Pentadbir sekolah adalah pemimpin yang bertanggungjawab mengatur strategi kejayaan bagi sesebuah sekolah, dengan sokongan semua pihak termasuk guru, kakitangan sokongan, pelajar, dan juga Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Selain memainkan peranan penting sebagai pentadbir, pengurus dan juga pemimpin, pengetua mahupun guru besar itu haruslah berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.

Menjalinkan kerjasama erat dan saling menyokong di antara guru-guru pimpinannya bagi memastikan objektif sebenar sekolah tercapai.

Disebabkan itulah seseorang pentadbir itu perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada kakitangan sokongan bawahannya.

Aspek lain yang digunakan sebagai tali ukur keberkesanan sesebuah sekolah itu ialah kelakuan murid, kehadiran, sikap dan konsep kendiri (Mortimore et al., 1988; Teddlie dan Stringfield, 1993).

Manakala Stoll dan Fink (1996) pula dalam bukunya ‘Changing our schools’ pula mendefinisikan kepemimpinan berkesan itu adalah penentu dalam menggerakkan perubahan yang positif di sekolah atau dalam sistem persekolahan.

Kepimpinan yang cekap, berwibawa dan berkualiti adalah penting untuk menggerakkan sesuatu organisasi atau kumpulan bagi mencapai objektif dan matlamat mewujudkan sekolah yang berjaya.

Pemimpin sekolah itu hendaklah memberikan perhatian kepada suasana tempat kerja yang baik buat guru-gurunya, selain memainkan peranan besar dalam merangsang iklim pembelajaran, menetapkan nada sekolah, tahap profesionalisme dan moral guru, serta sentiasa perihatin terhadap masa depan pelajar.

Sementara itu, beberapa faktor lain turut digariskan, pemimpin sekolah yang berjaya itu haruslah memberikan perhatian terhadap gaya kepimpinan, motivasi, kerjasama, dorongan dan sokongan.

Ia sangat signifikan dengan kajian yang dilakukan oleh Sweeney (1982 - Research Synthesis On Effective School Leadership,

Educational Leadership, Vol 39 (5), Feb 1982, m/s 346-352.), yang menjelaskan tentang enam ciri kepimpinan pengetua atau guru besar cemerlang.

Enam ciri tersebut ialah, memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang akademik, menyusun dan

menetapkan strategi pengajaran, menyedia dan mengekalkan suasana kondusif di sekolah, kerap menilai pencapaian akademik pelajar, menyelaras program pengajaran dan membantu serta memberi semangat kepada para guru.

Mazmumah

Bagaimanapun, objektif untuk melahirkan seorang pemimpin yang cemerlang, berwibawa, dihormati dan berkarisma akan gagal, sekiranya dalam diri seseorang itu ada tersimpan sifat-sifat mazmumah yang merugikan.

Seorang pemimpin yang inginkan dirinya dihormati dan dipandang mulia di sisi ALLAH SWT, haruslah berusaha membersihkan hati dan menyingkirkan sifat-sifat tercela yang ada dalam diri.

Contoh pemimpin terbaik yang boleh diteladani adalah menerusi kepimpinan Rasulullah SAW.

Al-Quran juga turut menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah teladan dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk dalam hal kepemimpinan.

Ia dijelaskan dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati ALLAH.

Nabi Muhammad SAW merupakan sosok pemimpin yang paling berpengaruh sepanjang sejarah kehidupan umat manusia. Hal ini diakui oleh Michael Hart seorang penulis Barat dalam bukunya “The 100, a Rangking of The Most Influential Persons in History”.

Nabi SAW memiliki sistem pengurusan yang tinggi dan baik dalam mengelola, mengatur, dan menempatkan ahli pimpinannya dalam pelbagai posisi sesuai kemampuannya mereka, sehingga berjaya membangunkan masyarakat madani yang cemerlang.

Maka, wujudkanlah daya saing yang baik dengan saling menyokong, adil, dan memberi semangat antara satu sama lain, sehingga ia menjadi pemangkin kejayaan ke atas orang lain.

Justeru, bersyukurlah jika anda mempunyai barisan guru yang cemerlang, kreatif, rajin, sentiasa berjiwa besar dan berusaha untuk memandaikan murid.

Guru itu bukanlah golongan yang dahagakan pujian, sebaliknya mereka perlukan kata-kata rangsangan dan dokongan untuk meningkatkan profesionalisma dan produktiviti dalam kerjaya.