PENYESUAIAN normal baharu Persekolahan Pasca Covid-19 menyaksikan pelbagai reaksi dan gelagat pelajar, guru dan ibu bapa.

Tidak kurang juga suara kerisauan dan kebimbangan komuniti pendidikan khususnya guru dan ibu bapa terhadap kembalinya penularan wabak Covid-19.

Rasional pembukaan Persekolahan Pasca Covid-19 bagi pelajar Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima dan Tahun Empat sehingga Tahun Enam, secara berperingkat memberi keyakinan kepada ibu bapa dan guru memulakan persekolahan kepada murid Tahun Satu sehingga Tahun Tiga.

Dengan adanya, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menambahkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap kesediaan pembukaan sekolah bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga secara menyeluruh.

Perasaan gembira bercampur-campur kerisauan dan kebimbangan pastinya dirasai oleh setiap pelajar, guru dan ibu bapa apabila setelah hampir empat bulan menjalankan persekolahan secara maya.

Namun dengan statistik kes Covid-19 yang terkawal dan keakuran setiap lapisan masyarakat terhadap SOP diyakini bahawa pembukaan sekolah adalah satu keputusan yang bertepatan dengan masanya.

Meninjau suasana pembukaan Persekolahan Pasca Covid-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ianya diwarnai dengan pelbagai aktiviti normal baharu pendidikan.

Guru mengadaptasi beberapa pendekatan pengajaran dan pembelajaran, aktiviti persekolahan serta pengurusan bilik darjah dalam kebiasaan baharu.

Tidak kurang juga keghairahan ibu bapa – guru mengintai gelagat dan kerenah pelajar menjalani normal baharu persekolahan bagi dikongsikannya di media sosial mencuit hati pelbagai pihak.

Ini secara tidak langsung memberi implikasi bahawa pihak sekolah dan guru telah bersedia untuk pembukaan sekolah bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga.

Sejauh manakah kesediaan kita sebagai ibu bapa dan murid bagi memulakan Persekolahan Pasca Covid-19?

Seharusnya kebimbangan dan kerisauan untuk menghantar anak-anak memulakan Persekolahan Pasca Covid-19 atas kepentingan kesihatan dan keselamatan perlu disertai dengan kesiapsiagaan ibu bapa memperlengkapkan diri anak-anak dengan Persekolahan Pasca Covid-19. Bagaimana ibu bapa dapat membantu anak-anak mempersiapkan diri dengan kebiasaan baharu bagi memulakan sesi Persekolahan Pasca Covid-19?

Sekiranya kita sebagai ibu bapa bimbang dan risau kesihatan dan keselamatan anak-anak untuk memulakan sesi Persekolahan Pasca Covid-19, begitu juga ibu bapa yang lain. Maka keprihatinan dan ketanggungjawaban ibu bapa amat penting.

Justeru adalah menjadi tugas, tanggungjawab dan amalan rutin ibu bapa untuk memantau kesihatan anak-anak di rumah sebelum di hantar ke sekolah. Ibu bapa perlu memeriksa suhu badan anak-anak dan tidak menunjukkan sebarang gejala tidak sihat sebelum keluar dari rumah untuk ke sekolah.

Sekiranya pemeriksaan anak-anak mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau bergejala, maka ibu bapa perlu menghantarnya untuk pemeriksaan doktor atau melakukan pengasingan di rumah.

Sebagai ibu bapa yang prihatin kepada keselamatan dan kesihatan anak-anak, bagi mengurangkan rasa bimbang dan risau, adalah disarankan agar menyediakan makanan untuk anak-anak mereka ketika ke sekolah.

Ibu bapa bukan sahaja dapat mengurangkan pergerakan dan kesesakan ketika membeli di kantin, tetapi juga dapat memastikan makanan yang disediakan bersih, selamat dan memenuhi nutrisi yang diperlukan oleh setiap anak-anak. Amalan ini perlu dijadikan sebagai kebiasaan baharu nanti.

