SEJURUS selepas Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin, mengumumkan yang sekolah akan dibuka semula bagi murid bukan kelas peperiksaan awam dalam sidang media beliau 1 Julai lepas, maka pelbagai pihak khususnya para ibu bapa sudah mula dilanda kebimbangan.

Pelbagai perasaan menerjah benak mereka - takut, bimbang, cemas, resah dan gelisah – sehingga terganggu jiwa dan kefungsian harian.

Pelbagai persoalan dan kebarangkalian juga menerobos ke minda mereka. Semakin hari berlalu, semakin memuncak kerisauan mereka dek kerana terlalu memikirkan keselamatan anak walhal sekolah masih belum dibuka.

Adakah anak-anak (khususnya murid-murid Tahap 1) berupaya mematuhi standard operating procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)? Mampukah pihak sekolah memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak terjamin? Mereka cemas kerana anak-anak bakal keluar dari prasarana rumah kediaman yang telah menjadi “kubu” utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung hampir 4 bulan (18 Mac – 14 Julai 2020). Maka, tarikh 15 Julai 2020 dan 22 Julai 2020 semakin digeruni oleh para ibu bapa dan mengundang rasa resah dan bimbang yang berpanjangan.

Definisi kebimbangan

Kebimbangan merupakan salah satu kategori kecelaruan atau gangguan mental dan ia boleh didefinisikan sebagai satu bentuk kecelaruan yang mempunyai ciri-ciri utama seperti perasaan takut dan resah yang melampau, dan tindakan-tindakan tidak menentu.

Takut merupakan satu perasaan atau emosi yang wujud akibat dari sesuatu ancaman yang benar seperti manusia berasa takut bila terserempak dengan seekor beruang yang lapar dan bila berdepan dengan pandemik Covid-19.

Namun, ‘kebimbangan wujud hasil dari persepsi atau pengamatan manusia terhadap sesuatu ancaman yang mungkin wujud (anticipation of future threat). Jadi, emosi atau perasaan yang wujud akibat dari kebimbangan adalah sesuatu yang mengganggu kefungsian harian kerana ia terhasil dari ancaman yang tidak nyata yang diandaikan oleh seseorang individu.

Justeru, tidak hairanlah mengapa para ibu bapa mula dilanda kebimbangan apabila pembukaan semula sekolah diumumkan kerana kita semua terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sekiranya kebimbangan ini tidak diurus, maka ia boleh menjadi begitu teruk dan berpanjangan sehingga mula mengganggu dan memberi kesan buruk terhadap kefungsian seseorang individu.  

Oleh itu, marilah kita sama-sama memahami fenomena kebimbangan ini terlebih dahulu supaya strategi untuk mengawal dan menguruskan rasa cemas dan bimbang para ibu bapa dapat di aplikasi dengan sebaiknya.

Jenis kebimbangan

Menurut manual perubatan psikiatri, DSM-V, terdapat beberapa jenis kecelaruan kebimbangan seperti serangan panik kebimbangan perpisahan (separation anxiety), mutisme terpilih (selective mutism), fobia khusus, fobia sosial, kebimbangan umum (generalized anxiety), dan lain-lain lagi.

Apa yang membezakan setiap jenis kecelaruan kebimbangan atau keresahan ini adalah dari segi jenis-jenis objek atau situasi yang menyebabkan ketakutan, resah, dan/atau tingkah laku mengelak, dan apa jua idea kognitif berkaitan dengannya.

Dalam memahami maksud kebimbangan beberapa simptom atau petanda boleh dijadikan sebagai ciri-ciri utamanya.

Antara simptom-simptom kebimbangan adalah seperti yang disenaraikan di bawah:

1) Wujud keresahan atau kegelisahan akibat dari sesuatu objek atau situasi (contohnya, Covid-19 atau normal baharu di sekolah);

2) Wujud pemikiran-pemikiran yang tidak rasional walaupun tiada sesuatu sebab yang nyata;

3) Wujud tindakan-tindakan yang mengganggu kefungsian harian seperti kaku tubuh badan, bertindak ganas dan di luar normal, dan aksi yang boleh mencederakan diri atau orang lain di sekeliling.

Walaupun ketiga-tiga simptom ini boleh mencirikan kecelaruan kebimbangan namun terdapat juga simptom-simptom yang khusus yang boleh memberikan pemahaman yang lanjut untuk memerihalkan setiap satu jenis kebimbangan.

Mari kita tinjau secara satu persatu dua jenis kebimbangan yang mungkin dialami oleh para ibu bapa yang resah dan cemas bila sekolah dibuka semula kelak.

