Pemergian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim merupakan satu kehilangan besar yang ditangisi dan diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Paling merasai kehilangan Allahyarham, sudah tentulah ahli keluarga dan juga tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi.

Tidak terkecuali, kalangan guru-guru yang pernah mengajar Allahyarham Muhammad Adib ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau satu ketika dahulu.

Cikgu Emmet menerusi blog Cikgu Emmet Menulis berkongsi luahan hati seorang bekas guru Allahyarham mengenai keperibadian sebenar arwah.

Ikuti luahan sedih tersebut

 

**********

 

Negara diselubungi rasa sayu dan sedih akibat kehilangan seorang wira muda negara iaitu Anggota EMRS Bomba PB Muhammad Adib Mohd Kassim 24 tahun yang menghembuskan nafas terakhir setelah terlantar hampir 21 hari di hospital setelah diserang sewaktu bertugas semasa rusuhan di Kuil Mahimaran USJ Subang Jaya pada 27hb November lepas.

Saat jenazahnya sampai di kampung halamannya di Kampung Tebengau Kuala Kedah, ribuan penduduk menanti kehadiran keranda wira negara itu.

Selepas helikopter mendarat kelihatan banyak burung-burung seperti camar berterbangan diruang angkasa padang sekolah SK Tebengau. Seakan-akan turut menyambut kepulangan Allahyarham Adib dengan penuh kesedihan.

Salah seorang yang terasa akan kehilangan Allahyarham ialah guru yang pernah mendidiknya di SK Tebengau pada tahun 2001-2006. Beliau ialah Cikgu Rosita Othman.

 

Cikgu Rosita

 

Menurut Cikgu Rosita, semasa Adib di sekolah rendah, beliau amat disenangi oleh guru-gurunya.

“Adib seorang yang pemalu, pendiam dan lemah lembut serta disenangi guru tapi dia juga agak aktif dalam sukan terutamanya bola baling. Malah Adib pernah mewakili daerah dalam pertandingan bola baling MSSR negeri kedah. Jelas Cikgu Rosita.

Cikgu Rosita merasa terkejut apabila mengetahui Muhammad Adib menjadi mangsa rusuhan sewaktu menjalankan tugas menyelamat dan sentiasa berdoa agar beliau selamat. Namun apakan daya Allah lebih menyayangi Allahyarham.

Kami guru-guru SK Tebengau berasa sangat hiba sewaktu helikopter yang membawa jenazah Allahyarham mendarat di padang kerana padang itulah tempat Allahyarham bermain semasa bersekolah rendah dahulu.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Muhammad Adib dan menempatkan beliau di kalangan para syuhada.

Bagi kita warga Malaysia yang masih bernafas ini jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran bahawa emosi yang marak disimbah dengan rasa benci perkauman yang marak bukan sahaja mampu meruntuhkan perpaduan malah boleh memusnahkan negara.

Semoga pelaku jenayah ke atas Allahyarham dijatuhkan hukuman berat setimpal dengan apa yang dilalui oleh keluarga Allahyarham.

 

Sumber: Blog Cikgu Emmet Menulis