Pasangkan niat kerana ALLAH SWT dan sentiasa berdoa adalah rutin seorang pelajar Tingkatan Satu, SMKA Kedah Tahfiz Model Ulul Albab, Nur Aifa Natasya Nazri setiap kali ingin memulakan hafazan.

Amalan tersebut antara pendorong pelajar aliran tahfiz dan akademik itu berjaya mengatasi kemampuan pelajar lain menghafaz dan menghabiskan silibus hafazan dalam masa lapan bulan, seterusnya memecah rekod SMK Agama Kedah dan Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh Malaysia.

Kebiasaannya tempoh yang diambil untuk seseorang khatam dan hafaz al-Quran, paling awal satu tahun setengah, namun pelajar pintar 6A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dari Sekolah Kebangsaan Sri Pinang Sungai Petani itu telah membuktikan, tiada yang mustahil jika ingin berjaya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum menghafal, seseorang itu perlu fokus, mengetahui fiqh ayat, serta memastikan ayat tersebut tidak mempunyai kesalahan tajwid dari segi baris dan juga huruf.

“Saya akan membaca ayat al-quran tersebut terlebih dahulu sebelum mula menghafal. Sebaiknya cari seorang guru untuk bertalaqi, bagi memastikan bacaan kita itu betul dan tepat.

“Bagi ayat yang panjang, daripada tiga hingga empat baris, akan dipotong menjadi tiga atau empat potongan ayat. Jika hafazan melibatkan satu muka surat, ia akan dibahagi kepada dua atau tiga bahagian, bergantung pada keselesaan hafalan juga,”katanya.

Tambah Nur Aifa, antara teknik lain yang boleh diikuti, hafal dan lancarkan dahulu ayat pertama dalam bahagian satu sebelum meneruskan ayat seterusnya. Setelah lancar bahagian pertama, barulah beralih ke bahagia kedua dan ketiga.

“Saya tidak memasang target yang tinggi, selalunya saya akan mengambil masa selama 15-20 minit untuk menghafal satu muka surat. Ketika menghafal dan melancarkan ayat, saya akan tandakan bulat untuk perkataan yang selalu tertinggal, manakala perkataan yang susah nak ingat, saya akan gariskan pada bahagian tersebut,”jelasnya.

Sementara itu, guru pembimbing hafazan, Ustazah Sumayyah Ghazali berkata, Nur Aifa seorang pelajar berdisiplin dan fokus ketika halaqah.

Katanya, Nur Aifa bukan sahaja rajin mencari hafazan baru, bahkan dia mempunyai istiqomah dan azam yang tinggi untuk berjaya.

“Kami sentiasa meletakkan target untuk pelajar-pelajar saya, dan tak sangka Nur Aifa mampu lakukannya. Dia bukan sahaja berjaya menghabiskan hafazan lebih awal, malah seorang yang komited dan juga rajin,” ujar pemilik Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM 2018 ini kepada GPS Bestari.

Tip mudah hafaz

1. Memberikan tip dan teknik hafazan yang bersesuaian.

2. Sentiasa mencari peluang dan masa untuk mencari hafazan baru.

3. Pelajar perlu menghafal dengan mengetahui fiqh ayat.

4. Mengetahui maksud ayat akan lebih memudahkan proses hafalan.

5. Menghafal pada waktu yang tenang.

6. Menghafal mengadap dinding dan bayangkan ayat yang dihafal.

7. Hafal dengan suara yang kuat.