KALAU anda pejuang BM, anda wajib bertanya, “Apakah punca utama BM gagal dimartabatkan selama 60 tahun ini walaupun belum ada pengiktirafan kepada UEC?”

Cuba tanya bagaimana bahasa Arab yang dulunya sebelum Islam hanya bahasa primitif di gurun, kemudian menjadi bahasa tamadun sains, falsafah dan teknologi?

Kita bukan sekadar perlu seorang pejuang BM tetapi kita perlu seorang yang berwawasan tamadun, melihat perjuangan bahasa sebagai perjuangan holistik.

Saidina Umar Al-Khattab pada mulanya telah menjadikan bahasa Parsi sebagai bahasa pengantar bagi pentadbiran Diwan iaitu pentadbiran kewangan yang berasal daripada tamadun Parsi. Bila umat Arab sudah mahir pentadbiran Diwan, mereka ubah kepada bahasa Arab sepenuhnya.

Saya melihat visi ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub, dalam diri Dr Maszlee, khususnya dalam bidang dakwah dan memartabatkan BM.

Ayah saya melaksanakan kewajiban lulus BM SPM, penggunaan BM di semua jabatan kerajaan dan penubuhan UKM sebagai gagasan memartabatkan BM sebagai bahasa tamadun. Ayah saya juga serius menubuhkan Universiti Islam masa itu dan telah bertungkus-lumus mencari dana.

Ayah saya tidak mahu isu BM, pendidikan dan dakwah dijajah oleh politik murahan tapi usaha ayah saya sebagai Menteri Pelajaran terlalu singkat. Perjuangan melawan komunis di Sarawak terlalu memerlukan ayah saya untuk kembali ke Sarawak.

Perjuangannya dalam BM tidak diteruskan secara istiqamah oleh Umno. Akhirnya BM hanya dianggap sebagai bahasa komunikasi, bukan bahasa pembinaan tamadun.

Yang lebih tragis ialah pendidikan dan patriotisme dipolitikkan sebagai alat propaganda satu parti politik. Ini meninggalkan kesan besar kepada martabat BM.

Bagi Dr Maszlee Malik, usaha memartabatkan BM sebagai bahasa untuk semua perlu bermula dengan sifat inklusif. Pejuang-pejuang BM perlu mendengar suara semua bangsa sama ada berupa rintihan atau harapan.

Perlu dengar juga suara OKU yang menggunakan bahasa isyarat. Dr Maszlee mampu berbahasa isyarat demi untuk berkomunikasi dengan OKU.

Kita perlu ubah mindset kita. BM bukan bahasa untuk Melayu sahaja. Ia adalah bahasa pertama untuk Cina, India, Kadazan, Iban, orang Asli. Bila kita beralih ke mindset ini, kita tidak mudah mengkambinghitamkan sesiapa yang tidak fasih BM.

Kita akan cuba mendengar rintihan-rintihan mereka tentang halangan-halangan yang mereka hadapi dalam mempelajari BM.

Bila BM dijadikan alat propaganda sebuah parti politik yang bersifat rasis, sudah tentulah bangsa lain akan rasa jauh hati dengan BM. Siapa  nak belajar satu bahasa yang digunakan sebagai alat untuk menghina bangsanya?

Lebih memburukkan keadaan ialah bila patriotisme dikaitkan dengan kepartian, bukan dengan negara.

Dahlah BM dipolitikkan, semangat patriotisme yang menjadi roh bahasa pula dijadikan alat pemuas nafsu parti politik. Akhirnya BM menjadi jasad tanpa maruah dan tanpa roh.

Nasib BM bertambah tragis lagi bila rejim yang lepas tidak mempedulikan penindasan BM di universiti-universiti tempatan. Universiti-universiti tidak memberi poin KPI kepada terjemahan buku-buku ilmiah ke BM.

Dewan Bahasa dan Pustaka pula dipimpin dengan cara yang gagal memperkasakan terjemahan ke BM secara besar-besaran. Rata-rata buku rujukan ilmiah tinggi tidak diterjemahkan ke BM.

Akibatnya, pelajar-pelajar seperti di UKM dan UITM yang ingin memartabatkan BM terpaksa merujuk kepada buku-buku bahasa Inggeris kebanyakan masa.

Ini jauh beza dengan Baitul Hikmah pada zaman Khalifah al-Makmun di mana terjemahan ke bahasa Arab adalah jantung revolusi ilmu di Baghdad. Dr Maszlee memahami masalah-masalah holistik ini.

Beliau telah membawa Sasterawan negara Pak A.Samad Said kembali ke DBP. Pak Samad diketepikan oleh rejim politik dulu kerana kritikan beliau terhadap BN. Sastera dan seni adalah lambang ketamadunan bahasa.

Dr Maszlee faham sekolah kebangsaan adalah agen BM yang paling utama. Maka, beliau telah berjanji bahawa agenda utama ialah menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

Martabat bahasa adalah bergantung pada kesungguhan rakyat untuk mentamadunkan dirinya menjadi Rausyenfikir (pemikir tajdid). Tiada yang ingin mempelajari satu bahasa jika rakyatnya bersifat kolot dan primitif.

 

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak