Berdepan dengan pandemik Covid-19 ini amat memerlukan pengorbanan, terutama kepada para pelajar di sekolah. Ada pelajar yang terpaksa berkorban masa dengan membantu ibu bapa bekerja demi kelangsungan hidup. Tidak kurang juga mereka yang terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk berbelanja membeli makanan di sekolah.

Di sinilah sebenarnya peluang kita untuk saling membantu dengan amalan bersedekah. Secara zahirnya, amalan ini nampak seperti harta kita berkurangan. Kerana kekurangan inilah sering kali ia disalah ertikan. Malah lebih menyedihkan, ramai juga bertanggapan ‘rezeki aku, usaha aku, ini harta, aku yang punya’.

Sebenarnya, amalan bersedekah adalah salah satu amalan menambah ‘saham’ akhirat, yang mana amalan ini tidak akan terputus ganjarannya walau kita telah tiada nanti.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang anak Adam itu mati maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara (yang selepas mati pun pahalanya berterusan akan diperoleh) iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan oleh orang ramai dan anak soleh yang sentiasa mendoakan untuknya.” (Riwayat Muslim)

Nak jadi kaya dengan sedekah? Ikuti perkongsian Guru Pendidikan Islam, SMK Tengku Budriah, Arau Perlis, Ustaz Rohisyam Abidin

1.Lakukannya ikhlas kerana Allah Taala.

Untuk mengelakkan diri dari mempunyai sifat takbur dan riak dalam bersedekah, bersegeralah untuk membetulkan niat kita, iaitu segalanya adalah kerana Allah Taala sahaja. Ini kerana amalan sedekah yang tidak bertujuan kerana Allah SWT, akan menjadi rosak pahalanya. Jika baik niat kita, maka baiklah ganjarannya, namun jika sebaliknya, maka amat rugilah kita. Satu hadis Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal adalah berdasarkan dengan apa yang diniatkannya dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2.Pada rezeki kita, ada rezeki sahabat yang lain.

Konsep rezeki yang perlu kita tahu adalah, dalam rezeki kita, ada juga rezeki sahabat kita lain. Oleh sebab itu, usah kita terlalu bersifat kedekut kerana semua rezeki yang diperoleh adalah dari kurniaan Allah SWT. Allah SWT berhak untuk menarik kembali rezeki yang diberikanNya dengan sekelip mata. Jangan kita menjadi seperti Qorun yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran, yang menjadi kaya dengan nikmat Allah, kemudiannya kufur. Dan Allah SWT menarik kembali nikmat tersebut serta mengazabnya dengan azab yang dahsyat. Oleh itu, berkongsilah, ia lebih membawa bahagia.

3.‘Bisnes dengan sedekah’.

Anda nak bahagia? Anda nak sihat dan ceria? Anda nak berjaya dalam pelajaran? Mari sini nak kongsikan, jom sedekah! Dalam sebuah lirik lagu dari kumpulan Nirvana, “What u give, u get back”, yang maksudnya, “Apa yang kau beri, begitu juga kau akan dapat kembali”. Konsepnya mudah, apabila kita sedang memberi, sebenarnya Allah juga sedang memberi. Jadi, kenapa tak mahu nak sedekah, sedangkan Allah juga yang akan memberikan ‘sedekah’Nya kepada kita?

4.Ganjaran Allah lebih besar.

Satu pokok hasil dari sebiji benih, yang akan menumbuhkan pohon yang rimbun dan membuahkan buah yang banyak. Begitulah perumpamaan yang Allah SWT berikan kepada orang yang suka bersedekah. Dalam surah al-Baqarah ayat 261, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.”

5.Ingat! Mereka adalah saudara kita.

Pernahkah kita melihat sahabat sekelas kita yang setiap hari ‘berpuasa’? Makan minum yang dicatu sehari-hari, pakaian yang tidak bertukar ganti. Ingat! Mereka itu saudara kita dan mereka memerlukan bantuan kita. Cuba kita meletakkan diri kita di tempat mereka. Sudah semestinya kita juga akan melakukan hal yang begitu juga. Oleh itu, sama-sama kita letak di tepi segala pangkat dan darjat, ego dan bangga diri kita, dengan membantu saudara kita yang memerlukan, beri sumbangan dan kebaikan, kerana pada mereka itu, adanya lubuk pahala buat kita.

Justeru, inilah jalan pintas kepada kita menjadi kaya, iaitu dengan banyakkan bersedekah. Yakinlah bahawa Allah SWT akan membukakan pintu-pintu rezeki yang lebih luas, kepada orang yang sering menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT. Dan Allah SWT jualah yang akan menarik kembali nikmatNya, jika kita kufur dan ingkar pada perintahNya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi Rezeki.” (Surah Saba, ayat 39)