Pemimpin yang baik akan mengenepikan ego dan berusaha membetulkan kesalahan sekiranya ia dapat memberikan manfaat kepada mereka yang dipimpinnya.

Malah di dalam Sinar Harian, 12 Disember baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut berkata, ego cenderung untuk menjadikan seseorang itu tidak dapat melihat kesalahannya, atau enggan mengakuinya, sekali gus menyebabkan dia tidak dapat membetulkan kesalahannya.

Beliau turut menggariskan dua daripada nilai dan kualiti penting yang harus dimiliki seseorang untuk menjadikannya seorang pemimpin yang baik; yakni integriti dan kejujuran.

Sekiranya seseorang pemimpin itu tidak mempunyai nilai-nilai ini, ia akan mengakibatkan orang ramai dipimpin oleh seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai.

Justeru, GPSBestari terpanggil untuk berkongsi kembali rencana Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya…

Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran ini bukan sahaja menyarankan seorang ketua itu perlu menjadi seorang pendengar yang baik.

Bahkan beliau turut berkongsi, seorang ketua itu haruslah memahami, bahawa seorang pekerja itu bercerita hanya untuk melegakan hatinya, bukan untuk meminta solusi. Pada saat itu ketua harus menjadi pendengar yang setia, kerana itulah nikmat hati yang cukup hebat buat orang di bawahnya.

“Wahai ketua, berilah masa yang mencukupi. Jika masa begitu suntuk, berilah bantuan yang boleh melegakan hati mereka. Fahamilah wahai ketua, bekerja dalam keadaan tertekan itu sangat menyeksakan,”ulasnya.

Perkongsian Cikgu Razali Saaran baru-baru ini telah menjadi tular sekelip mata. Sehingga kini telah mendapat perkongsian sebanyak 3.7K shares, 2.2K tanda suka dan 83 komen.

Antara perkongsian beliau:

1. Jadilah seorang pendengar yang baik

Fahamilah wahai ketua, kadangkala seseorang itu bercerita hanya untuk melegakan hatinya, bukan untuk meminta solusi. Pada saat ketua mahu mendengarnya, itu nikmat hati yang cukup hebat buat orang di bawahnya.

2. Jangan memihak apabila ada perbalahan

Dengarlah dahulu daripada kedua-duanya, selepas itu, selesaikan perbalahan dengan adil.

3. Jangan mendesak dalam sesuatu tugasan

Wahai ketua, berilah masa yang mencukupi. Jika masa begitu suntuk, berilah bantuan yang boleh melegakan hati mereka. Fahamilah wahai ketua, bekerja dalam keadaan tertekan itu sangat menyeksakan.

4. Banyakkan bertanya khabar di luar konteks kerja

Ada ketikanya, saat bertemu dengan orang bawahan, bertanyalah sesuatu yang di luar konteks kerja seperti sihat ke hari ini? Anak dah sihat ke belum? Minggu ini tak balik kampung ke? Dan sebagainya.

5. Berilah respon positif walaupun perkembangan orang bawahan masih perlahan

Teruskan menegur dan menunjuk jalan kerana itulah motivasi terbaik buat mereka. Memang ada orang yang kerjanya agak perlahan. Orang begini perlu ditanya dan didorang sentiasa dengan sabar. Percayalah, sokongan yang berterusan, akhirnya akan membuahkan hasil.

6. Jangan sinis

Wahai ketua, berterus terang itu lebih baik, berbanding sinis. Kedua duanya pasti melukakan. Namun sinis itu lebih teruk kecederaannya pada hati.

7. Ucaplah terima kasih walaupun pada tugas yang kecil

Walaupun ia nampak kecil, kesannya sangat besar kepada hati. Orang bawahan akan dapat melihat ketuanya itu teliti dalam menilai, termasuk dalam hal yang kecil pada pandangan mereka. Ia akan mendorong pekerja itu untuk terus memberi tanpa mengira sebesar mana sumbangannya.

8. Ucaplah maaf jika tersilap

Wahai ketua, kerendahan hati adalah sifat Rasulullah SAW. Jika ini yang diamalkan, tenanglah hatimu dan bertambahlah rasa hormat orang kepadamu. Tidak kalah orang yang meminta maaf dan tidak menang orang yang sombong.

Rata-rata netizen bersetuju dan berpandangan yang sama.

Rindu Guru Besar Salina Amin

Pemimpin yang hebat

Tanpa orang bawahan,orang di atas tidak mungkin dapat menyelesaikan semua kerja

Artikel pilihan:

Jika murid anda kidal, ini yang perlu dilakukan...

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Tiga sebab ini perlu ada, jika mahu jadi guru yang cemerlang dan bernilai