Jabatan kejuruteraan Elektrik, Politeknik Sultan IDris Shah (PSIS), Selangor mengulangi kejayaan demi kejayaan melalui hasil ciptaan pelajarnya dalam bidang robotik.

Lebih membanggakan pasukan yang dikenal sebagai PSIS Roboteam itu memenangi pelbagai kejohanan menerusi Robosot (Robot Soccer Tournament) yang dicipta sendiri lima pelajar Kejuruteraan Elektrik (Komputer) dan Kejuruteraan Elektrik (Komunikasi) dengan dibimbing pensyarah dilantik memenangi banyak pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penasihat robotik yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Mohd Zulfahmi Mohd Zawawi berkata, pelajar PSIS) diajar membina simulasi robotik sejak dari semester satu lagi.

"Lima pelajar yang terlibat dalam pembangunan Robosot dipilih berdasarkan kesesuaian simulasi yang dihasilkan dengan fungsinya.

"Kami ada lima jenis robot dan Robosot satu-satunya yang dibina sendiri pelajar, bermula dengan pemasangan komponen sehingga membuat programming," katanya.

Tambah beliau, Robotsot mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan sempurna hingga layak untuk menyertai kejohanan.

Dari kiri: Adham, Maran dan Haris sedang membuat kamera kalibrasi dan tetapan robot untuk acara Robosot Passing Challenge pada 24th Fira Roboworld Cup 2019 di Changwon, Korea yang berlangsung 11 hingga 18 Ogos lalu.

Maran dan Haris saling bekerjasama untuk membuat kamera kalibrasi dan tetapan robot.

Bermula pada 2013, pembangunan dilakukan sedikit demi sedikit dan setelah siap sepenuhnya, Robotsot diuji beberapa kali sebelum diyakini boleh menyertai pertandingan.

Mohd Zulfahmi berkata, penyelidikan dan pembangunan robot ini membabitkan kawalan dan rekabentuk robot mudah alih.

"Pelajar ini berganding dengan tenaga pengajar untuk menghasilkan perisian pintar dan pembinaan robot, sebelum ketangkasan dan kecekapan produk terbabit diuji menerusi penyertaan dalam Kejohanan Persekutuan Persatuan Robot Bola Sepak Antarabangsa (FIRA)," katanya.

Muhammad Harith (kiri) dan Hafiz sedang buat calibration patch image dengan Sistem Pengoperasi Robot (ROS) sebelum Androsot Dribble and Attack Challenge bermula.

Menurut Mohd Zulfahmi lagi, komponen robot berkenaan dibeli daripada pengedar tempatan.

"Kos keseluruhan projek ini ialah RM10,000 dan sebahagian besar ditanggung pihak PSIS." katanya.

Lima pelajar berkenaan ialah S. Maran; Muhammad Zulazly Mohd Yusof; Mohammad Hariz Mohammad Nizam; Muhammad Heiri Ahmad dan Muhammad Danial Ashraf Mohd Rozi.

Empat lagi jenis robot yang dibangunkan pelajar ialah Androsot (Android Soccer Tournament), Hirocup (Humanoid Robot), Simurosot (Simulation Robot Soccer Tournament) dan Dron (Fira Air).

Mohd Zul Fahmi (dua dari kanan) dan pensyarah pembimbing, Helmi Jamaludin bersama Haris (kiri); Maran (dua dari kiri) dan Adham (kanan) meraikan kejayaan setelah berjaya
mendapat tempat ketiga dalam Kategori Robosot Race Development pada 24th Fira Roboworld Cup 2019.

Menang pelbagai kejohanan

Kejohanan pertama yang disertai Robosot ialah FIRA Malaysia Cup pada 2016 dengan mendapat tempat ketiga setelah memungut empat pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Pada tahun ini, PSIS Roboteam dinobat juara keseluruhan Grand Master FIRA Malaysia Cup 2019 mengalahkan 24 institusi yang bertanding dengan pungutan enam emas, dua perak dan tiga gangsa.

Pertandingan itu menguji pengetahuan dan kemahiran peserta yang terdiri daripada pelajar berpendidikan teknikal, seperti Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik, Mekatronik dan Teknologi Maklumat.

