PUTRAJAYA - Masyarakat digesa prihatin terhadap kanak-kanak yang menghadapi keciciran persekolahan dengan melaporkannya kepada Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi guru besar.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, pihaknya memandang serius fenomena keciciran dalam kalangan murid di sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, jika komuniti mengetahui ada murid yang tercicir daripada sistem persekolahan, boleh melaporkannya kepada guru besar sekolah terdekat ataupun kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

"KPM komited menangani masalah tersebut dengan mengadakan program perintis Sifar Murid Cicir (PSMC), dengan lima pejabat pendidikan daerah (PPD) terpilih termasuk Perlis.

“PSMC akan mengenal pasti murid cicir yang telah keluar daripada sistem pendidikan sebelum tamat tempoh dan kanak-kanak di peringkat umur persekolahan yang tidak mendapat akses pendidikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, PSMC dilaksanakan di Perlis, PPD Hulu Langat, PPD Langkawi sebelum diperluaskan ke PPD Pasir Mas, PPD Kluang dan PPD Kulai baru-baru ini.

Program yang dijalankan pada 25 Julai lalu mula menampakkan hasil apabila ramai pelajar tercicir mula kembali ke sekolah.

Selain itu katanya, PSMC turut melaksanakan intervensi berfokus supaya pelajar berkenaan kembali meneruskan pendidikan sehingga tamat tingkatan 5.

“Pelbagai program dan bantuan insentif diberikan kepada mereka agar kekal bersekolah,” katanya.

Masyarakat boleh menjadi mata dan telinga kementerian bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir daripada persekolahan. Gambar hiasan murid Tahun 1 SK
Putrajaya Presint 16(1) ketika menjalani sesi orientasi awal tahun ini.

Membuat lawatan ke rumah

Menurut Dr Ahmad Rafee, pelaksanaan PSMC bermula dengan taklimat kepada semua pengetua, guru besar, wakil bahagian KPM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan serta ketua komuniti setempat.

“JPN dan PPD yang terlibat dalam rintis akan menjalankan bengkel penyelesaian masalah berdasarkan kes di kawasan masing-masing.

“Mereka juga sediakan analisis keberadaan murid dan buat senarai sebelum bersama-sama dengan pihak sekolah menjalankan intervensi,” katanya.

Beliau berkata, antara intervensi utama dilaksanakan adalah mengadakan lawatan ke rumah murid, mengadakan program motivasi keibubapaan dan program kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ahmad Rafee berkata, secara keseluruhan, dapatan menunjukkan 26.1 peratus (262 orang) murid di sekolah menengah telah kembali ke sekolah.

“Bagi sekolah rendah, sebanyak 25.6 peratus iaitu 20 orang murid kembali belajar,” katanya.

Kata beliau, penglibatan pemimpin dan masyarakat sangat membantu KPM melaksanakan PSMC.

“Tuanku Raja Muda Perlis sangat prihatin murid yang tercicir. Kanak-kanak yang tercicir daripada sekolah yang ditemui Tuanku ketika program kayuhan mingguan dibantu dan didaftarkan sekolah semula,” jelas beliau.

Beliau berkata, PPD Langkawi juga melaporkan masyarakat setempat mula menunjukkan perubahan proaktif dan ingin bekerjasama dengan pihak sekolah bagi menangani masalah ini.

Kemiskinan antara punca utama

Sementara itu, penolong pengarahnya, Nik Fatihah Nik Abdullah mendedahkan, kemiskinan, masalah sosial antara salah satu faktor keciciran murid.

“Mereka diberi bantuan oleh agensi kerajaan yang bekerjasama dalam PSMC agar dapat kembali semula ke sekolah.

“Ada yang diberikan basikal, motosikal dan bantuan lain,” katanya.

KPM berhasrat memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti menjelang 2020.

Justeru, PSMC diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negara bagi menyokong hasrat itu.