Kerana penularan wabak Covid-19, semua institusi pendidikan termasuk sekolah telah ditutup sebanyak dua kali, iaitu pada Mac dan Oktober 2020. Hasil penutupan itu, ia sekaligus dilihat telah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Selain daripada itu, peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula terpaksa ditunda sebanyak dua kali juga. Ini mengakibatkan momentum menghadapi peperiksaan seperti tahun-tahun sebelum ini terganggu, malahan tumpuan pelajar dalam menghadapi pembelajaran turut terjejas.

Dalam masa sama, murid-murid yang tidak menduduki peperiksaan awam juga turut menerima impak yang sama kerana potensi murid tidak dapat digilap dengan baik.

Jika sebelum ini peranan guru di sekolah hanya tertumpu kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka, tetapi kini, guru perlu bertindak dengan lebih agresif menjalankan tugas-tugas tertentu bersesuian dengan situasi pandemik semasa yang melanda dunia.

Amnya, PdP di sekolah sebelum berlakunya pandemik adalah secara bersemuka di dalam bilik darjah dan lebih bersifat konvensional.

Tidak pernah terlintas di minda kira-kira 416, 743 guru untuk mengadakan kelas secara atas talian.

Sudah tentunya platform maya seperti Zoom, Google Meet, Microsoft Team dan Skype adalah suatu yang asing kepada guru untuk menggunakannya di dalam proses PdP.

Seawal penutupan sekolah pada Mac 2020 lalu, pembelajaran secara atas talian ini merupakan suatu perkara yang sangat asing kepada guru.

Akan tetapi, guru mula beradaptasi dengan pendidikan secara atas talian ini. Jika dahulu, guru sangat sinonim dengan kapur dan pen penanda, tetapi kini, gajet berteknologi menjadi pendamping utama dalam proses pengajaran dan penyelidikan.

Akan tetapi, murid pada masa kini dilihat menghadapi masalah untuk mengikuti pembelajaran secara online.

Pernah tular di media sosial situasi seorang guru menunggu murid mengikuti pembelajaran secara atas talian, namun tiada seorang pun murid yang mengikuti pembelajaran tersebut.

Akhirnya, anak kepada guru tersebut telah mengikuti kelas berkenaan bagi menggembirakan hati ayahnya. Ini merupakan petanda jelas kepada guru bahawa murid masa kini kurang berminat mengikuti pembelajaran secara atas talian.

Oleh yang demikian, pembelajaran berinteraktif seperti permainan pendidikan perlu digunakan untuk menarik minat murid mengikuti sesi pembelajaran tersebut.  

Dalam memastikan pelajar benar-benar memahami isi kandungan pembelajaran, penilaian dalam bentuk peperiksaan bertulis sering digunakan dalam mengukur tahap penguasaan murid dalam suatu mata pelajaran.

Namun demikian, kaedah penilaian konvensional dilihat bukanlah pilihan tepat dalam mengukur tahap penguasaan murid semasa sekolah ditutup.

Justeru, suatu penilaian bersifat holistik yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual perlu dibangunkan.

Penilaian ini bukan sahaja bersifat holistik tetapi boleh diintegrasikan bersama beberapa mata pelajaran dan disulami dengan aspek kemahiran berfikir aras tinggi.

Penilaian secara holistik ini bukan hanya bertumpu kepada strategi penyelesaian masalah (Problem-based Learning) sahaja, malah boleh meningkatkan keupayaan minda aras tinggi murid dan mampu berfikir secara luar kotak.

Murid boleh menghasilkan output penilaian dalam pelbagai bentuk seperti video, poster, permainan, infografik malahan eksperimen bersama ahli keluarga di rumah.

Sekaligus, boleh merangsang minda kreatif murid, mengasah kemahiran berkomunikasi dan bersifat produktif.

Maka, guru perlu berfikir seperti seorang pembibit reka (innovator) bagi menghasilkan sebuah penilaian yang bersifat holistik dan memenuhi kehendak aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Menjelang sesi persekolahan 2021 ini pula, guru harus mengambil inisiatif untuk mengalas beban sebagai seorang petugas barisan hadapan sebaris dengan petugas kesihatan yang lain.