Peserta yang menang akan bertanding di peringkat antarabangsa berentap dengan pasukan luar negara.

Beliau menambah, pertandingan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja mampu menguji pengetahuan pelajar berhubung sistem robotik humanoid dan menonjolkan bakat mereka, tetapi juga menjadi platform mempelajari budaya penciptaan baharu, sekali gus melahirkan graduan TVET berkualiti serta memenuhi keperluan industri pekerjaan.

"Peserta juga boleh mengeratkan hubungan dengan pasukan negara luar, malah melihat budaya diterapkan masyarakat dunia," katanya.

Mohd Zulfahmi (tiga dari kiri) bersama pensyarah pembimbing dan pelajar memegang Jalur Gemilang setelah pasukan PSIS Roboteam menggondol pingat perak bagi kategori Androsot Soccer Chalenge pada 24th Fira Roboworld Cup 2019 di Changwon, Korea.

Pertandingan kejohanan itu diadakan setiap tahun sebagai platform pertandingan robot bola sepak serta pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.

Pasukan PSIS Roboteam turut mewakili negara dalam pasukan Politeknik Malaysia yang muncul sebagai penerima pingat emas paling banyak pada 23rd Fira Roboworld Cup 2018 yang berlangsung di Taichung, Taiwan.

Pertandingan yang disertai 1,200 pelajar dari 10 negara itu menyaksikan Politeknik Malaysia memenangi sembilan pingat emas mengenepikan Indonesia (lima); China (lima); Taiwan (empat), Korea (dua) dan masing-masing satu Brazil; Rusia dan Filipina.

Pasukan Politeknik Malaysia turut disertai Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK).

 Pasukan Robosot PSIS bersama sijil kemenangan setelah berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori Robosot Race Development dan Robosot Middle Localization Challenge.

Dapat tawaran kerja

Sementara itu, robot Androsot pula terdiri daripada dua jenis, iaitu Bioloid dan Bidoid yang dibeli di Korea dengan harga RM7,000 dengan RM12,000 setiap satu.

Mohd Zulfahmi berkata, bagi robot ini pelajar akan membuat programming dan coding untuk fungsi robot berkenaan bersesuaian dengan peranannya.

"Robot ini dibeli pada 2013 dan digunakan pelajar untuk latihan simulasi program yang dibuat," katanya.

"Sejak 2013 lagi, pelajar ini mendapat tawaran kerja ketika di semester akhir lagi... pihak industri biasanya tertarik dengan apa yang dilakukan terutamanya sekali membabitkan 'vision system'," katanya.

Bagi memberi peluang kepada pelajar menggunakan kemahiran yang dipelajari, pihak PSIS mewujudkan sebuah syarikat dnegan kerjasama E-Robot Club bagi mempromosi bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Pelajar akan turun ke sekolah untuk membuat demonstrasi robot dan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang kejuruteraan dan robotik," katanya.

http://172.20.3.104:8080/polopoly/polopoly_fs/1.931224.1574217006!/image/image.jpg

Pasukan Robosot PSIS bersama sijil kemenangan setelah berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori Robosot Race Development dan Robosot Middle Localization Challenge.

Pasukan Robotik Politeknik Malaysia bersama pasukan aiRobots dari Taiwan selepas perlawanan akhir Androsot Soccer Challenge.

Pasukan Robosot Politeknik Malaysia bersama robot yang direkacipta dan diprogramkan untuk pertandingan 24th Fira RoboWorld Cup 2019 di Korea Selatan.

Aksi pasukan Androsot PSIS mewakili pasukan Malaysia pada perlawanan akhir kategori Androsot Soccer Challenge menentang aiRobots dari Taiwan semasa pertandingan 24th Fira
RoboWorld Cup 2019 di Korea Selatan.

 

 


 

Jabatan kejuruteraan Elektrik, Politeknik Sultan IDris Shah (PSIS), Selangor mengulangi kejayaan demi kejayaan melalui hasil ciptaan pelajarnya dalam bidang robotik.