Selain PIBG, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) juga salah satu biro yang membantu meningkatkan kemenjadian murid.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, walaupun KSIB sekolah itu baru menapak pada tahun lalu, namun semua aktiviti tidak langsung bergantung kepada tabung PIBG.

Dana KSIB adalah 100 peratus hasil kutipan daripada ibu bapa pelajar yang terlibat dalam sesuatu program.

Demikian kata Ketua KSIB, Sharifah Muhaiziah Syed Mustafa.

Beliau berkata, dana PIBG memang ada, cuma bagi biro KSIB sendiri, seboleh-bolehnya tidak mahu menggunakan dana PIBG yang lebih untuk pembangunan dan kemudahan asas sekolah.

“Setakat ini, dana KSIB yang berjaya dikumpul sebanyak RM52,390 (78 peratus daripada jumlah kutipan KSIB) untuk kelas PIBG dan RM9,116 (14 peratus daripada jumlah kutipan KSIB) bagi program Jom Alas Perut Anakku Sayang SPM 2018.

“Hasil kutipan tersebut, masih ada lebihan dana dan ia digunakan bagi membeli membeli PA sistem mudah alih untuk kegunaan PIBG dan juga sekolah,” ujarnya.

KSIB adalah saluran kerjasama dan komunikasi untuk merapatkan hubungan antara ibu, bapa, murid dan sekolah.

Melalui KSIB lebih banyak interaksi, perkongsian, kerjasama dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang bermakna antara ibu bapa dan anak masing-masing.

Peranan KSIB dalam PIBG adalah menjadi pemangkin mendapatkan kerjasama ibu bapa sebagai sukarelawan dan membantu pihak sekolah menjalankan aktiviti dianjurkan.

Sumbangan boleh diberikan dari segi kemahiran, tenaga, masa dan juga kewangan.

Bagi mendapatkan lebih banyak dana untuk tahun ini, KSIB berhasrat mahu mencuba strategi baharu.

“Tahun lepas, KSIB tidak bergantung dengan mana-mana syarikat luar atau NGO.

“Tapi insya-Allah untuk ini, usaha akan dibuat untuk memulakan hubungan dengan mereka terutama bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan,” ujarnya.

 

Dana PIBG

Mengikut data, kutipan sumbangan PIBG bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM88,900 (94 peratus daripada bilangan keluarga iaitu 33 peratus daripada keseluruhan pendapatan PIBG).

Baki dana PIBG untuk 2018, masih ada sebanyak RM28,766.25.

Sharifah Muhaiziah berkata, sebahagian besar punca pendapatan PIBG tahun lalu adalah daripada kutipan sumbangan PIBG sebanyak RM50 satu keluarga.

“Projek besar untuk kutipan dana tidak sempat diadakan dalam tahun lalu kerana pihak sekolah lebih fokus kepada program yang telah ditetapkan KPM dan salah satunya sekolah terpilih menyertai Program Transformasi Sekolah Kohort 3 yang bermula 2018 sehingga 2020.

“Namun sekolah amat beruntung kerana terdapat sebuah syarikat besar, EKOVEST Sdn Bhd yang menampung 100 peratus pembiayaan baik pulih padang sekolah sebagai salah satu projek CSR syarikat tersebut,” katanya.

Akhir sekali, Sharifah Muhaiziah berharap, KSIB sentiasa konsisten untuk terlibat dalam program sekolah dan juga program anjuran PIBG.

“Sebagai permulaan tahun ini, alhamdulillah, beberapa aktiviti KSIB berjaya dianjurkan seperti Kelas PIBG Tingkatan 1-5, Program Ziarah Cakna bersama warga sekolah dan sukarelawan KSIB membantu pada Hari Larian Bandar (26/1) dan Mesyuarat Agung (24/2).

“Insya-Allah, aktiviti lain akan menyusul nanti,” ujar beliau.  

 

INFO

Jawatankuasa PIBG

YDP PIBG   : Hashim Anang

NYDP PIBG: Azmir Abdullah

 

Biro PIBG

- Biro KSIB; Biro Akademik dan Latihan; Biro Kebajikan dan Agama; Biro Sukan; Biro Pembangunan dan Kemudahan Asas; Biro Keselamatan dan Disiplin dan Biro Maklumat dan Komunikasi

 

- Aktiviti anjuran PIBG dan KSIB 2018

1) Kelas Bimbingan PIBG (PT3 dan SPM)

2) Sembang Santai

3) Boling Santai Keluarga

4) Jamuan Raya Santai Kelas PIBG bersama warga sekolah

5) Bengkel Matematik dan Sains SPM

6) Jom Alas Perut Anakku Sayang PT3

7) Jom Alas Perut Anakku Sayang SPM

8) Majlis Budimu Dihargai

- Anugerah: Anugerah Penglibatan PIBG Terbilang PPD Petaling Perdana 2018 - tempat kedua

 

Sukarelawan ibu bapa dan alumni menjadi petugas 'checkpoints' Acara Larian Bandar pada 26 Januari lalu.

 

 

APA KATA MEREKA

1) “Setiap sekolah ada cara masing-masing untuk mencari dana. Bagi SK Convent (M) Kajang, kami bersama pihak sekolah dan juga agensi swasta, sepakat menganjurkan program

Sihathon, baru-baru ini. Program yang berlangsung selama dua bulan itu, bertujuan membina dewan terbuka dan menambah dana PIBG sedia ada. Sebanyak RM147 ribu berjaya dikumpulkan

dan itu adalah jumlah yang cukup besar buat kami. Justeru, besar harapan PIBG SK Convent Kajang agar ibu bapa dan pihak luar terus menyumbang untuk kecemerlangan sekolah dan

anak sekolah ini."

- Amirul Hilmy Abas

YDP PIBG SK Convent (M) Kajang

Sekolah Kluster Kecemerlangan

 

 

2) “Tiga faktor yang kami gunakan dalam menjana pendapatan dana PIBG iaitu sumbangan ibu bapa ketika mesyuarat PIBG; sumbangan daripada Ketua Komuniti seperti Ahli Parlimen,

Adun dan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk dan sumbangan syarikat korporat serta program-program dijalankan PIBG yang boleh mendatangkan kutipan dana. Harapan saya sebagai YDP sudah tentulah ingin pihak Kementerian dapat memberi dana permulaan awal tahun untuk setiap PIBG. Dengan adanya peruntukan dana seperti ini, setidak-tidaknya PIBG dapat menampung kos operasi misalnya untuk menjalankan mesyuarat agung PIBG. Inilah harapan saya dan juga harapan YDP seluruh PPD Petaling Perdana."

- Mohd Sani Awang  

YDP PIBG SK Subang Bestari 2

 

 

3) “Peranan PIBG masa ini, bukan lagi hanya sekadar membantu malah lebih penting terutama menjadi permuafakatan komuniti sesebuah sekolah. Sedar atau tidak, setiap jawatankuasa yang dipilih, harus bekerjasama dan kreatif dalam mencari dana serta sumbangan untuk keperluan program sekolah. Saya melihat, peranan jawatankuasa PIBG pada hari ini, mungkin tidak boleh lagi dipandang rendah. Selain sentiasa membantu secara profesional guru, perancangan yang tersusun serta berfikir secara aktif amat penting bagi memastikan seluruh ibu bapa dan komuniti setempat memberi sokongan."

- Nurul Shahrin Haron

YDP PIBG SK Raja Muda, Shah Alam