JOHOR BAHRU - Peluang baik untuk guru, pelajar, ibu dan bapa, Mini Karnival Karangkraf 2017 yang merupakan  program seisi keluarga yang ditunggu-tunggu setiap tahun mula membuka tirainya selama empat hari bermula hari ini sehingga 3 Disember di Angsana Johor Bahru Mall.

Karnival anjuran Grup Buku Karangkraf dan Badan Cemerlang Sdn Bhd itu merupakan penganjuran kali keempat selepas kali pertama diadakan pada 2013.

Jualan pelbagai jenis buku dan majalah terdiri daripada lebih 100 judul disediakan khas sempena karnival ini termasuk al-Quran, novel, buku kanak-kanak, buku Islamik, masakan, akademik dan judul umum dari harga serendah RM3 sahaja.

Pengurus Operasi Pemasaran dan Jualan Badan Cemerlang Sdn Bhd, Abdul Halim Sa’adon berkata, pelbagai tawaran menarik disediakan sempena karnival kali ini antaranya tawaran harga lebih rendah bagi pembelian kombo atau lebih dari satu naskhah bagi beberapa jenis buku.

“Contohnya pembelian Al-Karim (Simili) diberikan diskaun RM12 sebuah berbanding harga asal RM15. Dan pembelian 10 naskhah ke atas akan mendapat harga istimewa RM10 sebuah.

“Selain itu kita juga menawarkan pakej novel dengan harga RM50 bagi tujuh naskhah, pakej buku kanak-kanak lima naskhah dengan harga RM30, pakej tiga buku kompilasi resipi pada harga hanya RM10 dan banyak lagi tawaran menarik," katanya.

Petugas karnival mula membuat persiapan sejak dua hari lalu.

Kata beliau, pihaknya turut menyediakan diskaun antara 20 hingga 30 peratus bagi beberapa jenis buku termasuk buku Islamik, seram, novel dan resipi.

Menurutnya, selain jualan buku dan majalah, pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang empat hari karnival itu berlangsung antaranya penampilan khas maskot Didi and Friends pada 2 Disember.

“Pada 2 Disember kita adakan aktiviti bersama maskot Didi and Friends ini antaranya pertandingan mewarna di sebelah pagi dan tiga slot riang ria yang dijadualkan pada tengah hari dan petang.

“Pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah diadakan setiap hari sepanjang karnival ini iaitu jam tangan jenama Ice Watch,” katanya.

Pelancaran buku terbaharu RAM

Abdul Halim berkata, peminat penulis novel thriller, Ramlee Awang Murshid atau lebih dikenal sebagai RAM juga berpeluang menjadi pembaca pertama mendapatkan novel terbaharu beliau berjudul 'Legasi Tombiruo' sempena pelancarannya pada karnival itu Jumaat ini.

“Novel terbaharu beliau akan dilancarkan buat pertama kalinya pada 1 Disember (Jumaat) pada jam 3.30 petang sempena penganjuran karnival ini.

“Pengunjung dan peminat RAM juga boleh mengambil peluang ini untuk menemui beliau pada sesi bertemu penulis dan mendapatkan karya terbaharunya yang juga dijual pada karnival ini,” katanya.

Katanya, selain RAM, beberapa penulis buku dan novel lain turut diundang khas bertemu peminat dan pengunjung pada Sesi Temu Mesra Penulis dan Novelis di karnival tersebut.

“Antaranya penulis yang hadir termasuk Nasiruddin Dasuki, Helmi Effendy, Qaseh Husna, Akma Saidon, Mohd Akhirudin dan Anwar Nursi.

“Selain itu terdapat juga demo masakan bersama Chef Orket Abdullah yang juga penulis buku 100 Menu Popular Orang Malaysia,” katanya.

Abdul Halim menunjukkan buku terbaharu genre Islamik berjudul 'Aku Bukan Pendosa' yang turut dijual di karnival ini.

Abdul Halim berharap penganjuran karnival itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan mengalu-alukan orang ramai sama-sama memeriahkan karnival berkenaan bagi merebut peluang tawaran harga yang menarik.

“Kebiasaannya ramai pengunjung yang datang kerana mereka memang menantikan karnival ini untuk mendapatkan buku pada harga lebih rendah berbanding biasa.

“Tambahan pula karnival kali ini diadakan pada musim cuti sekolah, saya harap karnival ini akan mendapat sambutan lebih baik,” katanya.