Guru Cemerlang Hifz al - Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ustaz Ismail Salleh berkongsi tip penting kepada pelajar yang mahu menjadi penghafaz al-Quran.

Berkata kepada GPS Bestari, Ustaz Ismail memberitahu, golongan huffaz perlu ada perkara ini, jika mahu mengekalkan ingatan hafazan.

Ikuti perkongsian beliau...

**********

Kepentingan mengekalkan ingatan hafazan al-Quran

Banyak hadis Nabi Muhammad SAW yang merakamkan epistemologi asas tentang kelebihan para penghafaz al-Quran, di antaranya sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota yang indah dan ibu-bapanya  akan dipakaikan pakaian yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia, lalu mereka bertanya: “mengapakah kami diberi pakaian seperti ini?. Allah menjawab “kerana anak kamu mempelajari al-Quran”. Kemudian  dikatakan  kepadanya: “bacalah dan naiklah ke tingkat  syurga dan bilik-biliknya. Dia akan terus naik  selama dia membaca (ayat al-Quran) - (HR Ahmad).

Di atas kesedaran itulah institusi tahfiz yang menawarkan aliran tahfiz dan akademik seperti SMKA Ulul Albab dan MRSM Ulul Albab menjadi pilihan utama ibu-bapa untuk menghantar anak-anak mereka bagi meneruskan pengajian di peringkat menengah.  

Namun timbul persoalan sejauhmanakah ingatan hafazan seseorang hafiz itu dapat dikekalkan.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud:

“Celakalah bagi sesiapa  yang berkata “aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian,” bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya.”

Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas dari talinya (HR Bukhari & Muslim).

Demi menjamin pengekalan ingatan hafazan, beberapa metodologi penting perlu dititikberatkan oleh para hafiz al-Quran.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang hafiz untuk mengulang bacaan mereka setiap hari. Tanpa pengulangan ayat-ayat al-Quran, hafazan akan lupa secara beransur-ansur sekalipun seseorang itu mempunyai ingatan yang kuat.  

Dalam mengulang-ulang hafazan yang telah lama di hafaz, saya ingin memberikan beberapa peringatan penting kepada penghafaz al-Quran.

a) Untuk lebih mendisiplinkan diri dalam pengulangan hafazan, seharusnya seorang hafiz hendaklah menanamkan keyakinan bahawa memelihara dan menjaga hafazan ayat suci al-Quran adalah suatu kewajipan istimewa yang ada hubungan secara langsung dengan Allah SWT

b) Adalah menjadi suatu kesalahan bagi seorang hafiz sekiranya dia mempunyai semangat bermusim dalam mengulang kaji hafazan. Janganlah sekali-kali mengulang satu kali khatam dalam satu hari ketika rajin kemudian dalam masa yang lama seperti tiga atau empat minggu tidak melakukan pengulangan kerana dilanda perasaan malas.  

c) Kebiasaan menunda dan menangguhkan pengulangan(murajaah) hanya akan menambah perasaan malas pada hari yang berikutnya. Hal ini sebenarnya merupakan pembawaan nafsu malas itu sendiri yang mengajak kepada menangguh-nangguhkan tugasan dari satu masa ke masa yang berikutnya. Untuk mengelakkan kemalasan ini, usaha pengulangan hendaklah dijadikan kewajipan khas setiap hari pada satu masa yang telah ditentukan sebagaimana ketentuan waktu di dalam solat lima waktu.   

Tiga perkara di atas adalah sangat penting untuk diambil berat oleh golongan huffaz yang ingin berjaya dengan cemerlang dan mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat kelak.

Ustaz Ismail

Berikut adalah beberapa kaedah atau metodologi asas yang boleh diamalkan bagi mengekalkan hafazan iaitu:   

1) Bergaul dengan mereka yang telah menjadi hafiz dan kuat ingatannya.   Kebiasaannya pada suatu tahap tertentu akan timbul rasa jemu dan malas untuk mengulang kaji hafazan walaupun pada awalnya semangat tersebut amat berkobar-kobar. Oleh itu memilih rakan hafiz al-Quran yang kuat ingatannya dapat membantu seseorang itu untuk lebih konsisten dalam mengulang-ulang ayat-ayat al-Quran kerana wujudnya semangat persaingan untuk berlumba-lumba membacanya. Selain itu, mereka juga  berperanan sebagai pemberi motivasi kepada seseorang yang mula malas dan lesu untuk mengulang hafazan.   

2) Mendengar bacaan  qori atau imam-imam seperti Syeikh Masyari, Syeikh Abdul Rahman Sudais dan sebagainya. Hal ini boleh dilakukan dengan mendengar radio ataupun cakera padat al-Quran. Amalkan proses mendengar ini dalam kehidupan seharian. Sekiranya ingin memperolehi manfaat yang lebih banyak, seseorang hafiz itu boleh mendengar dengan teliti bacaan-bacaan yang diperdengarkan dengan memerhatikan hukum-hukum tajwidnya, ghunnah-ghunnahnya serta alunan irama bacaannya.  Proses ini secara tidak langsung dapat mengekalkan hafazan yang kita telah hafaz.

3) Mengulang hafazan bersama rakan. Cara ini merupakan cara popular yang digunakan oleh para ulama zaman dahulu untuk mengingati ilmu yang telah mereka pelajari. Begitu juga bagi seorang hafiz yang melakukannya secara konsisten, hafazan al-Quran lebih mudah dikekalkan. Malah pada masa yang sama, ketika berlaku ketidaklancaran pada bacaan salah seorang antara mereka, rakannya dapat membetulkan bacaan tersebut.

4) Selalu membaca ayat yang dihafaz di dalam solat.   Seringkali membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam solat sudah tentu akan memudahkan dan melancarkan lagi hafazan seseorang. Ini kerana suasana solat itu sendiri memerlukan konsentrasi dalam melaksanakan ibadat tersebut. Maka seorang hafiz perlulah membuat pengulangan bacaan yang intensif dan melapangkan waktu yang agak panjang. Walaupun demikian, ini bukanlah bermakna tidak terdapat langsung kesalahan seperti kesilapan bacaan ataupun terlupa ayat yang hendak dibaca semasa membacanya di dalam solat. Namun apabila perbuatan ini menjadi rutin, lama-kelamaan akan terhasil juga satu sistem hafazan ayat-ayat suci al-Quran yang amat lancar.

5) Menyertai Majlis Menghafaz al-Quran. Hasil pengalaman penulis, dengan mengikuti pertandingan seumpama ini menyebabkan seseorang itu mendapat motivasi untuk mengulang hafazannya secara berulangkali. Ini kerana pertandingan tersebut dianggap satu suasana ujian yang amat genting. Melalui pertandingan yang disertai ini, penghafaz bukan sahaja dapat menguji kemampuannya dalam menghafaz ayat al-Quran malah turut memperolehi pengalaman yang berharga apabila dapat bertukar-tukar ilmu dan buah fikiran dengan peserta daripada daerah dan negeri lain.

Artikel menarik

‘Saya dah siapkan kerja sekolah cikgu, tapi…’ – Air mata warganet tumpah!

‘Cikgu, Sejarah susahlah! Macam mana nak ingat dan hafal’ – Ini antara keluhan popular pelajar beri