MENDAPAT keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gadis kelahiran Kuala Terengganu ini sepatutnya melanjutkan pelajaran ke menara gading, keputusan yang sering kali diambil kebanyakan pelajar lain seusia dengannya.

Namun, Nawwal Syafiqah Muhammad Rushdi yang baru berusia 18 tahun, berani menongkah arus memadam impian bergelar graduan apabila menceburi bidang perniagaan kendera saji atau 'food truck'.

Mengakui minat dalam dunia perniagaan sejak zaman persekolahan, Nawwal Syafiqah kini tersenyum apabila tujuh jenis makanan barat dijualnya di bawah jenama Makang Sedak mendapat sambutan pelanggan.

Makang Sedak, merupakan perkataan loghat Terengganu bermaksud makan sedap dan menariknya, kesemua menu yang ditawarkan turut menggunakan loghat negeri penyu iaitu beger singer, tortilla, ciken ricih, ciken ricih super double triple, anok bol, ayoh bol dan greni sandwich.

Greni Sandwich yang merupakan menu paling laris Makang Sedak.

Dia mula berjinak-jinak dengan bisnes pada Ogos tahun lalu, dengan menjual burger dan tortilla hasil air tangannya sendiri dari rumah dengan menghantar terus kepada pelanggan.

“Buat permulaan, saya banyak kenalkan kepada saudara-mara. Bila dah cuba dan rasa sedap, mereka tolong promosikan kepada rakan-rakan lain.

“Saya ada muat naik dalam Facebook, dari situ kami mula dikenali dan daripada hanya sekitar 10 'order' kini jumlahnya semakin bertambah sampai tak menang tangan,” katanya.

Gadis manis yang bercita-cita tinggi ini berkata, ketika itu 100 peratus perniagaannya bermula dari rumahnya di Kampung Paya Resak, Bukit Payong, Marang.

Dia kemudian menyewa sebuah premis tetap bersebelahan klinik ibunya di Merbau Patah sebagai pusat operasi penyediaan dan penyimpanan stok Makang Sedak, selain lokasi pelanggan mengambil makanan dipesan.

“Alhamdulillah, mula-mula dibantu ayah, ibu dan adik-adik, Makang Sedak kini dah ada enam kakitangan terdiri daripada ahli keluarga saya dan empat orang bertugas di 'food truck' secara bergilir-gilir, manakala selebihnya di kafé Merbau Patah,” katanya.

Sandwich resipi Itali

Trak makanan Makang Sedak akan berada di lokasi berbeza setiap hari antaranya Taman Awam Batu Burok, Dataran Shahbandar, Pasar Bukit Payong dan tempat tumpuan termasuk program atau karnival.

“Lokasi Makang Sedak kami maklum kepada pelanggan di Facebook setiap hari.

“Selain trak makanan saya masih teruskan perkhidmatan penghantaran COD seawal jam 6.30 pagi dan setakat ini, greni sandwich antara menu yang dapat sambutan.

“Sandwich ini istimewa sebab kawan mak dari Itali bagi tip buat sandwich sedap dan 'presentation' cantik supaya dapat tarik orang untuk makan dan Alhamdulillah ramai yang suka,” katanya.

Pembungkusan yang menarik membuatkan Makang Sedak jadi pilihan ramai.

Anak sulung daripada empat beradik itu menjelaskan, pada awalnya dia tidak terfikir untuk terjebak dalam dunia kendera saji itu, namun akhirnya ambil cabaran itu apabila salah seorang saudaranya tidak mampu bayar ansuran bulanan trak itu.

Ibunya, Dr Norzila [email protected] Rashid, seorang doktor perubatan menjadi pendorong utamanya mencuba nasib berniaga trak makanan ini.

Bisnes trak makanan di Terengganu boleh dikatakan tidak sepopular di pantai barat serta kawasan lain dan ketika itu katanya, peniaga itu hanya enam orang sahaja.

Kini, jumlahnya bertambah kira-kira 23 orang.

Kesemua mereka kini di bawah Persatuan Usahawan Trak Terengganu (T-Trak) dikendalikan ibunya sendiri sebagai penasihat.

Di awal penglibatan, Nawwal Shafiqah berkata, ramai yang tidak bersetuju dengan tindakannya tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana keputusannya cemerlang.

Namun, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman ini punyai alasan sendiri.

Nawwal Shafiqah (kanan) mahu buka restoran pandu lalu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tidak mahu makan gaji

“Sebenarnya mak yang galakkan saya berniaga. Dia tak nak anak-anak makan gaji sebab kini berlaku lambakan pelajar.

"Dia nak tinggalkan bisnes kepada kami dan perkara sama turut ditegaskan ayah. Mak jadi pendorong dan pembakar semangat saya. Adik-adik juga minat berniaga dan mereka selalu tolong saya bila cuti sekolah atau lepas waktu sekolah," katanya.

Kata Nawwal Shafiqah, dia masih mahu belajar tetapi belajar berniaga terutama pengurusan akaun kedai.

"Ini saya belajar daripada mak sebab akaun Makang Sedak mak yang jaga. Dalam tempoh lima tahun ini, saya target nak ada tiga trak makanan dan buka sebuah restoran. Untuk 10 tahun akan datang, saya nak buka restoran berkonsepkan pandu lalu,” katanya.