MENGGALAS amanah sebagai seorang guru Pendidikan Islam yang lebih memfokuskan akhlak dan kerohanian bukanlah satu tugas mudah, malah menjadi satu tanggungjawab ke arah pembentukan sahsiah murid-murid.

Dunia persekolahan hari ini amat berbeza dengan zaman dahulu memandangkan cabaran dalam mendidik, menyebarkan ilmu harus diperturunkan setiap hari agar dapat mengelakkan tingkah laku dan moral yang kurang baik di luar sana.

Asas mengenai al-Quran perlu dipupuk sejak kecil lagi seperti peribahasa Melayu 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'.

Oleh hal yang demikian, peranan guru Pendidikan Islam ini amat berat di mana mereka mesti melatih murid-murid mengenal huruf 'Alif', 'Ba', 'Ta' sehingga mereka mampu membaca al-Quran dengan jelas dan lancar tanpa bimbingan sesiapa.

Apabila asas ini sudah kuat dalam diri, sekali gus pembentukan sahsiah murid itu akan menjadi lebih baik dan cemerlang serta melahirkan modal insan yang berakhlak mulia.

Dalam menempuh pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 ini, guru perlu kreatif dan cakna pada pendekatan dan pedagogi ke arah mengamalkan nilai hidup sebagai umat Islam yang sebenar.

Selain itu juga, didikan bagi memperkembangkan nilai jasmani, emosi, rohani dan intelek wajar dikekalkan sepanjang pembelajaran bagi memastikan kemenjadian murid berpaksikan ajaran Islam sebenar.

Kesabaran itu perlu ada bagi setiap orang guru kerana dengan kaedah lemah lembut, bersikap menegur dan membentuk sahaja mampu melahirkan sebuah permata yang bersinar.

Keikhlasan dan pengorbanan dalam bentuk masa, wang ringgit, kudrat dan keringat tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan.

Umum mengetahui bahawa negara yang maju memerlukan bangsa berilmu pengetahuan luas, berkemahiran tinggi, dan ke arah peribadi unggul.

Tokoh pendidik dan tokoh Islam, Syed Mohd Al Naquib Al-Attas pernah berkata, guru memerlukan sikap kehidupan dan pembawa iaitu mendidik kerana mencari keredaan, kebersihan hati dan diri, keikhlasan, alim dan menghormati.

Sesungguhnya guru mampu melahirkan pelajar ke arah pembina negara bangsa berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia kerana ada pepatah Arab mengatakan bahawa “hampir-hampir seorang guru itu menjadi rasul.”

QUSZAINI ABDUL MANAN

Ketua Panitia Pendidikan Islam

SK Kenering, Gerik, Perak

Artikel Menarik:

Kredibiliti pengetua menentukan rentak dan irama sekolah

Didiklah murid dengan penuh sabar, setiap mereka berbeza

Jadilah insan biasa yang luar biasa

Jika kamu tak tahan penatnya belajar, kamu tanggung peritnya kebodohan