Keputusan SPM 2017 telah pun diumumkan pada minggu lepas dan Alhamdulillah keputusan keseluruhan meningkat dengan Gred Purata Nasional bertambah 4.90 berbanding 5.05 pada tahun 2016.

Saya pasti ibu-bapa dan anak-anak kini sibuk merancang hala tuju pendidikan pasca SPM, memilih jurusan serta pilihan pembiayaan pelajaran yang sesuai.

Buat mereka yang telah berjaya mendapatkan keputusan cemerlang, sukacita saya ingin kongsikan antara pilihan yang kerajaan sediakan dari segi pembiayaan pendidikan buat pelajar-pelajar lepasan SPM.

Pertama sekali, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mewujudkan Program Khas Jepun, Korea, Jerman dan Perancis untuk menaja pelajar-pelajar cemerlang yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang antara lain, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains soial.

Permohonan untuk program ini akan dibuka mulai 19 hingga 26 Mac 2018.

Selain itu, pelajar-pelajar yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ juga boleh memohon untuk dipertimbangkan bawah Program Penajaan 9A+ yang akan dibuka mulai 19 Mac 2018.

Pelajar-pelajar yang layak akan mendapat tajaan untuk melanjutkan pengajian ke universiti-universiti awam dan swasta di dalam negara yang telah ditetapkan dalam pelbagai bidang.

Permohonan dan maklumat lanjut berkenaan program-program di atas boleh diakses di pautan ini.

 

NajibRazak.com

Ini hanyalah sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan Kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar mendapatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Dalam Bajet 2018, saya telah umumkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk pemberian biasiswa bawah Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

RM90 juta pula telah diperuntukkan untuk Program MyBrain memanfaatkan 10,600 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran. Lebih daripada itu, penuntut IPT dalam negara juga akan menerima manfaat Bantuan Baucar Buku sebanyak RM250.

Untuk makluman semua, sejak tahun 2009, kerajaan telah menyediakan peruntukan biasiswa sebanyak RM44 bilion sebagai pelaburan untuk membina modal insan, memastikan anak-anak yang merupakan aset negara berupaya untuk merealisasikan potensi sebenar mereka.

Sesungguhnya melalui pendidikan juga, anak-anak yang kurang bernasib baik mampu mengubah hidup mereka dan keluarga kepada tahap yang lebih baik.

Dengan usaha gigih dan bantuan kerajaan, seorang anak peneroka Felda, nelayan atau petani kini mampu berjaya sebagai seorang profesional seperti jurutera, akauntan, doktor ataupun peguam.

Konsep mobiliti sosial ini akan terus diperjuangkan bagi membina satu masyarakat dan negara yang adil dan inklusif.

Saya harap peluang biasiswa ini tidak dipersia-siakan oleh anak-anak kita, rebutlah peluang ini untuk melakar masa depan dan jadikanlah ia sebagai satu platform untuk menyumbang kembali kepada negara pada masa hadapan.