Dalam era pendidikan moden, penggunaan teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran membantu dalam menyampaikan pengetahuan kepada murid dengan lebih efektif.

Perkembangan teknologi yang pesat mengupayakan batasan yang berlaku dalam bilik darjah khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19.

Bagi meningkatkan mutu penyampai pengetahuan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama syarikat telekomunikasi telah menambah baik mutu peranti digital dan perkhidmatan internet seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, 2013-2025) dalam anjakan ketujuh.

Perkara ini memberikan faedah kepada murid-murid dan guru di mana murid-murid dapat meneroka maklumat dengan pantas daripada pelbagai sumber dan guru dapat menyampaikan pengetahuan dengan lebih efektif dan interaktif dalam persekitaran yang baharu.

Oleh yang demikian, pihak KPM telah menyediakan sebuah portal Pendidikan digital iaitu DELIMA (2020) yang menjadi pusat sehenti kepada guru dan murid untuk menyokong kepada usaha ini. Pelaksanaan pembelajaran digital mampu meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia setaraf dengan negara-negara maju dunia.

Bagi menyokong usaha ini, guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan pembelajaran digital yang sistematik dan humanis.

Pembelajaran digital memerlukan perancangan guru yang teliti dari aspek kurikulum, aktiviti pembelajaran serta kompetensi dalam literasi ICT.

Isu kompetensi guru dapat diatasi melalui penyertaan guru dalam pelbagai sesi webinar dan bengkel penggunaan aplikasi pendidikan yang berlangsung sepanjang tempoh pandemik ini.

Namun begitu, perkara yang perlu dipertimbangkan adalah pelaksanaan pembelajaran digital yang mesra pengguna dan menerapkan nilai-nilai murni kepada murid.

Pengurusan pembelajaran perlu merujuk kepada objektif pembelajaran, penggunaan teknologi dan aktiviti pembelajaran selari dengan keperluan murid yang diajar.

Guru juga perlu mempertimbangkan penerapan kemahiran abad ke 21 dalam sesi pembelajaran digital mempunyai keperluan untuk murid dalam pasaran kerja pada masa hadapan. Kegagalan guru mengambil kira perkara-perkara ini memberi impak negatif kepada murid dari aspek motivasi, sikap, kemahiran dan pencapaian murid.

Oleh yang demikian, satu pendekatan yang baharu perlu diimplemenkan yang mengintegrasikan penyertaan guru dan murid serta penggunaan teknologi.

Pelaksanaan pembelajaran teradun sebagai pendekatan yang rasional dilaksanakan dalam memastikan kesinambungan pembelajaran dan komunikasi berlangsung khususnya dalam tempoh pandemik. Ia memberi ruang kepada murid menggunakan ICT dalam sesi pembelajaran yang disusun dengan menerapkan kemahiran abad ke 21 dalam aktiviti yang disediakan oleh guru.

Apakah pembelajaran teradun? Pembelajaran teradun ialah pendekatan pengajaran yang menggabungkan pembelajaran bersemuka guru dan murid dengan penggunaan teknologi.

Dengan kata lain, murid belajar secara atas talian atau secara bersemuka bagi melengkapkan tugasan yang disediakan oleh guru tanpa mempunyai halangan masa dan tempat.

Untuk melaksanakan pembelajaran ini, terdapat tiga model yang dijadikan panduan kepada guru-guru.

Model pertama adalah model pembelajaran pembalikan atau Flipped Classroom merupakan model yang sering digunakan dalam sesi pengajaran. Model ini memerlukan murid belajar melalui medium video dan podcast seterusnya diikuti dengan kelas tutorial atau seminar untuk aktiviti berkumpulan.

Model kedua adalah Blended block yang merupakan aktiviti pembelajaran berstruktur dan tersusun untuk menggabungkan aktiviti bersemuka dan atas talian.

Manakala model yang terakhir adalah Fully Online yang melibatkan aktiviti secara synchronous dan asynchronous.  

Model-model ini boleh digabung mengikut kepada keperluan guru untuk menyampaikan arahan dan bahan pembelajaran kepada murid.

Bagi menyampaikan arahan tersebut, pelaksanaannya memerlukan sistem pengurusan pembelajaran atau Learning Management System (LMS) yang mempunyai aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dirancang oleh guru bagi mengupayakan murid untuk belajar menerusinya.

Aktiviti pembelajaran murid perlu diintegrasikan dengan aplikasi pendidikan yang sesuai dan mudah untuk akses murid.

Dengan menyediakan halaman ini, berlaku perubahan peranan murid dan guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid berperanan sebagai Active Learner di mana murid belajar secara berstruktur dan terpandu daripada pelbagai sumber internet.

Guru juga berubah sebagai fasilitator kepada murid untuk memandu pemahaman mereka ketika proses penerokaan pengetahuan berlangsung.  

Perubahan peranan ini memberi ruang kepada murid untuk berkomunikasi antara ahli kumpulan, bagi menjana idea yang kritis dan kreatif dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan melalui penggunaan internet. Murid seterusnya akan menilai secara kendiri terhadap hasil perbincangan kumpulan ketika aktiviti pembentangan berlangsung.

Secara keseluruhannya, persekitaran pembelajaran pada masa kini perlu sejajar mengikut situasi semasa.

Tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran perlu beralih kepada kaedah atas talian akibat penutupan institusi pengajian.

Salah satu solusi kepada situasi ini adalah pelaksanaan pembelajaran teradun dalam sesi PdPC guru-guru. Pembelajaran teradun adalah pendekatan yang perlu diteroka dan dilaksanakan oleh guru-guru pada era pendidikan moden. Pelaksanaannya memerlukan perancangan yang teliti bagi mewujudkan sesi pembelajaran yang interaktif dan bermakna.

Disamping itu, penerapan kemahiran abad ke 21 dalam pendidikan awal amat penting dalam menyediakan modal insan yang berkemahiran, berketerampilan dan memenuhi keperluan karier pada masa hadapan.

Teknologi itu memudahkan bukan menyulitkan.

*****Muhammad Sabiq Mohd Noor merupakan guru Sekolah Kebangsaan Senibong, Pasir Gudang, Johor

Artikel menarik

Pembelajaran Teradun atau Blended Learning. Bersediakah guru-guru mengaplikasikannya dalam PdP?

Pembelajaran secara dalam talian. Sejauh mana kita bersedia? Ikuti apa kata pakar