Nampaknya, Februari ini dah masuk musim guru baharu melapor diri. Masing-masing tentu teruja untuk memulakan tugas kan? Cuma kali ni perasaannya lain sikit, tak jumpa murid. Semanya online sahaja, termasuklah sesi pengenalan dengan murid kan.

Sebagai peringatan buat semua guru-guru baharu, dengarkan nasihat daripada Ketua Program Genius Kurnia, yang juga bekas Guru Besar di SK Pekan Nenas, Cikgu Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin ini.

“Aku cuma nak berpesan, bila mula bertugas nanti. Buatlah sehabis baik, bukan buat semata-mata kerana nak dapatkan nama atau nak merendah-rendahkan orang lain.

Di sekolah tu, masih ada cikgu yang berperang hendak menggunakan teknologi. Bukan mereka tak nak belajar, tapi biasalah.. lambat sedikit nak sesuaikan diri.

Maka, janganlah pandang rendah kepada mereka. Tapi hulurkan tangan, berikan panduan. Anda yang muda belia, ilmu ICT mesti tinggi. Permudahkanlah urusan rakan guru yang masih tercari-cari cara terbaik untuk PdPr dan janganlah anda mengata mereka pula.

Abang dan kakak senior pula janganlah terasa hati dengan adik yang tengah bersemangat waja tu. Berikan mereka galakkan, kalau mereka nak memecut laju, biarkan.

Supportlah mereka dari kiri kanan dan belakang, jangan pula jadi batu penghalang di hadapan. Anda juga yang tumpang senang, semua benda yang anda kenalkan itu pasti kelak memudahkan.

Jangan mengelak kerja! Jangan bagi alasan ‘saya tak pandai’, suka ke kalau anak murid lontarkan soalan yang sama?

Jadi, belajarlah. Cikgulah satu-satunya profesion yang anda akan buat segala-galanya. Cakaplah apa, mesti anda perlu merasainya. Janganlah takut belajar benda baharu, seronok tau sebenarnya. Anda akan teroka bakat terpendam dan ilmu yang tak pernah kau terfikir untuk belajar selama hidup ni.

Macam saya, tak pasal-pasal belajar bab pengurusan kewangan dan perolehan waktu mula-mula mengajar dulu. Nampak macam tiada kepentingan pada mulanya, tetapi sangatlah berguna bila saya masuk ke bidang pentadbiran. Daripada mengurus kewangan panitia hinggalah hari ini mengurus kewangan bahagian.

Oh ya, jika anda berbakat dalam sesuatu bidang. Kongsikan dan biar rakan-rakan lain tahu tentangnya, bukan untuk mendabik dada.

Tetapi untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran kepada yang lain, lebih ramai yang tahu, lebih baiklah untuk sekolah. Biarlah orang nak kata apa, teruskanlah sahaja berkongsi!

Maka, pekakkanlah telinga jika ada suara-suara sumbang yang mengata anda itu hanya nak membodek bos bila sanggup terima pelbagai kerja.

Gunakan lima tahun pertama di sekolah untuk meningkatkan skil pedagogi, tambah pengetahuan baru dan bina hubungan baik antara rakan guru, murid, ibu bapa dan pentadbir.

Selepas itu, senanglah nanti anda nak mengikuti pelbagai kursus dalam dan luar negara. Sebab dah ada pelbagai penglibatan yang telah disertai.

Masuk inovasi banyak-banyak jika anda nak menuju ke laluan Guru Cemerlang. Ikuti pelbagai kursus yang ditawarkan INTAN, jika anda menuju ke laluan pentadbiran. Tak rugi sedikit pun! Sebab itulah juga yang saya dah terlibat dengan pelbagai kursus dan bengkel diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Laluan kerjaya juga lebih mudah dan jelas untuk kita bersedia.

Jangan dilupa, simpan dan susun segala dokumen pelantikan, penyertaan dan sijil penglibatan. Penting untuk resume dan CV anda waktu temuduga HLP/HLPS nanti. Nak mohon kursus jangka masa pendek ke luar negara pun boleh, janji dokumentasi power! Oh ya, persediaan bercakap dan mempengaruhi orang juga kenalah.

Bayangkan, 16 tahun berkhidmat. Saya dah merasa DG29, DG32, DG42, DG44 dan DG48. Daripada diploma, ijazah, advance diploma dan kini menuju ke sarjana.

Berat tapi, masih mampu ditanggung, kerana antara sebabnya ialah.. memudahkan urusan orang lain. Tuhan akan mengangkat kesukaran anda bila mana anda  sangat-sangat terhimpit.

Yang penting, jalankan tanggungjawab kerana Tuhan dan tanpa meminta balasan atau mengejar pangkat. Buat sehabis baik, dan pangkat akan mencari anda, hormat manusia juga datang mengiringi.

Buat adik-adik pendidik, selamat berjaya di dunia dan akhirat. Abang hidup tak lama, koranglah pengganti kami nanti. Biarlah mati kita, mati bererti. Mati yang disenangi dan dirindui, mati yang mengangkat darjat kita dilangit nanti.” - Cikgu Firdauz.