Keputusan 26 Pelajar tingkatan empat Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan,Ipoh memilih untuk membuat projek yang dinamakan ‘Pengurangan kesan karbon’ di Taman Melodi dan Taman Seri Berjaya Ipoh untuk pertandingan Toyota Eco Youth ternyata membuahkan hasil kepada mereka.  

Projek yang dijalankan selama lapan bulan itu mendapat tempat di hati juri dengan kejayaan mereka mencapai target sifar karbon dan sampah di kawasan berkenaan sekali gus mereka berjaya meraih juara dalam pertandingan  Toyota Eco Youth untuk tahun 2017.

Kemenangan itu melayakkan mereka  membawa pulang hadiah  berjumlah RM10,000 yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan di Hotel Concorde Shah Alam, Rabu lalu.

Ketua kumpulan, Noor Halina Mohamad Ali, 16 dan 26 rakan kelas yang lain telah menjalankan beberapa aktiviti untuk merealisasikan  projek tersebut.

Antara projek yang dijalankan ialah Mini Karnival Persekitaran Bersih Masyarakat Sihat, edaran risalah kempen kebersihan, kempen kesedaran dan  program pelestarian alam. Mereka telah melaksanakan projek tersebut bermula Mac yang lalu.

Menurut Halina, projek tersebut dilakukan dengan bimbingan dua guru bertindak sebagai penyelaras projek, iaitu Andong Rohaya Muhammad Amin dan Nur’Aisyah Abdul Halim yang juga menerima Anugrah Guru Terbaik dalam pertandingan ini.

Kata Halina, idea untuk melakukan projek tercetus hasil perbincangan agar projek mereka lebih bermanfaat dan menarik berbanding  sekolah lain.

“Kebanyakan sekolah menunjukan persembahan projek berkaitan inovatif tetapi kami  tumpu kepada bagaimana untuk mengurangkan sampah di sesebuah kawasan dan mendidik penduduk supaya tidak membuang sampah di tempat awam,” katanya.

Halina menerangkan aktiviti yang dijalankan kepada Kamalanathan.

 

Hadapi banyak cabaran  

Katanya, banyak cabaran yang kami hadapi dalam menjayakan projek itu termasuklah dihalau oleh orang awam ketika membuat kaji selidik di kawasan lapangan.

“Kami juga terpaksa meraih simpati orang ramai untuk mengisi borang kaji selidik dan menyebarkan maklumat mengenai cara buang sampah dengan betul di kawasan awam.  

“Tidak kurang juga ada yang tidak mahu keluar dari rumah ketika kami memberi risalah, mereka hanya duduk di dalam rumah, kami berdiri di luar pagar  dan perlu menjerit dari luar untuk berkomunikasi dengan mereka,” katanya.  

Kata Halina, bahasa juga menjadi cabaran bagi mereka kerana ada sesetengah penduduk loghatnya terlalu pekat dan mereka susah untuk faham apa yang dikatakan.

Tambah lagi, kekangan untuk membahagikan masa dan menyiapkan projek amat menguji kecekalan ahli kumpulan.

"Kadang-kadang kami tidak hadir ke kelas kerana mengadakan program kebersihan di luar.. kami terpaksa bangun jam 4 pagi untuk mengulang kaji pelajaran dan tidur lewat untuk menyiapkan kerja sekolah.

"Dalam lapan bulan ini kami pulang ke sekolah jam 6 petang, lepas waktu persekolahan kami terus menyiapkan projek ini," katanya.

Pameran aktiviti yang telah dijalankan selama lapan bulan.

 

Guru pembakar semangat

Sementara itu Cikgu Andong Rohaya berkata, anugrah yang diterima amat dihargai kerana usahanya serta guru lain yang tidak putus semangat memberi dorongan kepada pelajar.

"Terbabit dalam program ini satu pengalaman yang paling manis, walaupun penat dengan segala aktiviti yang dijalankan, usaha ini  berbaloi kerana pelajar berjaya mengharumkan nama sekolah dan ini adalah kemenangan pertama untuk Perak.

“Pelajar juga mendapat sokongan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir,” katanya lagi.

Kata Andong lagi, kunci kejayaan adalah sikap pelajar yang sangat komited dengan tugasan diberi dan kerjasama dari seluruh warga SMK Raja Perempuan Ipoh dalam setiap aktiviti dan program yang telah dijalankan.

Mini karnival Persekitaran Bersih Masyarakat Sihat

Gimik perasmian Program ‘Melestarikan alam sekitar bersama komuniti’