dari rumah, ibu bapa boleh bekerjasama dengan pihak sekolah.

Selain persiapan dari segi keperluan fizikal seperti pakaian seragam dan alatan sekolah, ibu apa juga perlu menyediakan alatan untuk penjagaan kesihatan anak-anak seperti penutup muka dan cecair pembasmi kuman.

Kerjasama daripada ibu bapa juga amatlah perlu dalam menjelaskan kepada pelajar perubahan bakal berlaku di sekolah, terutamanya dari segi penjagaan kesihatan seperti kebersihan tangan, pemaikan topeng muka dan penjarakan sosial sesama rakan-rakan.

Selain itu, pihak sekolah juga berperanan dalam membantu ibu bapa dan juga pelajar untuk mengadaptasi sistem persekolahan dalam norma baharu ini. Pelbagai inisiatif telah disediakan oleh pihak sekolah antaranya pengurangan pelajar dalam satu kelas untuk mengurangkan penjarakan sosial, saringan kesihatan di pintu masuk, pembahagian sesi kelas, penyediaan makanan untuk pelajar untuk mengurangkan kesesakan di kantin dan sebagainya.

Selain itu, pihak guru sentiasa perlu memastikan terdapat penjarakan sosial di kelas mahupun di bilik guru. Untuk mengawal pergerakan murid-murid ini, mungkin memberi cabaran tersendiri kepada guru-guru tetapi ia amatlah penting dalam menangani isu penularan jangkitan.

Selain itu, guru-guru perlu lebih kreatif untuk mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar walaupun dengan suasana norma baharu.

Bagi pelajar pula, permulaan sekolah mungkin memberi perasaan teruja lebih-lebih lagi sudah lama tidak bertemu dengan rakan-rakan lain. Namun, pelajar sendiri perlu lebih mengutamakan isu penjagaan kesihatan masing-masing.

Semasa sesi persekolahan, pelajar perlu peka untuk mengamalkan penjarakan sosial, elakkan bersentuhan dengan rakan-rakan, kerap membasuh tangan, memakai topeng muka serta sentiasa menjaga tahap kesihatan masing-masing.

Kesimpulannya, pembukaan sekolah semula adalah saat-saat yang ditunggu oleh pelajar namun setiap pelajar perlu mengadaptasi sesi persekolahan dengan norma baru.

Untuk meningkatkan kesedaran kepada pelajar untuk menjaga kesihatan, dicadangkan agar guru-guru dan ibu-bapa sentiasa mengingatkan pelajar akan peraturan yang perlu mereka patuhi supaya aktiviti pembelajaran dan pengajaran dapat dijalankan dengan selamat.