JOHOR BHARU - Persatuan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Johor memaklumkan ahli-ahlinya tidak terkecuali bakal menaikkan yuran taska bermula tahun depan.

Presidennya, Norfaizah Abdul Hamid berkata, bagaimanapun,  kadar peningkatan itu bergantung pada taska mengikut lokasi masingmasing.

"Terdapat kira-kira 250 taska di bawah persatuan  kami. Ya mungkin ada kenaikan tetapi kadarnya tidak  tentu kerana perkara ini (yuran bulanan taska) berbeza
di setiap kawasan.

"Misalnya di kawasan  bandar untuk seorang bayi telah mencecah RM500 hingga RM600 dan sebaliknya di kawasan luar bandar antara RM400 hingga RM450.

"Persatuan tiada kuasa untuk selaraskan yurannya. Namun, difahamkan dalam kalangan ahli kami memaklumkan akan menaikkan kadar yuran bulanan antara 30 peratus berikutan terpaksa menanggung pelbagai kos pada tahun depan," katanya.

Norfaizah berkata, selain kos penyelenggaraan dan  penetapan gaji minimum pada tahun depan, pengurusan  taska sebenarnya perlu menanggung pelbagai kos tersembunyi.

"Antaranya kakitangan yang kami ambil bekerja itu  perlu dilengkapkan dengan kursus wajib sebagai syarat ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
dan kursus tambahan untuk menambah kemahiran yang pastinya turut memerlukan belanja tinggi.

"Selain itu, penyediaan  bahan mentah di taska selain kadar penyewaan premis taska juga perlu diambil kira.  Kesemua ini adalah amat perlu bagi meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan kami," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, soal jangkaan peningkatan  kadar yuran taska ini telah dimaklumkan kepada  ibu bapa lebih awal supaya lebih bersedia.

"Kita memahami soal ini mungkin agak membebankan  ibu bapa, namun kami  sehabis daya berharap mereka turut memahami keadaan kami demi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan kami," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus  Taska Nusa Indah, Islaina Yanti Rojihan berkata, pihaknya  terpaksa membuat kenaikan antara RM30 hingga RM50 untuk yuran taska di tempatnya pada tahun depan.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengelak berikutan  pelaksanaan gaji minimum RM1,100 yang membabitkan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) yang perlu ditanggung majikan.

"Nisbah seorang pekerja adalah untuk tiga bayi dan kadang-kala gaji pekerja pun hanya cukup-cukup makan  atau lebih sedikit sahaja untuk kadar yuran dibayar setiap bulan.

"Ini belum termasuk dengan  pelbagai kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung pihak pengusaha  taska berikutan kenaikan harga barang dan sebagainya.

"Malah, kami tidak mendapat bantuan kerajaan  meskipun berdaftar dengan JKM. Bagaimanapun, kami tetap patuh dengan segala  arahan ditetapkan pihak berkuasa," katanya.