Keputusan permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan juga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sudah pun diumumkan.

Ada yang bersorak kegembiraan kerana nama mereka berjaya ke SBP atau MRSM.

Yang tidak bernasib baik..lebih gemar menyendiri.

Dalam situasi sebegini, mak ayah harus beri sokongan pada anak masing-masing dan jangan biarkan mereka terus bersedih.

Walau tiada tempat ke asrama penuh, masih ada banyak ruang di luar sana untuk anak-anak menimba ilmu.

Menerusi akaun facebook Sidiq Ad’Din - Perunding Motivasi, kata-kata semangat beserta beberapa tip untuk ibu bapa, dibekalkan sebagai panduan.

Ikuti apa yang dikongsi oleh beliau.  

 

 

**********

 

 

Untuk ibu bapa yang nak masukkan anak ke SBP atau MRSM, jika tak dapat tempat untuk anak, bersabarlah.

Saya percaya banyak sekolah harian biasa sebenarnya yang mampu melahirkan generasi yang bagus-bagus.

Cikgu-cikgu yang mengajar juga adalah cikgu yang hebat-hebat dalam kepakaran subjek masing-masing.

Cuma bezanya adalah, lihat kepada kemampuan anak sendiri. Jika tidak dapat, anggaplah bukan rezeki dan doakan yang terbaik untuk anak sendiri. Jika berada di sekolah harian pun, anak-anak masih mampu berikan dan buktikan yang mereka juga boleh cemerlang.

Penghujungnya, bukan kita nak tunjukkan anak siapa lagi hebat, kita cuma mahu buktikan bahawa anak kita juga mampu cemerlang dan dapat tempat di universiti, dapat pekerjaan yang bagus dan membahagiakan ibu bapanya sendiri.

Usah terus fikir negatif, bahawa anak tak pandai kalau tak dapat sekolah yang bagus, paling penting adalah terus support anak dan berikan secukupnya keperluan untuknya.

Jika anak belajar di sekolah harian pun, pesan saya adalah sentiasa support mereka, doakan mereka setiap hari agak dilindungi dan di mudah urusan belajar, peluk mereka setiap hari, nasihat mereka setiap hari dan jangan mudah putus asa jika anak gagal, terus naikkan semangat mereka untuk terus belajar.

Namun, ada beberapa tip yang saya mahu kongsikan bagi memastikan anak anda mencukupi dengan perkara-perkara ini. Ada beberapa perkara yang saya mahu kongsikan, antara ialah terus terapkan anak-anak dengan didikan agama yang mencukupi, jangan pernah tinggal solat dan didik anak untuk bina hubungan dengan Allah.

Perkara yang kedua pula ialah terapkan anak-anak dari segi akhlaknya, iaitu saya selalu pesan pada para pelajar, walaupun belajar tak pandai, namun biarlah anda dikenali sebagai manusia yang baik akhlak dan sahsiahnya. Tidak ada masalah disiplin, dan diingati oleh guru-guru kerana anda adalah pelajar yang baik.

Akhir sekali adalah, pastikan anda memberi keperluan yang mencukupi untuk anak-anak dalam memastikan mereka belajar dengan selesa. Dalam memberi keperluan yang mencukupi, tambahkan nasihat yang membina untuk anak-anak yang sedang belajar.

Tambahan, sokonglah program-program yang dijalankan oleh pihak sekolah, bersatu padulah dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak pelajar. Cikgu ibu bapa support, guru-guru juga pasti tahu apa yang mereka boleh lakukan demi memastikan kecemerlangan pelajar sentiasa meningkat.

Paling tidak, kalau anak tak cemerlang pun, merekalah satu-satunya anak yang mampu jaga mak ayah masa tua nanti, yang mampu mendoakan, jaga sehingga nafas mak ayah terhenti.

Itulah anak yang Hebat sebenarnya.

Catatan

Mohd Sidiq Ad’Din

 

Mohd Sidiq Ad’Din merupakan seorang penceramah motivasi.

Beliau juga Pengasas & Pengarah Mukmin Generation Training Consultancy  

 

Sumber: Facebook Sidiq Ad’Din - Perunding Motivasi

 

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal