Datuk Abdul Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian

"Ah qua lao shi,” kata seorang murid kepada gurunya.

Dalam bahasa Melayu, kata-kata tersebut membawa erti “Cikgu Pondan.” Lalu murid perempuan sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor itu dirotan pada lengan dan betis. Bukan hendak menyebelah sangat pada cikgu, tetapi pada hemat saya murid perempuan tersebut tidak menghormati gurunya, biadab.

Agaknya apa akan terjadi sekiranya murid yang sama tiba di rumah bertemu dengan ayahnya dan berkata, “Ayah Pondan.”

Mungkin dia kena penampar yang lebih kuat. Sebenarnya insiden ini hanya sebahagian kecil daripada sekian banyak contoh betapa murid-murid kita semakin hilang budi, hilang pekerti.

Artikel berkaitan: 'Sayalah guru pengiring yang didakwa di mahkamah'

Inilah dilema yang dihadapi golongan pendidik sekarang.

Selalu kita mendengar berita murid mencalarkan kereta guru, murid melawan guru, menumbuk guru. Malah, ada murid yang membakar bilik guru. Seorang murid berani menghina cikgunya di hadapan murid-murid lain!

Mana hilangnya rasa hormat terhadap insan yang membimbingnya sejak darjah satu?

Atau, apakah di luar sekolah ibu bapa dan keluarganya tidak mengajar dia beradab sopan? Atau, apakah ibu bapanya juga memang spesies tidak beradab? Adalah hakikat bahawa semakin ramai murid, termasuk pelajar perempuan yang lebam lengan itu, biadab @ kurang ajar.

Maka dia patut diajar.

Cuma cara mengajar itu kena berpada-pada. Lebih-lebih lagi guru mempunyai had tertentu dalam pendekatan mendidik dan membimbing. Sedia maklum guru tidak dibenarkan merotan, seperti disebut dalam garis panduan pengurusan disiplin dan kuasa merotan murid di dalam Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957.

Kata orang, pendidik memerlukan banyak kesabaran, lebih-lebih lagi dalam membimbing murid-murid rendah disiplin.

Namun cikgu pun manusia biasa, ada kalanya hilang sabar.

Menahan sabar

Cuba tanya, apakah seorang bapa – atau seorang ibu – dapat menahan sabar sekiranya anak sendiri menghinanya di hadapan umum?

Insiden sekolah menengah di Skudai itu – mungkin juga berlaku di banyak lagi sekolah lain – adalah sesuatu yang ekstrem. Murid ekstrem sehingga celupar memanggil cikgunya ‘pondan’.

Guru pun ekstrem sehingga melangkaui peraturan dan merotan murid hingga lebam tetapi pada hemat saya yang terlebih ekstrem ialah ibu dan penjaga pelajar tersebut yang datang ke sekolah, melepaskan geram dan marah ‘kaw-kaw’ terhadap guru berkenaan.

Dia tidak habis-habis menyalahkan guru, tanpa sedikit pun memberi ruang dan peluang untuk guru berkenaan memberi penjelasan.

Seperti dalam video yang tular di media sosial itu, ibu murid berkenaan beriya-iya menyalahkan guru, tetapi tidak pula dia mengakui sikap biadab dan kurang ajar anaknya.

Video tersebut memaparkan dengan jelas wajah guru berkenaan, tetapi tidak pula menampakkan wajah ibu yang terlajak marah itu. Apa perlunya perkara seperti inipun hendak divideokan dan ditularkan.

Adalah lebih wajar – dan lebih sopan – sekiranya isu ini diselesaikan menerusi perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah.

Sekiranya penularan video rotan ini adalah untuk memecahkan rekod umum, rasanya tidak tepat sebab sehari dua ini ada video yang lebih hangat dan dibualkan siang malam.

Jika video rotan ini sengaja ditularkan untuk membuka mata pihak berkuasa, khasnya Kementerian Pendidikan, rasanya itu tidak perlu kerana cukup dengan melaporkan insiden ini kepada  polis untuk disiasat.

Dan sekiranya penularan video ini dibuat hanya untuk memalukan guru terbabit, matlamat itu juga tidak tercapai, sebab guru berkenaan mendapat lebih banyak simpati, seperti respons yang ditunjukkan oleh warga maya.

Akhirnya yang sepatutnya berasa lebih malu ialah ibu murid itu sendiri – walaupun wajahnya tidak diviralkan! – sebab terbukti dia terlalu emosi dan gagal mengajar pekerti mulia terhadap anak sendiri.

Guru berkenaan terlanjur sebab tidak mematuhi SOP rotan kementerian.

Pelajar tersebut pun patut disalahkan sebab kurang ajar.

Maka antara keterlanjuran dan kurang ajar inilah siasatan mengenai isu ini sepatutnya difokuskan.

Baca:

Kes rotan murid kerana enggan solat: Mahkamah pinda hukuman penjara guru agama

Penjelasan mengenai status penyambungan ke bekalan elektrik awam - Ini jawapan KPM

Guru, sekali kau merotan, mencubit dan menengking, hilang sudah sejuta kebaikan

Syarat merotan pelajar dan jenis kesalahan tertakluk Ordinan Pelajaran 1957

Bekas pelajar berbilang kaum bangkit tunjukkan sokongan - Ini pandangan Cikgu Korea