Dalam mempersiapkan diri anak-anak untuk memulakan sesi Persekolahan Pasca Covid-19, ibu bapa juga perlu terus membantu, membimbing dan memantau perkembangan anak-anak dalam pelajaran bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pembelajaran.

Ini kerana apabila sekolah mula dibuka, pastinya ada anak-anak yang terkebelakang bagi topik-topik pembelajaran tertentu.

Hal ini berlaku mungkin disebabkan pelaksanaan pembelajaran dalam talian yang membataskan akses pembelajaran bagi murid-murid tertentu.

Justeru dalam normal baharu pendidikan hari ini juga, seharusnya ibu bapa bersedia untuk memberi sokongan, galakan dan motivasi kepada anak-anak untuk terus belajar dan melipatgandakan usaha bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan.

Kesediaan ibu bapa untuk terus menerus memberi kesedaran kepada anak-anak peri pentingnya memberi fokus dalam pembelajaran pasca Covid-19 di dalam kelas secara bersemuka secara tidak langsung menangani isu keciciran pembelajaran anak-anak pasca Covid-19.

Tindakan proaktif ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan dan memberi kesedaran kepada anak-anak tentang tatacara persekolahan penjarakan sosial: amalan jarak sosial dan kebersihan tangan sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan; tidak berjabat tangan atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan atau orang sekeliling dan sentiasa mengamalkan kebersihan tangan sebelum dan selepas makan.

Selain itu, nasihatkanlah anak-anak agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain. Ibu bapa juga perlu kerap mengingatkan anak-anak untuk sentiasa peka dengan kebersihan diri dan persekitaran serta memberikan contoh amalan ini dalam kebiasaan baharu di rumah.

Sebagai persediaan yang rapi, ibu bapa sebaik-baiknya dapat merancang jadual pergerakan/kenderaan anak-anak untuk ke sekolah dan pejabat.

Ini kerana langkah terbaik untuk mengatasi kebimbangan dan kerisauan akan keselamatan dan kesihatan anak-anak, adalah dengan menghantar dan mengambil sendiri anak-anak dari sekolah.

Di samping itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengambil sarapan atau makan sebelum hadir ke sekolah. Ini bagi mengelakkan terlalu banyak pergerakan keluar-masuk anak-anak dari bilik darjahnya.

Di pihak pelajar pula, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab bagi setiap pelajar untuk sama-sama mempersiapkan diri bagi memulakan normal baharu persekolahan penjarakan sosial.

Demi keselamatan dan kesihatan diri, sebagai seorang pelajar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memulakan sesi Persekolahan Pasca Covid-19.

Kesediaan pelajar untuk mematuhi kebiasaan baharu dalam aspek tatacara dan peraturan Persekolahan Pasca Covid-19 adalah menjadi keutamaan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikekang.

Selain itu, pelajar perlu membiasakan diri dengan amalan menjaga kebersihan diri seperti memakai penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan dengan kerap khasnya ketika dan sebelum meninggalkan kawasan sekolah.

Ringkasnya, kesediaan ibu bapa dan pelajar terhadap normal baharu persekolahan penjarakan sosial pasca Covid-19 memerlukan tindakan proaktif bersama ibu bapa dan pelajar.

Keprihatinan ibu bapa untuk terus mendidik anak-anak mengamalkan kebiasaan baharu seperti penjarakan sosial satu meter setiap masa sama ada kedudukan di dalam kelas, beratur untuk membeli makanan di kantin, ketika masuk-keluar sekolah, dan makan-minum di dalam kelas masing-masing akan memastikan usaha mengawal penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

Perlu diingat, walaupun tanpa pengawasan guru-ibu bapa, pelajar seharusnya menerima normal baharu pendidikan pasca Covid-19 sebagai satu kebiasaan baharu persekolahan hari ini.

- Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Artikel menarik:

Penyesuaian normal baharu persekolahan penjarakan sosial dalam konteks sekolah dan guru

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir

Hati-hati cikgu...enam jenis Covid-19 telah dikenal pasti