Serangan Panik

Kecelaruan panik merujuk kepada serangan panik yang berulang-ulang. Serangan panik merupakan satu kejutan perasaan takut atau ketidakselesaan terlampau yang wujud secara tiba-tiba sehingga mencecah tahap maksimum dalam masa yang singkat.

Serangan panik terbahagi kepada dua jenis iaitu (a) serangan panik yang berlaku secara tiba-tiba tanpa penyebab tertentu dan (b) serangan panik yang berlaku disebabkan oleh sesuatu penyebab atau situasi.

Kedua-dua jenis kecelaruan panik ini hanya boleh ditentukan oleh pakar kesihatan mental khususnya ahli psikiatri.

Serangan panik yang berulang tanpa dijangka boleh dihuraikan berdasarkan ciri-ciri diagnostik berikut:

1) Meresah, jantung berdegup kencang, atau kadar degupan jantung memecut

2) Berpeluh

3) Gementar atau tubuh bergegar

4) Merasai keadaan seperti nafas tercungap

5) Perasaan dicekik

6) Sakit dada atau tidak selesa

7) Rasa mual atau sakit perut

8) Rasa berpinar-pinar, tidak stabil, ringan kepala atau rasa nak pitam

9) Rasa seram sejuk

10) Rasa kebas

11) Rasa terawang-awangan

12) Takut hilang kawalan

13) Takut mati

Tidak semua ciri di atas boleh dirasai oleh individu yang mengalami serangan panik namun hampir kesemua ciri perlu ada. Kadang kala terdapat juga simptom-simptom yang berteraskan budaya yang wujud dalam sesebuah kelompok masyarakat yang mungkin melibatkan kesakitan fizikal seperti sakit tengkuk, sakit kepala, menangis, atau menjerit-jerit.

Kebimbangan Umum

Kecelaruan kebimbangan (generalized anxiety disorder) adalah lebih kompleks kerana ia merujuk kepada kewujudan rasa resah atau bimbang dan risau yang melampau tentang beberapa peristiwa atau aktiviti dalam kehidupan. Kekuatan, tempoh, dan kekerapan rasa cemas dan risau adalah melebihi tahap normal dari jangkaan umum. Ini menyebabkan individu yang mengalami kebimbangan umum ini akan merasa risau, resah, dan bimbang hampir saban hari dalam mendepani tugas dan tanggungjawab harian yang melibatkan pekerjaan, keluarga, kewangan, urusan rumah, dan anak-anak.

Terdapat beberapa ciri diagnostik yang boleh menjelaskan kebimbangan umum iaitu:

1) Rasa bimbang atau risau berlebih-lebihan kerap berlaku disebabkan beberapa peristiwa atau aktiviti

2) Individu yang mengalami kecelaruan ini merasa hilang kawalan terhadap hidupnya

3) Rasa resah dan risau berkait dengan tiga atau lebih simptom berikut iaitu:

  • Rasa gundah gulana dan tidak boleh berdiam diri
  • Merasa mudah untuk penat
  • Sukar untuk memberi tumpuan atau mati akal
  • Rasa cepat nak marah
  • Ketegangan otot
  • Mengalami gangguan tidur

4) Rasa-rasa resah gelisah, risau dan simptom fizikal akan mengganggu kefungsian harian dalam kehidupan

5) Kewujudan perasaan resah gelisah dan risau bukan disebabkan kesan penggunaan dadah

Ciri-ciri dan simptom-simptom yang dihuraikan di atas mempunyai kesan terhadap kefungsian seseorang individu. Rasa risau melampau akan merosakkan keupayaan individu untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan cepat dan berkesan, sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. Justeru, sesiapa jua yang mengalami kebimbangan ini amat perlu dibantu.

Strategi dan tips mengatasi kebimbangan: Do’s dan Don’ts

Dalam usaha mengurus kebimbangan para ibu bapa adalah dinasihatkan untuk mendapatkan fakta atau penyebab permasalahan yang dialami mereka.

Perkongsian maklumat di atas sangat perlu diketahui dan difahami agar kemahiran bantu diri dapat dipupuk. Bilakah perasaan resah dan bimbang mula mengganggu mereka? Apakah yang mereka fikir atau buat sehingga menyebabkan rasa cemas dan resah terjadi?

Sejauh manakah rasa resah dan bimbang ini mengganggu kefungsian harian mereka? Berdasarkan Skala 1 (sangat tidak mengganggu) hingga 10 (tersangat mengganggu), apakah nombor yang menggambarkan kebimbangan yang anda alami? Soalan-soalan seumpama ini membantu para ibu bapa menjadi celik akal tentang gangguan kebimbangan yang mereka alami.

