Pengumuman Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkenaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dibatalkan mengejutkan semua pihak.

Ramai yang mula memberi pandangan masing-masing berkenaan perkara ini. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak.

Bagi guru yang dikenali sebagai Cikgu Pe Chey, beliau ada pendapat tersendiri tentang hal ini.

Katanya, UPSR mansuh dan PT3 dibatalkan adalah hak Kementerian Pendidikan (KPM)

“Cuma satu sahaja yang saya minta, mohon KPM berikan perhatian khas kepada calon SPM dan STPM 2021 agar jangan malang lagi macam calon 2020,” katanya seperti dipetik menerusi akaun facebooknya.

Dalam hantaran yang dikongsi sebentar tadi, Cikgu Pe Chey menyenaraikan beberapa perkara penting yang berkait dengan calon SPM dan STPM 2021.

1) Mohon kelas bersemuka buat mereka ini. Kelas online sangat merumitkan. Kurang sesuai. Tak adil buat pelajar di pedalaman yang tiada kemudahan yang sewajarnya.

2) Gunakanlah segala kemudahan yang ada, berserta SOP yang bersesuaian agar mereka ini dapat hadir ke sekolah kelas bersemuka bersama guru-guru mata pelajaran.

3) KPM perlu konsisten memberikan penerangan berkala terutama kepada mereka ini agar mood dan semangat calon tak luntur.

4) Usah berikan pengumuman saat akhir, kerana mereka perlukan persediaan yang sangat rapi. Fokus kepada persediaan peperiksaan itu mengambil masa.

5) Perlu ada tindakan proaktif mulai sekarang tentang SPM/STPM 2021. Jangan tunggu masyarakat bising di media sosial baru keluar kenyataan rasmi dari pihak menteri.

6) Berikan ruang masa dan kerja yang sewajarnya kepada semua guru SPM/STPM ini untuk menyusun, merangka dan melaksana tugas dengan sebaiknya. Jangan sahaja diperah saat akhir itu dan ini yang boleh mendatangkan tekanan mental dan fizikal.

7) Ibu bapa boleh diingatkan akan keperluan emosi dan pendidikan anak anak calon SPM/STPM agar guru, ibu bapa dan KPM bekerjasama dan selari dalam melaksanakan misi getir ini.

8) Gunakanlah segala media yang ada supaya kenyataan dapat dikongsikan sekerap mungkin. Usah lagi ambil masa yang lama untuk berikan kenyataan pada sesuatu isu yang perlu dijawab segera seperti apakah perancangan untuk calon tahun ini.

9) Mohon gabungan bersama kementerian lain yang sesuai seperti kementerian media dan belia untuk memperkasa persediaan calon. Contoh, penyediaan talian internet terbaik atau bantuan mentor mentee/ psikologi.

10) Besar harapan agar calon tahun ini, dapat dipersiapkan sebaiknya kerana masa terus berlalu. Mereka juga sudah banyak ketinggalan tahun lalu.

SPM/STPM adalah penentu jalan ke hadapan seseorang individu. Inilah peperiksaan penting.

Sumber: Facebook Pe Chey

Artikel menarik

UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, PT3 dibatalkan - Dr Mohd Radzi

5 Sebab UPSR perlu dimansuhkan: Murid tertekan dan penilaian tidak menyeluruh