TANPA mengira bangsa, seorang guru sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan pelajarnya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan, 20 tahun lalu daripada diserang lelaki amuk yang bersenjata parang.

Norzah Abdul Ghani, 55, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Norzah diangkat sebagai wirawati bagi Anugerah My Hero 3.0 baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, beliau berkata, tiada apa yang difikirkan kecuali mahu menyelamatkan pelajar daripada bahaya lelaki amuk.

“Keselamatan pelajar saya lagi penting daripada diri saya sendiri. Walaupun perlu bergelut, saya sanggup asalkan mereka selamat,” katanya.

Menurutnya, majoriti pelajar SMJK Yoke Kuan, Sekinchan adalah kaum Cina dan mereka dianggap sebagai anak sendiri oleh guru yang mengajar Pendidikan Jasmani dan Bahasa Melayu itu.

Cikgu Norzah ketika berkhidmat di SMJK Yoke Kuan, Sekinchan 20 tahun lalu.

“Saya dah 18 tahun mengajar di sekolah itu. Semua guru dan pelajar juga sangat rapat dengan saya. Sebab itu, bila berlaku peristiwa lelaki amuk, soal bangsa saya tolak tepi. Yang penting, anak-anak didik saya selamat,” katanya.

Berkongsi tragedi yang berlaku 20 tahun dahulu, Cikgu Norzah berkata, ketika itu usianya baru sahaja menjengah 35 tahun.

“Ketika itu, saya berada di bangunan atas dan pekarangan sekolah agak sibuk dengan pelajar yang baru datang ke sekolah dan ada yang mahu pulang ke rumah.

“Sewaktu turun ke bawah, tiba-tiba saya terdengar jeritan, kemudian saya nampak seorang lelaki membakar motosikal dan membawa parang panjang,” katanya yang memilih bersara pilihan dan kini aktif dengan NGO sendiri, MindRevolutions.

Dia berkata, lelaki yang bertubuh besar dan memakai jaket serta helmet itu berjalan menuju ke kelas sebelum menetak beberapa pelajar.

“Demi keselamatan pelajar, saya memberanikan diri menghadapi pengamuk tersebut seorang diri. Saya yakin, dengan cara itu, guru dan pelajar lain berkesempatan menyelamatkan diri masing-masing,” katanya.

Cikgu Norzah mula berkomunikasi dengan nada perlahan dan mengajak lelaki itu ke kantin kerana di sana tiada pelajar.

“Melihatkan pengamuk berada dalam keadaan tenang, saya cuba bercakap dalam bahasa Cina...‘koko shen me shi’ (abang apahal apahal).

“Tetapi, lelaki itu tak peduli dengan pertanyaan saya dan dia cuba menyerang saya dengan parang sehingga membuatkan saya lari mengelilingi meja.

“Dek keletihan kerana aksi mengejar, pengamuk terduduk di bangku kantin dan saya menawarkan dua botol sarsi sebagai usaha memujuknya,” katanya.

Beliau berkata, beliau akhirnya terpaksa menggunakan reverse psychology dengan menyokong lelaki amuk itu untuk meredakan keadaan.

“Saya berusaha meyakinkannya bahawa saya dipihaknya dan meminta parang untuk meneruskan ‘perjuangan’. Dia hampir menyerahkan senjata tetapi tidak jadi selepas mendengar suara beberapa ibu bapa yang panik menjerit,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun akhirnya lelaki itu berjaya ditangkap oleh polis.

Selepas kejadian tersebut, Cikgu Norzah dan beberapa guru yang terlibat menerima sijil penghargaan daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Cikgu Norzah bangga kerana doktor yang memeriksa kesihatannya merupakan salah seorang bekas pelajar di SMJK Yoke Kuan, Sekinchan.

Sesekali melepaskan rindu bersama bekas pelajarnya di perkarangan SMJK Yoke Kuan, Sekinchan.

Lima individu dipilih terima Anugerah MyHero 3.0

PADA majlis Anugerah MyHero 3.0 di Wisma Chamber baru-baru ini, sebanyak 13 pencalonan berjaya ke peringkat akhir dan lima individu terpilih menerima Anugerah MyHero 3.0 atas sumbangan mereka kepada masyarakat.

Penerima anugerah itu terdiri daripada Jameyah Sheriff, Md Herman Saidin, Richard Wong Yew King, Norzah Ghani dan Cheah Kim Hock serta Rajendran Velu.

Mereka menerima hadiah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan serta dilantik menjadi Duta Perpaduan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Sementara itu, Pengerusi Penganjuran Anugerah MyHero 3.0, Datuk Richard Lau Chi Chiang berkata, semua pemenang diharap akan terus mempromosikan mesej 'perpaduan kunci kemakmuran’ kepada seberapa ramai rakyat Malaysia.

Menurutnya, pengundian dalam talian untuk MyHero atau MyHeroine yang paling popular kini sedang dijalankan menerusi laman Facebook https://www.facebook.com/myheroaward/posts/1093361874197265

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak pencalonan untuk MyHero Award 4.0 dan mereka yang tidak menang dalam MyHero Award 3.0 layak digalakkan untuk dicalonkan semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menganjurkan Pertandingan Penulisan Esei untuk kanak-kanak sekolah rendah bagi menggalakkan mereka memberikan idea tentang Anugerah MyHero.

BIODATA DIRI

Norzah Abd Ghani
55 tahun
Anak bongsu daripada sembilan beradik
Akademik
1) Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan Jasmani), Universiti Putra Malaysia (UPM)
3) Master (Pendidikan Jasmani), UPM  
3) Doktor Falsafah (Pendidikan Jasmani), UPM
Kerjaya
1) Guru SMJK Yoke Kuan, Sekinchan dan Sekolah Menengah Putrajaya Presint 8
2) Pernah bertugas di Bahagian Pendidikan Khas KPM
3) Jawatan terakhir sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Khas KPM
Anugerah
Anugerah Khidmat Cemerlang sebanyak tiga kali sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai pendidik
Nama bapa: Abd Ghani
Nama ibu : Sapiah Idris
Ibu bapa Cikgu Norzah meninggal semasa beliau masih kecil lagi. Cikgu Norzah kemudiannya dijaga oleh ibu dan ayah angkat  bernama Raja Mohd Khalid dan Junidah Talib

Pertandingan Esei MyHero

  • Pelajar digalakkan untuk menghayati nilai-nilai muri berdasarkan Kisah Penerima Anugerah MyHero.
  • Tarikh tutup penyertaan pada 22 November 2019
  • Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/myheroaward

Artikel Menarik:

Jangan keterlaluan di media sosial kelak diri sendiri yang rugi

'Terus berbuat baik dengan guru walaupun didenda' - Ini pesan pakar motivasi kepada pelajar

Lapan 'rahsia tersimpan' pelajar cemerlang dalam pelajaran...memang tak sangka ini yang mereka buat