SETIAP hari, guru akan bertemu dengan pelajarnya, sama ada untuk sesi pembelajaran di dalam atau aktiviti di luar kelas.

Oleh itu, penampilan dan perlakuan guru sering menjadi perhatian pelajar.

Apa-apa sahaja yang digayakan, diucapkan atau dilakukan oleh cikgu boleh menjadi inspirasi kepada pelajar.

Dalam pada itu guru juga turut bertemu dengan ibu bapa dan tetamu profesional dari luar institusi. Pertemuan sebegini, walaupun tidak kerap tetapi menuntut kepada penampilan mereka yang mampu membawa perspektif positif kepada institusi pendidikan yang diwakili guru tersebut.

Pentingnya guru menjaga penampilan sebenarnya ada tiga tujuan utama iaitu menjaga kredibiliti profesion keguruan; mengundang rasa hormat daripada sesiapa juga yang berurusan dengan guru; dan membina identiti guru yang efektif.

Sebagai guru, berikut tip penampilan yang baik untuk diamalkan:

1. Potongan pakaian perlu profesional. Adalah baik sekiranya guru mempunyai blazer formal yang berpadanan dengan rangka tubuh.

2. Pilih warna yang pekat dan kurangkan penggunaan warna pastel. Warna-warna pekat membawa mesej yang lebih tegas dan berpendirian manakala warna-warna pastel membawa mesej lebih santai dan kasual.

3. Untuk guru wanita, kasut perlu selesa, bertumit dan bertutup penuh.

4. Jangan lupa pakai jam. Jam adalah aksesori pelengkap yang boleh membawa mesej profesional. Pilih jam yang ringkas gaya rekaannya dan diperbuat daripada metal.

5. Minimumkan corak pada pakaian. Pakaian polos lebih berautoriti berbanding pakaian yang dipenuhi motif flora.

Antara perkara dilarang dalam berketerampilan, guru perlu elakkan:

1. Aksesori terlalu sarat.

2. Pakaian yang terlalu banyak perincian.

3. Warna-warna yang kelihatan lesu atau tidak bertenaga.

4. Gaya tudung yang lebih sesuai ke majlis khas.

5. Mekap yang terlalu tebal.

6. Muka pucat tiada langsung mekap.

Apabila kalangan guru jelas terhadap kepentingan berketerampilan secara profesional, isu rasa cemburu tidak akan timbul.

Perkara yang perlu difokuskan adalah kesan penampilan secara kemas dan konsisten terhadap karisma seorang guru.

Pelajar melihat guru yang berkarisma sebagai idola yang memberi motivasi untuk tampil bergaya secara profesional setiap hari.

Selain menjaga penampilan dari sudut pakaian, guru-guru juga perlu menambah baik teknik komunikasi apabila berhadapan dengan pelajar, rakan sekerja, ibu bapa dan tetamu institusi yang lain.

Imej bukan sahaja merujuk kepada teknik berpakaian malah salah satu komponen besar dalam imej juga adalah gaya pertuturan.

Artikel menarik:

Bersederhana dalam penampilan. Ini yang patut guru tahu bila bergaya ke sekolah

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik