Serangan pandemik Covid-19 telah merubah lanskap pendidikan negara, terutamanya di peringkat  sekolah menengah.

Ia menjadi sangat kritikal apabila pelajar Tingkatan 5 akan menduduki peperiksaan besar, iaitu Sijil Peperiksaan Malaysia 2020.

Pindaan tarikh telah berulang kali terpaksa dilakukan dan tarikh terkini peperiksaan bertulis tersebut akan bermula pada 22 Februari depan.  

Penangan pandemik ini telah memaksa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menutup sekolah-sekolah dan murid-murid serta guru perlu menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bagaimanapun, KPM telah mengenal pasti bahawa kaedah pembelajaran dalam talian adalah kurang berkesan dimana antara kesannya adalah tahap penguasaan minimum murid tidak dapat dicapai.

Impak paling kuat terkena pada  para pelajar dan guru Tingkatan 5 yang perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi  SPM 2020 tidak lama lagi.

Mereka terpaksa melakukan penyesuaian dengan norma-norma baharu serta keadaan sesi PdP yang tidak stabil dan mencabar.

Akibatnya, ini menjadi faktor stress (stressor) pada sesetengah pelajar kerana merasa bimbang dan ketidakpastian dengan keadaan pembelajaran, kesan ke atas persediaan mereka dan banyak perkara di luar kawalan mereka.

Ini semua akan memberikan impak tidak sihat ke atas kesihatan mental dan emosi guru dan pelajar.

Kesihatan mental dan emosi

Kesihatan mental diperlukan pelajar untuk dapat memproses dan memahami maklumat dan pembelajaran yang disampaikan.

Kesihatan emosi pula penting untuk mereka kekal bersemangat, bermotivasi dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa.

Oleh itu, kedua aspek intelek dan emosi ini perlu diberikan perhatian oleh pihak sekolah dan para guru dengan menyediakan platform terbaik untuk sama-sama memastikan mereka bersedia kembali untuk persiapan rapi SPM 2020.

Pembukaan sekolah pada 20 Januari 2021 memberikan para guru dan pelajar 34 hari sahaja untuk persediaan peperiksaan SPM.

Oleh itu, gerak kerja perlu berdasarkan perancangan rapi dan tersusun untuk memberikan hasil yang maksimal serta memastikan kesihatan mental dan emosi pelajar sentiasa terjaga dan positif.

Para kaunselor dan guru sekolah perlu merangka program-program yang dapat dirasakan dapat meningkatkan semangat anak-anak didik yang akan kembali untuk cabaran SPM 2020 ini.

Program seperti sesi motivasi oleh pihak sekolah mahu pun pakar motivasi perlu diadakan.

Ini akan memacu emosi dan daya juang mereka serta memberikan harapan bahawa kejayaan masih dalam genggaman dengan usaha yang padu dan bersama.

Para guru yang kembali untuk kelas secara bersemuka perlu juga menerapkan persekitaran yang positif dan penuh kata-kata semangat dan nasihat secara konsisten untuk menaikkan semula minat calon di dalam kelas untuk bersama-sama melaksanakan persediaan yang terbaik.

Para guru dan kaunselor perlu cakna dengan perubahan tingkah laku dan respon pelajar yang luar kebiasaan supaya intervensi awal dapat dijalankan.

Pelajar dapat dipulihkan melalui sesi kaunseling dengan segera agar tidak mudarat dan mengganggu emosi dan mental mereka dalam persediaan SPM 2020.

Ia juga penting agar ia tidakmelarat dan mengganggu calon-calon lain yang juga turut berjuang dalam keadaan yang sukar ini.

Sistem ibu bapa angkat juga merupakan satu kaedah terbaik dalam mengawasi keadaan emosi dan mental mereka secara dekat, terutamanya di sekolah berasrama.

Sekumpulan pelajar akan diletakkan di bawah pemantauan guru lelaki dan guru perempuan yang bertindak sebagai ibu bapa angkat mereka.

Selain membantu persediaan dari segi peralatan, kelengkapan, buku-buku latih tubi, ia juga merupakan medium terbaik untuk mereka berkongsi permasalahan, terutama yang berkaitan dengan persediaan dalam SPM 2020.

Tanda-tanda awal juga dapat dikenal pasti dan majukan pada pihak kaunseling jika ia diperlukan.

Tidak lupa juga, aspek jasmani dan rohani juga merupakan aspek penting dalam memastikan proses ini berjaya.

Aktiviti riadah

Pelajar-pelajar perlu ada ruang untuk aktiviti-aktiviti riadah fizikal yang menyegarkan minda dan menyihatkan badan secara rutin seperti bersenam, bersukan, dan berjoging tanpa mengabaikan langkah-langkah pencegahan Covid-19.

Aktiviti-aktiviti fizikal ini telah terbukti dapat mengurangkan stress mereka.  

Untuk calon  beragama Islam terutamanya, mereka perlu memastikan ibadah rutin dijalankan dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh.

Aktiviti seperti solat berjemaah, mengaji al-Quran, berzikir dan menonton ceramah-ceramah agama di Youtube perlu diberi perhatian sewajarnya.

Para ustaz dan guru al-Quran juga perlu menjalankan peranan dalam memastikan pelajar mendapat ketenangan serta kemanisan dalam ibadah mereka. Semua ini penting untuk kesihatan mental dan emosi calon SPM.

Dan yang paling utama adalah, peranan ahli keluarga sendiri dalam memberikan dukungan dan bantuan kepada mereka ini.

Mereka dapat memberikan panduan, ruang dan peluang kepada pelajar SPM 2020 ini mempersiapkan diri agar tidak stress dimana kesihatan mental dan emosi mereka akan terganggu.

Ibu bapa terutamanya perlu cakna dengan tingkah laku anak-anak ini serta lebih terbuka untuk berbincang dengan guru kelas dan kaunselor jika keadaan memerlukan.

Calon-calon  angkatan SPM 2020 ini adalah golongan terpilih yang sangat istimewa dan situasi ini memerlukan perhatian yang berbeza berbanding kohort 2019 dan sebelumnya.

Mereka sangat memerlukan bantuan terutama dari aspek mental dan emosi dan pihak sekolah perlu memberikan keutamaan agar mereka juga dapat mencapai kejayaan seperti mana angkatan-angkatan yang terdahulu.

***** Terima kasih Pensyarah Kolej GENIUS Insane, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhamad Azan Tamar Jaya atas perkongsian ini.

Artikel menarik

7 tip homeschooling yang boleh ibu ayah praktikkan, nombor 6 antara yang penting

PIBGN sokong pelaksanaan PdPR. Mohon kerajaan pertimbang lima cadangan