Guru Subjek Fizik, MRSM Kubang Pasu, Kedah, Cikgu Muhamad Zaim Kassim mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan anggota kesihatan barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Usaha tersebut digerakkan secara berkumpulan, diketuai oleh beliau sendiri, bersama beberapa orang pendidik dari UniversitiUtara Malaysia,  Ahmad Hanis Mohd Shabli, Jabatan Kimia Malaysia, Muhamad Kamalrul Zaman Zainol, Kolej Vokasional Arau, Ahmad Fitri Mohd Yusri, dan juga pensyarah dari Polimas Jitra, Mohd Zaniel Mahadzir.

Beberapa bingkai yang sudah siap sebelum dipasang dengan plastic keras lutsinar.

Selain itu beberapa kenalan pendidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap) juga turut sama menerajui projek ini. Antaranya, Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi, Muhamad Asmi Romli, Shuhaizar Daud, Zahari Awang Ahmad, Mohd Hafiz Arshad dan Muhammad Aiman Ahmad Fozi.

Menurut Muhammad Zaim, beliau mula menghasilkan face-shield atau pelindung muka itu sejak mendapat berita dari media dan kawan-kawan mengenai kekurangan face-shield di hospital dan klinik-klinik akibat peningkatan yang mendadak jumlah pesakit Covid-19 di Malaysia.

 Alat Pelindung Diri (Personal protective equipment, PPE)  ini bertujuan untuk melindungi doktor dan petugas kesihatan dari virus ketika  mengendalikan pesakit Convid-19 secara terus (direct contact).

Proses mencetak bingkai (frame) menggunakan pencetak 3D

“Idea untuk menghasilkan pelindung muka itu diperoleh melalui perkongsian-perkongsian di media sosial oleh penggiat cetakan 3D mengenai keupayan mesin pencetak 3D menghasilkan alat pelindung muka bagi membantu pasukan perubatan di hospital.

“Bahkan ramai juga pemilik pencetak 3D telah mula mereka bentuk frame/bingkai yang sesuai digunakan dan dikongsi untuk penambah-baikan,”katanya.

Muhammad Zaim berkata, pada peringkat awal, beliau hanya bergerak sendiri di kawasan Kubang Pasu, membuat sendiri di rumah dan menghantarnya ke hospital berdekatan.

“Selepas beberapa hari, saya menerima panggilan dari penggiat dan pemilik mesin pencetak 3D untuk sama-sama membantu menghasilkan alat pelindung muka ini dalam jumlah yang lebih besar.

Bingkai (frame) menggunakan pencetak 3D

“Mereka terdiri dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang termasuk guru, penyarah dan pegawai-pegawai kerajaan yang lain. Sehingga ke hari ini jumlah kami adalah seramai 11 orang yang bergerak secara terancang untuk menghasilkan dan mengedarkan face-shield ke hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan sekitar Kedah dan Perlis,”katanya.

Tujuan mereka adalah untuk menzahirkan perasaan tanggunjawab kepada negara, sama-sama membantu pihak berwajib dalam menangani wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Selain itu kami juga ingin menggunakan kemahiran dan kepakaran yang ada untuk sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Masa yang terluang berikutan tempoh kawalan pergerakan juga menjadi foktor bagi mengisi masa lapang membuat sesuatu yang lebih bermanfaat,”ujarnya

Muhamad Kamalrul Zaman Zainol menyampaikan sumbangan Face-shield kepada pegawai di Jabatan Kecemasan dan Jabatan Oftalmologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Tambah beliau, alat pelindung wajah ini mempunyai dua komponen utama iaitu bingkai dan juga plastik keras lutsinar bersaiz A4.

“Bingkai ini merupakan komponen utama dan dibuat menggunakan mesin pencetakan 3D. Reka bentuknya direka khas supaya bersesuaian dengan kepala manusia dan berfungsi sebagai pemegang kepada plastic tebal dan mudah diletakkan di kepala pemakai.