Di sini juga disenaraikan beberapa tip dan strategi yang mungkin sesuai dan berkesan untuk mengatasi rasa bimbang dan resah yang dialami oleh ibu bapa kepada murid-murid sekolah (khususnya anak-anak Tahun 1, 2, dan 3):

Senarai Do’s dan Don’ts:

1) [Do’s] Belajar untuk relaks dan tenangkan diri - Kaedah untuk merehatkan diri dan bertenang ialah teknik pernafasan mendalam secara progresif. Tarik nafas melalui hidung sedalam-dalamnya dan lepaskan melalui mulut dengan sekuat hati. Buat aktiviti ini sebanyak 3 ke 5 kali secara berterusan dan beri perhatian pada pernafasan sahaja tanpa memikirkan perkara lain.

2) [Do’s] Ubah cara berfikir dari berfikiran negatif ke pemikiran positif dan produktif. Apabila anda berfikiran negatif terhadap perkara atau situasi tertentu, maka anda akan mudah dilanda rasa risau, cemas dan resah tanpa sebab sahih.

3) [Do’s] Buat persediaan mental dan fizikal untuk diri anda dan anak-anak dengan situasi normal baharu. Didik diri anda dan anak-anak agar menjadi lebih sabar, tabah dan redho dalam menghadapi iklim sekolah yang berbeza dengan perlaksanaan SOP dan normal baharu. Sekiranya anda dan anak-anak sudah siap siaga, maka proses penyesuaian diri dengan iklim dan normal baharu di sekolah lebih mudah dilalui.

4) [Don’ts] Jangan mengandaikan dan menjangkakan kerisauan (do not anticipate worry!). Jika sekolah belum dibuka, jangan ajar diri untuk menjangka perkara atau situasi yang boleh mengundang rasa risau sebelum waktunya (pra-matang). Contohnya, “Nanti anak aku pula yang dijangkiti COVID-19 kalau guru-guru tidak pantau tahap kesihatan murid-murid lain dengan berkesan”. Ini adalah pemikiran yang tidak sihat sama sekali!

5) [Don’ts] Jangan mengandaikan malapetaka atau mudarat akan berlaku sebelum ianya benar-benar terjadi. Jika anda asyik memikirkan sesuatu yang buruk (malapetaka) akan berlaku, maka jiwa anda tidak akan tenang dan rasa resah akan berpanjangan sehingga menyebabkan ahli keluarga lain juga dilanda rasa cemas dan resah.

6) [Don’ts] Jangan mudah menyalahkan diri dan orang lain (contoh, guru, pemandu van, dan pengusaha pusat transit/taska) kerana tahun ini tahun yang sangat mencabar dan kita semua belum pernah lalui situasi sebegini. Pandemik COVID-19 memberi kesan yang sangat mendalam kepada pelbagai sektor, termasuklah sektor pendidikan. Justeru, tiada siapa yang bersalah.  

Tidak dapat dinafikan bahawasanya rasa resah dan bimbang adalah lumrah kehidupan apatah lagi jika sudah berstatus ibu dan bapa.

Namun demikian, jangan sesekali dibiarkan kebimbangan ini berpanjangan dan melampau kebiasaan. Jika ancaman kepada kesejahteraan fizikal dan psikologi bersaiz besar dan dapat dilihat dengan mata kasar, maka lebih mudah caranya untuk kita mengatasi kebimbangan yang dialami. Namun hakikatnya, ancaman Covid-19 yang dihadapi oleh seluruh warga dunia ini bukan boleh dikesan dengan pancaindera tetapi kesannya boleh menghancurkan manusia dan negara sekiranya tidak dikawal.

Oleh itu, sama-samalah kita bergandingan dan memberi sokongan untuk mengatasi kebimbangan. Hanya individu yang sejahtera jasmani, emosi, rohani, minda intelek, dan sosialisasinya yang mampu mendepani cabaran sempena pembukaan semula sekolah kelak.

Mereka inilah individu yang bahagia, optimistik, dan berkeyakinan diri yang mampu bangkit semula apabila diuji dengan halangan dan cabaran. Jom sihatkan minda!

- Dr Rafidah Aga Mohd Jaladin merupakan pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Beliau juga adalah seorang ahli psikologi kaunseling berdaftar (KB00196, PA00300) dan mantan Naib Yang DiPertua (NYDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Subang (2018-2020). Jawatan pentadbiran terkini Dr Rafidah adalah sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya untuk tempoh dua tahun (2020-2022).

Artikel menarik:

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir