Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Kerajaan mengumumkan akan merombak kurikulum pendidikan dan menggubal kurikulum baharu di sekolah.

Fokus pendidikan yang dimahukan adalah untuk melahirkan masyarakat yang bernilai tinggi dan rajin bekerja.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, telah mengumumkan pada tahun lalu bahawa kurikulum baharu akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada nasihat daripada Jawatankuasa Dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang dilantik. Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggubal kurikulum pelajaran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung 2020 atau awal 2021.

Perhatian Tun Dr Mahathir terhadap kelemahan pengajaran pendidikan Islam yang gagal mendidik amalan Islam yang betul dalam kalangan pelajar adalah perhatian yang tepat.

Sememangnya pendidikan Islam perlu diberi penekanan supaya pelajar menyerap segala panduan hidup berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Akan tetapi kami berpendapat melihat agama secara terpisah dengan pendidikan akademik adalah salah dan perlu diperbetulkan dalam sistem pendidikan negara.

Mengajar sains dan teknologi tanpa mengaitkan dengan nilai adalah kesilapan yang dilakukan oleh sistem pendidikan sekular barat.

Natijah berlaku adalah kegagalan membina sahsiah pelajar yang menimbulkan masalah salah laku di sekolah yang tidak boleh dipandang enteng dan menggambarkan kelemahan sistem pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan pernah mendedahkan pada 2017 sebanyak 402 sekolah menengah dan rendah di negara ini sedang dalam pemerhatian berikutan isu disiplin pelajar.

Daripada jumlah itu, sebanyak 311 sekolah berdepan masalah disiplin manakala 91 lagi dikategorikan sebagai sekolah tumpuan iaitu cenderung mempunyai masalah disiplin.

Mengikut statistik, seramai 111,895 murid iaitu 16,849 murid sekolah rendah dan 95,046 murid sekolah menengah didapati terlibat dengan gejala salah laku disiplin di sekolah.

Pada 2016 ponteng sekolah adalah isu utama dalam salah laku disiplin murid sekolah.

Bagi kes buli sahaja, sebanyak 3,448 kes direkodkan pada 2016 dan sehingga Jun 2017 direkodkan sebanyak 872 kes.

Jelas statistik seperti ini agak merisaukan walaupun pihak kementerian mendapati permasalahan disiplin adalah pada kadar 2.03 peratus setahun sejak 2012 sehingga 2016. 

Ponteng sekolah mencatatkan rekod tertinggi dalam salah laku disiplin pelajar sekolah sepanjang tahun 2017.

Ia meliputi 1.4 peratus bersamaan 67,053 pelajar daripada hampir lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Bermakna masalah pembinaan sahsiah masih belum memadai di peringkat pendidikan di sekolah.

Oleh itu, pendidikan Islam harusmenjadi pendidikan teras dalam pendidikan negara dan perlu diajar secara praktis bagi semua kegiatan pendidikan di sekolah.

Dakwaan bahawa sekolah kerajaan menjadi sekolah agama tidak timbul jika pendidikan Islam diajar secara betul berdasarkan nilai jati diri yang universal.

Harus ditegaskan bahawa perombakan tersebut perlu ke arah kurikulum yang bersepadu seperti pernah digubal dan dilaksanakan sebelum ini iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Mata pelajaran akademik yang tidak sepadu dengan nilai diri dan diajar secara terpisah-pisah daripada pendidikan Islam hendaklah dirombak.

Falsafah Pendidikan Negara amat menyeluruh dan memberi penekanan ke atas pembinaan pelajar yang seimbang dari segi akal, rohani, emosi dan jasmani.

Lantaran itu kurikulum baharu harus berorientasi persepaduan antara ilmu, aplikasi ilmu, nilai rohani serta pembentukan tingkah laku.

Pendidikan di Malaysia menjelaskan adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Mengambil daripada pernyataan ini, sudah cukup bagi perancang pendidikan negara meneliti di manakah kesilapan yang berlaku dalam pendidikan sekarang.

Pendidikan juga dilihat sebagai usaha bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Adalah suatu kegagalan yang besar jika pendidikan negara masih berpandu kepada acuan penjajah yang mendewakan sains dan teknologi terpisah dari nilai agama.

Pendidikan sekular yang diperkenalkan sejak 61 tahun yang lalu itu telah memerangkap negara dalam corak dan acuan barat sebagai asas pembangunan negara.