“IT takes a village to raise a child” – peribahasa Afrika yang sangat relevan dalam konteks dunia tanpa sempadan masa kini.  Dengan maklumat di hujung jari menerusi pelbagai peranti hasil teknologi masa kini, pendidikan tidak lagi terbatas kepada sekolah, malah tiada sebarang benteng yang memisahkan masyarakat dengan anak-anak. Apa yang dipelajari di sekolah di perkukuhkan di rumah dan dalam komuniti, dan begitulah sebaliknya.

Walaupun begitu, perlu diakui bahawa setiap anak mempunyai kebolehan dan keterbatasan mereka sendiri. Ada antara mereka yang cukup bijak dan berbakat serta mampu mengembangkan potensi sendiri, dan ada juga yang memerlukan pelbagai bantuan untuk mempelajari perkara yang dianggap asas dalam pengurusan diri.  

Tidak kira di mana keupayaan mereka dalam spektrum pembelajaran, masyarakat perlu peka bahawa dalam kalangan anak-anak ini terdapatnya kepelbagaian dari segi kognitif dan kecenderungan. Anak-anak yang usia kecerdasan mentalnya (mental age) lebih dua tahun dari umur kronologinya (chronological age) adalah tergolong dalam kalangan anak-anak pintar berbakat yang berpotensi tinggi.

Kecerdasan kognitif di dalam spektrum kepelbagaian ini perlu diberi perhatian. Terkadang ibu bapa kurang mendapat pendedahan tentang potensi anak-anak, maka potensi itu hilang begitu sahaja. Adakalanya pula ibu bapa dapat mengenal pasti bakat dan potensi anak- anak tetapi tidak tahu ke mana perlu disalurkan bakat dan potensi itu. Kedua-dua situasi ini merugikan banyak pihak, khususnya anak-anak ini; komuniti, masyarakat, agama dan negara amnya. USIM boleh berbangga kerana menjadi platform yang memungkinkan potensi anak-anak ini digilap dan dikembangkan secara sistematik.   

Kolej GENIUS Insan USIM dibina untuk melaksanakan program GENIUS Malaysia, dengan harapan anak-anak ini dapat dicungkil potensi dan digilap bakat mereka untuk menghasilkan generasi Malaysia yang hebat, terkemuka dan membanggakan.

Program GENIUS Insan (USIM) adalah kesinambungan dan perluasan Program [email protected] (UKM) di mana keperluan kemasukan adalah sama, iaitu calon (anak-anak Malaysia yang berusia 8 hingga 15 tahun) harus melepasi ujian saringan pertama (UKM 1) yang di jalankan atas talian. Bezanya GENIUS Insan memfokuskan kepada pelajar pintar dan berbakat yang beragama Islam dan mempunyai kecenderungan dalam mempelajari al Quran dan Sunnah sebagai sumber ilmu.

Matlamat GENIUS Insan adalah untuk melahirkan ilmuan Islam, teknokrat, pemimpin, pembibit reka (innovator) serta pemikir Islam masa depan, yang mampu menghubung kait Islam dengan sains, teknologi, keimanan, seni dan matematik (STREAM).  

Mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawinya adalah kunci kepada kemenjadian pelajar-pelajar ini. Maka ilmu-ilmu Aqli ini (ilmu bersumberkan olahan akal manusia) perlu juga disulami dengan ilmu Naqli (ilmu bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah) yang menjadikan mereka seorang yang Abqari, yakni bijaksana dan berjiwa luhur. Oleh itu, Kolej GENIUS Insan merupakan representasi pembudayaan integrasi Aqli dan Naqli yang sejati.

Pasukan Kolej GENIUS Insan (KGI) yang terdiri daripada bahagian pengurusan sehingga pensyarah sentiasa bekerja keras menggembeleng tenaga dalam mempromosikan program-program GENIUS untuk mencari anak-anak ‘Abqari’ yang pintar berbakat ini di seluruh negara.

Antara pendekatan yang di laksana ialah membuat lawatan-lawatan ke sekolah untuk memperkenalkan program seterusnya memberi kesedaran kepada sekolah dan guru-guru untuk mengenal pasti murid pintar dan berbakat dari awal lagi.   

Dalam siri lawatan ini, ibu bapa diingatkan supaya tidak mengetepikan kebolehan dan potensi anak-anak mereka dan memastikan anak-anak ini tidak ketinggalan untuk menduduki ujian pertama kemasukan yang dijalankan atas talian.

Penglibatan anak-anak GENIUS Insan dalam aktiviti kemasyarakatan juga secara tidak langsung mendedahkan anak-anak ini di mata masyarakat, sekaligus menyedarkan masyarakat bahawa sekolah GENIUS dan program seumpama ini wujud. Masyarakat luar yang masih kurang jelas tentang program GENIUS akan mendapat lebih informasi dan mengetahui lebih mendalam tentang program ini dan diharapkan ia dapat disebar luas kepada yang lain.  

Antara aktiviti kemasyarakatan yang telah di jalankan ialah aktiviti sukarelawan melalui Program Sarana Komuniti di Pusat Jagaan Warga Emas Mesra Homes Ampang, Rumah Anak Yatim Baitul Barakah Wal Mahabbah, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Pusat Amal Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, serta kerja-kerja pembersihan di Zoo Negara.

Lebih penting sebenarnya adalah kita tidak mahukan anak-anak istimewa hanya bersandarkan kepada nilaian mereka pintar berbakat semata-mata, sebaliknya melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang mereka sertai akan dapat membina keunggulan anak-anak GENIUS menjadi individu yang Abqari, berpandukan keseimbangan ilmu dunia dan akhirat.

Bertitik tolak dari itu, masyarakat yang memerhati dan juga pihak yang berkepentingan (stakeholders) akan ada kesedaran bahawa pentingnya untuk membangunkan kumpulan anak–anak terpilih ini sebagai harta yang tiada tolok banding harganya.

Pencapaian murid GENIUS Insan dalam rekacipta dan inovasi dalam dan luar negara juga dapat menonjolkan program GENIUS di mata masyarakat. Kehebatan murid ini dalam mencipta nama melalui anugerah inovasi yang diterima, yang juga dipaparkan di media cetak dan elektronik, dapat menarik perhatian masyarakat. Daya tarikan ini sekaligus akan menjadi penggalak untuk mereka melibatkan anak-anak mereka untuk mencuba ujian kemasukan program GENIUS.

Sesungguhnya kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap kewujudan Kolej GENIUS Insan dan program GENIUS yang ditawarkan adalah amat penting untuk pembangunan negara Malaysia. Apa yang lebih penting ialah dengan kemampuan program ini, para ilmuan dan cendekiawan Islam dapat dihasilkan untuk mengembalikan kegemilangan era Islam di dunia. Insya-Allah.

- Dr Myra Aidrin Mohd Ali, Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.
 

Artikel menarik:

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir

Hati-hati cikgu...enam jenis Covid-19 telah dikenal pasti

Rantai penularan wabak Covid-19. Bolehkah sekolah memutuskannya?