Hal ini kerana, tanggungjawab memastikan penularan Covid-19 ini dikekang dan tidak tersebar di dalam komuniti sekolah.

Jika dahulu pengawal keselamatan sekolah adalah orang pertama membuka pagar sekolah, tetapi kini, para guru perlu bersama pengawal keselamatan sekolah berganding bahu membuka pintu pagar sekolah dan memeriksa tahap kesihatan murid setiap pagi.

Saringan suhu badan, pemeriksaan simptom awal, pematuhan pemakaian pelitup separuh muka dan mengenalpasti lokaliti penempatan murid dilakukan agar yang benar-benar sihat sahaja dibenarkan memasuki pekarangan sekolah.

Jika dahulu guru bersenjatakan rotan menunggu murid yang lambat hadir, tetapi kini guru perlu memakai pelindung muka dan pelitup separuh muka memeriksa tahap kesihatan murid setiap pagi.

Tidak dilupa pensanitasi kuman perlu dikelek bersama untuk mensanitasi semua ruang pembelajaran bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Dalam usaha memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di sekolah sentiasa dipatuhi, guru memainkan peranan besar sebagai penguatkuasa di dalam kawasan sekolah.

Jika diluar, pihak polis bertanggungjawab melakukan rondaan di kawasan tumpuan bagi mengelakkan perkumpulan orang ramai disesuatu kawasan, guru juga harus melakukan perkara yang sama di dalam perkarangan sekolah.

Penjarakan sosial di dalam kelas, kantin, perpustakaan, surau dan fasiliti guna sama perlu dipantau sentiasa.

Sebarang perkumpulan murid perlu dicegah selain mengehadkan aktiviti berkumpulan sepanjang proses PdP berlangsung.

Murid perlu sentiasa diingatkan untuk mematuhi SOP pencegahan Covid-19.

Selain mengingatkan murid mengenai pematuhan SOP, guru juga perlu menunjukkan contoh terbaik pematuhan dalam menghadapi norma baharu ini. Janganlah seperti ketam mengajar anak berjalan lurus, sedangkan diri sendiri tidak mengikuti SOP yang diwartakan.

Mendepani pandemik Covid-19 yang dilihat dinamik sejak kebelakangan ini, kesiapsiagaan guru dalam menghadapi sebarang kemungkinan semasa proses PdP ditagih agar pengurusan aktiviti persekolahan dapat dijalankan dengan lancar.

Tanggungjawab menyeluruh selain sebagai tenaga pengajar, peranan untuk memastikan penularan Covid-19 dikekang didalam komuniti sekolah melalui pematuhan SOP pencegahan perlulah dititikberatkan.

Peranan guru pada masa kini terutamanya semasa pandemik Covid-19 ini menjadi lebih meluas bukan sekadar mendidik murid semata.

Sebelum ini guru berperanan sebagai ibu bapa di sekolah, kini peranan mereka kian bertambah sejajar dengan situasi semasa.

Jika dahulu, guru bertemankan kapur dan bersenjatakan rotan bagi membentuk murid menjadi insan yang berguna, tetapi kini, mereka bagaikan seorang pembibit reka, inspektor kesihatan dan polis keselamatan dalam memastikan murid dibentuk menjadi insan yang berilmu, malahan mempunyai keterampilan diri, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri.

Seterusnya, berupaya memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Benarlah guru ibarat lilin, membakar diri demi memastikan semua murid menjadi insan  yang berguna di masa hadapan.

Andai dinilai peranan guru dengan wang ringgit, sudah pasti tidak mampu dihitung jumlahnya. Memang benarlah guru-guru masa kini bukan biasa-biasa.

*****Terima kasih Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ehwan Ngadi atas perkongsian ini.

Artikel menarik

Pembelajaran dalam talian: Satu transformasi pendidikan

10 tip cemerlang dalam peperiksaan. Calon SPM, STPM 2020 boleh amalkan ini