SIAPA sangka, pasukan Paintball Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam, Selangor memberikan satu kejutan yang luar biasa pada Malaysia.

Terpilih ke Kejuaraan Dunia Pusingan Akhir di Eropah dalam Kejohanan NXL Paintball Europe Championship 2019 anjuran NXL Europe Paintball di Amsterdam, Netherland, September depan, membuktikan yang pelajar juga mampu mengharumkan nama Malaysia dalam bidang sukan di peringkat dunia.

Membabitkan penyertaan sebanyak 59 negara dari seluruh dunia, Pasukan Paintball SMK Seksyen 18, Shah Alam atau lebih dikenal sebagai Pasukan Mambang Jr, berjanji akan memberikan yang terbaik dalam kejohanan dunia tersebut.

Jurulatih, Ahmad Roslan Mohamad berkata, latihan akan bermula seawal bulan Jun hingga pertengahan September dan latihan itu tentunya akan lebih agresif dan sistematik.

"Cuba sehabis baik, peluang hanya datang sekali, Doa dan restu ibu bapa penting untuk kejayaan kita," katanya.

Ahmad Roslan

Terdahulu, Pasukan Mambang Jr telah mencipta pelbagai kejayaan besar.

Awal tahun ini, Mambang Jr muncul johan bagi Kategori Piala Komuniti Bahagian Mekanikal 2019 (Division 4) pada Kejohanan Paintball Asean 2019, Pusingan Pertama Terbuka Malaysia pada 16 Februari lalu di Stadium Mini Bola Sepak Bandar Tun Razak Kuala Lumpur.

Kejohanan yang membabitkan 11 pasukan paintball termasuk pasukan dari Thailand dan Singapura dianjurkan Malaysian Paintball League (MPL).

Kemudiannya, Mambang JR sekali lagi muncul Johan Kategori Bahagian Mekanikal (Division 3) bagi Kejohanan Paintball Antarabangsa Brunei Darussalam 2019, Terbuka Brunei 2019 (Pusingan Kedua), pada 9 Mac lalu di Kompleks Sukan Jerudong, Brunei.

Dianjurkan Royal Brunei Technical Services, kejohanan berprestij itu disertai 12 pasukan antaranya Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Malaysia.

Mambang Jr bersama raikan kejayaan dalam salah satu kejohanan yang mereka sertai baru-baru ini.

Harum nama negara

Pada 28 hingga 29 April ini, Mambang Jr akan bertanding dalam Kejohanan Paintball Borneo R500sle (Terbuka Wilayah Persekutuan) di Padang, Labuan.

Kejohanan itu disertai 11 pasukan dari Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Malaysia.

Harapnya, Mambang JR akan membawa pulang kejayaan yang lebih cemerlang kepada Malaysia.

Berkongsi rahsia kejayaan Mambang Jr, Ahmad Roslan memberitahu, beliau melatih pasukannya berdisiplin dan melakukan latihan secara berkala.

"Kami melakukan latihan secara berkala setiap hujung minggu di Sri Awana Paintball, Bandar Baru Bangi bermula pada jam 8 pagi hingga 2 petang," katanya.

Tambahnya, jadual latihan sememangnya padat pada setiap hujung minggu.

"Alhamdulillah, komitmen dan semangat tinggi daripada enam pemain paintball memang terbaik dan patut dipuji," katanya.

Ahmad Roslan berkata, untuk merangkul johan, kena ada strategi.

"Saya akan pastikan pemain berada dalam kecergasan yang terbaik, cukup latihan, cukup tidur dan cukup rehat.

"Dari segi pemakanan amatlah dijaga kerana pelajar tersebut tinggal di asrama," jelasnya yang juga merupakan guru Sains sekolah itu.

Peruntukan

Semua maklum, sukan paintball memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Mambang Jr sangat bertuah kerana menerima peruntukan daripada pelbagai pihak.  

"Mambang Jr mendapat peruntukan dari kerajaan negeri, NGO (Persatuan Paintball), PIBG, ibu bapa pelajar dan penyumbang lain bagi menampung perbelanjaan latihan dan keperluan pasukan.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) kerana turut membantu dari segi kelulusan perjalanan pertandingan.

Sementara itu, Pengetua, Ahmad Kamal Idris melahirkan rasa syukur atas kejayaan paintball sekolah.

"Pasukan Mambang JR SMK Seksyen 18 telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Saya yakin dengan kemenjadian ini dapat memberikan inspirasi pada pelajar lain supaya berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan. Kita mesti memastikan anak didik kita memiliki keutuhan jati diri yang ditunjangi dengan akar agama serta berupaya menterjemahkan slogan SMK 18 HEBAT.

"HEBAT adalah akronim kepada Husnul Khuluq; Efisien; Bijaksana; Amanah dan Terbilang agar terus mencengkam erat biarpun impian mereka melangit menerjah ke persada antarabangsa," katanya yang juga Penasihat Kelab Paintball SMK Seksyen 18.

Aksi pemain Mambang Jr ketika dalam kejohanan.

INFO

- Sejarah sukan paintball SMK Seksyen 18 bemula tujuh tahun lalu.

- Anugerah

1) Anugerah Kebitaraan Sukan Paintball Sekolah Asrama Harian Negeri Selangor (2015-2018)

- Pencapaian

1) Kejohanan Paintball Asrama Sekolah Harian Negeri Selangor (Asat) anjuran JPNS dan KPM

   2012 hingga 2015 – Johan Negeri Selangor

   2013 dan 2015 – Johan Kebangsaan

   2014 – Naib Johan Kebangsaan

2) Kejohanan Paintball World Cup Asia 2016 ( WCA)

Anjuran: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Pencapaian: Kedudukan Ke-12 daripada 48 penyertaan dari negara Asia

3) Johan Keseluruhan Asean Paintball Championship 2017

4) Kejohanan Mechanical Division R500 - Rangking ke-3 dan ke-4

5) Kejohanan Liga Paintball Malaysia 2018 Kategori Bahagian Mekanikal

 

Ahli Pasukan Mambang Jr

1. Wan Muhammad Ali Najwan Wan Ali (ketua pasukan-pemain utama-tingkatan 5)

2. Aish Danial Aqli (pemain pertahanan-tingkatan 3)

3. Hasif Muthtasim Azman (pemain kiri-tingkatan 3)

4. Muhammad Ilham Ikrar Semesta (pemain pertahanan-tingkatan 3)

5. Muhammad Hafiz Naufal Hasmuni (pemain kanan-tingkatan 5)

6. Muhd Zul Aqil Mohd Azlin (pemain pertahanan-tingkatan 4)

 

REAKSI

1) "Sejak kecil lagi saya memang minat paintball. Keluarga pula, memang tak pernah bantah. Setiap kali ada perlawanan, mereka akan beri sokongan yang luar biasa. Idola dalam paintball pula, tak lain dan tak bukan Craig Marley dari Team Raskal Malaysia."

- Wan Muhammad Ali Najwan Wan Ali

Tingkatan 5 (ketua pasukan)

2) "Saya minat dengan Ronnie Dizon dari Team HoustonHeat. Dia sangat hebat dalam sukan paintball. Harapnya saya pun boleh jadi seperti dia.

- Muhammad Ilham Ikrar Semesta

Tingkatan 3 (pemain pertahanan)

3) "Setakat ini, akademik saya ok dan saya masih mendapat keputusan cemerlang dalam setiap subjek. Latihan paintball hanya diadakan pada hari minggu saja manakala hari sekolah, saya dan rakan tetap belajar seperti biasa."

- Aish Danial Aqli

Tingkatan 3 (pemain pertahanan)