“Plastik tebal lutsinar pula berfungsi sebagai pelindung (protector) muka pemakai daripada jangkitan virus apabila merawat pesakit Concid-19. Ianya melindungi keseluruhan muka si pemakai dan sifat lutsinarnya memudahkan si pemakai melihat melalui plastic tersebut,”katanya.

Pensyarah, UniMap, Muhamad Asmi Romli  sedang membuat pemeriksaan terhadap mesin pencetak 3D untuk digunakan .

Menurut beliau, setiap bingkai tersebut dicetak menggunakan pencetak 3D. Setiap satu bingkai mengambil masa hampir satu jam untuk dihasilkan bergantung kepada bentuk bingkai dan kualiti yang ingin kita hasilkan.

Sementara plastik A4 pula diperoleh dari kedai-kedai alat tulis atau pasaraya. Plastik tersebut akan  ditebuk lubang menggukan puncher. Lubang-lubang itu akan ditebuk bersesuaian dengan jarak klip yang telah tersedia di bingkai.

“Sebelum membuat pelindung muka ini, saya terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada doktor, berkaitan ciri-ciri keselamatan dan bentuk yang diinginkan oleh pasukan perubatan supaya ia menepati standard yang ditetapkan.

“Pelindung muka ciptaan kami ini ringkas tetapi menepati ciri-ciri keselamatan yang telah digariskan pihak hospital. Menggunakan kos yang rendah dan materialnya juga mudah diperoleh,”ulasnya.

Pegawai perubatan dari Jabatan Radiology Hospital Sultanah Bahiyah, memakai face-shield ciptaan kami.

Katanya, ianya dicipta ringan dan selesa dipakai untuk jangkamasa yang panjang, memandangkan petugas kesihatan perlu memakainya seharian sekiranya berada di red-zone hospital.

“Kami tidak membuka untuk tempahan, kami hanya mendapatkan jumlah yang diperlukan hospital, siapkan dan hantar kan kepada hospitan dan klinik kesihatan. Setakat ini kami mengutamakan jabatan-jabatan di hospital yang kritikal merawat convid.

“Walaupun terdapat beberapa agensi, ngo dan individu yang menghubungi kami untuk menempah dan membeli pelindung muka ini. Namun kami terpaksa menolaknya berikutan kekangan masa untuk menyiapkannya. Niat kami adalah untuk membantu pasukan perubatan secara percuma,”ujar beliau.

Menurut beliau, dengan kekuatan 10 mesin pencetak dan 11 orang ahli, kami mampu menyiapkan antara 150 hingga 180 unit pelindung muka setiap hari.

Kos kasar untuk satu pelindung muka sekitar RM3.50. Kos tersebut diperoleh daripada sumbangan rakan-rakan sekerja, persatuan penduduk dan individu yang berminat membantu.

“Setakat ini kami sudahpun menyalurkan alat pelindung muka ini di beberpa buah hospital, seperti Hospital Sultanah Bahiyah Alor setar, Hospital Alor Setar,  Hospital Tuanku Fauziah Kangar dan beberapa buah klinik kesihatan sekitar daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Perlis.

Sementara itu, Pengetua MRSM Kubang Pasu, Abu Zaki Ahmad Affendi berkata, MRSM memang menggalakkan aktiviti tersebut dilakukan. Ia secara tidak langsung membantu para pendidik, staf dan pelajar untuk sentiasa mencari idea baru, yang dapat  memberi impak kepada persekitaran malahan dunia.

“Dengan adanya inisitif sebegini menunjukkan bahawa kita di MARA dan MRSM khasnya, sentiasa membuka ruang kepada warga MARA untuk berkreativiti berinovasi dan seterusnya mampu berbakti  demi pembangunan bangsa dan negara,”katanya.

Artikel lain:

Jom cikgu sepakat bersama berganding bahu #DudukRumah

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain