Program Hari Kualiti, Inovasi dan Psikologi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) kali ini menampilkan kelainan apabila berkolaborasi dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memberi pengiktirafan kepada kakitangan masing-masing.

Pengurus Besar Kejora, Norazman Othman berkata, sambutan hari inovasi itu merupakan acara tahunan yang mencerminkan betapa pentingnya membudayakan kreativiti dan inovasi untuk sentiasa meletakkan Kejora dan PPD Kota Tinggi di landasan yang efisien dan efektif.

Menurutnya, ia seperti mana terkandung bawah Agenda 4 Transformasi Negara yang Berpaksikan kepada Budaya Inovasi dan Kreatif menjurus kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam cekap.

“Kunci kepada keberhasilan inovasi atau kreativiti bertaraf tinggi amat bergantung kepada cara kita semua memandang rakyat, pelanggan atau klien dengan cara yang lebih luas dengan bergerak dari berfikiran luar kotak kepada berfikir tanpa kotak.

“Setiap warga Kejora dan PPD Kota Tinggi seharusnya dipandang sebagai aset penting yang perlu diberi kefahaman mengenai semua strategi baharu agar Kejora dan PPD sentiasa berada di hadapan," katanya ketika berucap menyempurnakan majlis yang berlangsung di Dewan Kejora Bandar Penawar.

Norazman (dua, kiri) bersama Azman (dua, kanan) dan Mohd Fadil (kanan) melawat tapak pameran.

Kata Norazman, pengurusan tinggi, ketua jabatan dan agensi perlulah lebih bertanggungjawab untuk menjadikan strategi baru sebagai suatu keperluan sekiranya mahu minda inovasi dan kreativiti ini dilahirkan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Pegawai PPD Kota Tinggi, Mohd Fadil Ishak.

Dalam pada itu, Azman berkata, bagi pihak PPD Kota Tinggi dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada Kejora atas kesudian seluruh warga Kejora berkolaborasi dengan PPD menzahirkan Muafakat Johor demi merealisasikan program tersebut.

Menurutnya, melalui majlis itu satu lagi sejarah ditempa dalam Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan termeterainya program kolaboratif antara Kejora di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan PPD Kota Tinggi.

“Platform kolaboratif ini merupakan mercu pengiktirafan dan apresiasi buat warga Kejora dan pendidikan daerah Kota Tinggi selaku ejen transformasi yang menunjukkan tahap kualiti dan inovasi par excellence untuk dicontohi dan menjadi pemangkin kecemerlangan organisasi,” katanya.

Warga pendidik penerima anugerah merakam gambar kenangan sempena Program Hari Kualiti, Inovasi dan Psikologi dijalankan secara NBOS oleh Kejora dan PPD Kota Tinggi.

Realisasi transformasi pendidikan

Katanya, dalam Anjakan 9 PPPM iaitu Sarana Ibu Bapa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga membuka pintu seluas-luasnya kepada pelibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam merealisasikan transformasi pendidikan negara.

Jelasnya, JPN Johor dan seluruh warga pendidikan negeri amat bersyukur kerana kerajaan negeri serta agensi rakan strategik pendidikan negeri Johor sentiasa menyokong inisiatif meningkatkan kualiti dan kecemerlangan pendidikan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pengumuman Bajet 2018 sejumlah RM500,000 untuk kami menjayakan agenda Program Pembangunan Karakter Murid Johor.

“Terima kasih juga kepada Kejora atas inisiatif pendidikan yang tidak pernah putus dalam bentuk tuisyen rakyat, program bintang Kejora, program Pengatucaraan Liga Robotik iCARE UTMKEJORA, program Informatik Pendidikan iCARE My English ([email protected]) towards 21st Century Skills dan terkini pengumuman sejumlah RM2.5 juta dalam Bajet Johor 2018 untuk Program Pembangunan Pendidikan Johor secara keseluruhan dan Kota Tinggi secara khususnya," katanya.

Azman (kanan) menyampaikan anugerah kualiti dan inovasi Kejora 2017 dan juga penyampaian anugerah kumpulan inovatif dan kreatif 2017.

Kata beliau, semoga kehadiran dan kesudian pihak Kejora dalam menghulurkan jabat Muafakat Johor akan menyuntik inspirasi kepada warga Kota Tinggi yang hadir dalam dewan ini untuk memacu kudrat usaha demi merealisasikan Agenda Johor Berkemajuan serta aspirasi Transformasi Negara.

Terdahulu, majlis sama turut diadakan penyampaian sijil dan trofi anugerah PPD Kota Tinggi 2017, penyampaian sijil AKIK, KIK dan penilaian 'outcome', penyampaian anugerah kualiti dan inovasi Kejora 2017 dan juga penyampaian anugerah kumpulan inovatif dan kreatif 2017.

Norazman (tiga, kiri) menyampaikan sijil dan trofi anugerah PPD Kota Tinggi 2017 kepada warga pendidik.

Tapak pameran yang disediakan buat pengunjung.

Tapak pameran yang disediakan buat pengunjung.