KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengemukakan semua keperluan kepada kerajaan untuk mengoperasikan semula sekolah termasuk cecair pembasmi kuman, alat pembersihan dan sebagainya.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, kerajaan amat prihatin terhadap segala keperluan terbabit termasuk kos perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung pihak sekolah.

“Semua perkiraan itu dibuat dan kerajaan telah pun memberi peruntukan kepada KPM untuk disalurkan kepada sekolah.

“Tetapi kita lihat juga ada peranan ibu bapa yang membantu, contohnya memberi sumbangan atau tenaga dan masa untuk membantu sekolah menyediakan tanda arah dan memasang pili air di tingkat atas,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemampuan guru menghabiskan kesemua silibus pada tahun ini berikutan sekolah ditutup selama 52 hari akibat pandemik Covid-19, Dr Habibah berkata, keutamaan diberikan kepada kurikulum teras dan komponen tambahan yang boleh disisipkan melalui aktiviti di sekolah atau sebagai kerja rumah.

“Bila PKP diumumkan dan sebelum sekolah cuti pertengahan semester yang pertama, murid telah pun melalui 11 minggu persekolahan iaitu lebih kurang 30 peratus daripada apa yang perlu dipelajari bagi tahun ini.

“Tetapi tentunya sedikit sebanyak pembelajaran telah pun dilaksanakan melalui pembelajaran berasaskan di rumah itu. Andaikan ia tidak berlaku, kita kena buat penjajaran kurikulum termasuk 52 hari yang tertinggal itu,” ujarnya.  

Artikel berkaitan:

Pembelajaran bersemuka lebih berkesan berbanding secara online - Dr Habibah