TRANSFORMASI dunia penyiaran hari ini berkembang seiring dengan kepesatan teknologi maklumat dan informasi.

Kini maklumat dapat disiarkan dengan mudah dan pantas melalui peranti-peranti yang serba canggih.

Begitu juga dengan pembikinan siaran, jika dahulu producer memerlukan peralatan yang besar dan berat, hari ini semua orang boleh menjadi seorang producer menggunakan telefon bimbit untuk membuat rakaman.

Pada hari ini, ramai penduduk dunia telah memiliki akaun youtube sebagai platform video malahan terdapat youtuber telah menjana kewangan dari halaman itu.

Tidak mustahil, pendidikan kita akan menjurus ke arah penggunaan video sebagai bahan pembelajaran.

Terdapat perbezaan antara siaran kanak-kanak dengan siaran umum dari aspek garis masa yang singkat, papan cerita yang ringkas dan cara penyampaian yang santai.

Elemen-elemen ini penting kerana kanak-kanak akan memproses maklumat melalui kaedah visualisasi untuk memahami perkara yang dilihat.

Oleh yang demikian, gaya pembelajaran visual sesuai dilaksanakan dimana proses pembelajaran ini meningkatkan pemahaman dan pengetahuan melalui peralatan visual (Sless, 1981).

Jika kita lihat anak-anak kecil lebih mudah berkomunikasi apabila mereka menonton video-lagu seperti Didi and Friends.

Pengintegrasian bahan visual-audio sangat membantu dalam meningkatkan kemahiran bahasa khususnya kemahiran lisan kanak-kanak (Cakir, 2006).

Kemahiran literasi ini amat penting untuk dikuasai oleh kanak-kanak terlebih dahulu kerana tanpa kemahiran ini mereka sukar untuk pendidikan seterusnya (Adam, M. A., Mohd Yusof , S., & Rahim Hamdan, A., 2019).

Pembelajaran berasaskan video merupakan pendekatan yang sinonim dengan gaya pembelajaran visual.

Pembelajaran berasaskan video sebagai technology enhance learning (TEL) yang paling berkesan sebagai sumber pembelajaran dalam pembelajaran atas talian (Yousef, Chatti & Schroeder, 2014).

Penggunaan video membolehkan murid menvisualkan sesuatu yang dipelajari dengan mudah dan jelas.

Sebagai contoh, sukar bagi kita untuk bercerita tentang situasi angkasawan di stesen antarabangsa angkasa lepas (ISS).

Melalui penggunaan video, paparan situasi dan keadaan kerja angkasawan membolehkan murid membina pengetahuan sendiri tanpa memerlukan kos untuk ke sana.

Pada hari ini, pembelajaran berasaskan video sudah menjadi trend dalam dunia pendidikan di Malaysia.

Kemajuan teknologi menyediakan ruang kepada guru untuk menghasilkan video pembelajaran dan dimuat naik ke halaman youtube.

Malahan, guru juga boleh menyertai cikgootube yang bukan sahaja menghimpunkan  sumber bahan pengajaran malah ia sebagai wadah perkongsian bagi meningkatkan kompetensi guru dalam pedagogi.

Usaha murni ini seharusnya dilaksanakan secara berterusan walaupun kelak tempoh perintah kawalan pergerakan ini akan tamat.

Pengetahuan dan kemahiran teknologi akan lebih mantap jika pengimplimentasian dilakukan secara kerap.

Dalam menghasilkan video pembelajaran, perancangan guru amat penting bagi memastikan isi kandungan pembelajaran berasaskan penjajaran konstruktif agar pembelajaran murid lebih berpandu, tersusun dan bermakna.

Penjajaran konstruktif merujuk kepada pendekatan yang digunakan untuk merangka kaedah/aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta  tugasan pentaksiran  yang mengaitkan secara langsung hasil pembelajaran  yang ingin dicapai.

Guru juga perlu merancang dan menentukan Isi kandungan supaya video yang dihasilkan ringkas dan padat serta memenuhi objekti pembelajaran.

Di samping itu, fitur tambahan seperti muzik latar, grafik, gambar dan lain-lain perlu dikawal penggunaannya supaya ia tidak menjadi penganggu kepada murid.

Walaubagaimana pun, penggunaan sari kata adalah fitur yang perlu digunakan bagi menyokong kepada audio penerangan guru.

Para guru sekalian, video merupakan sebuah peralatan pembelajaran yang efektif dalam era pendidikan moden.

Pendekatan pembelajaran berasaskan video boleh diterima oleh semua peringkat usia tidak kira tua atau muda. Kita lebih mudah untuk belajar melalui video.

Tetapi video yang bagaimana? Keberkesanan pembelajaran ini bergantung kepada perancangan guru dalam menghasilkan video pembelajaran yang memenuhi objektif pembelajaran.

Kita  perlu rajin untuk belajar dan meneroka daripada producer video pembelajaran di youtube seperti Masterclass.

Jangan kita lihat pada perbezaan bidang, tetapi lihat kepada persamaan pendekatan yang digunakan iaitu pembelajaran berasaskan video.

Teknologi itu memudahkan, membuka ruang kreativiti, bukan menyulitkan.

 

Bibliografi

Yousef, A. M. F., Chatti, M. A., & Schroeder, U. (2014). The state of video-based learning: A review and future perspectives. Int. J. Adv. Life Sci, 6(3/4), 122-135.

Adam, M. A., Mohd Yusof , S., & Rahim Hamdan, A. (2019). The Effect of Using The Manual of Collaborative Teaching Approach to Mastering the Basic Standard of Writing Malay Language. Journal of Research in Psychology, 1(3), 10-12.

Cakir, I. (2006). The use of video as an audio-visual material in foreign language teaching classroom. The Turkish Online Journal of Educational Technology, 5(4). Retrieved December 26, 2016 from http://tojnet.net/articles/v5i4/549.pdf

Sless, D. (1981). Learning and visual communication. London: Croom Helm London.

Oleh:

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Dr Mohd Asnorhisham Adam

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Pasir Gudang, Johor

Tip menarik:

Guru Cemerlang Geografi sediakan dua latihan mudah untuk pelajar jawab sepanjang PKP

50 latihan peribahasa disediakan Guru Cemerlang SBP Integrasi Kubang Pasu

Guru Cemerlang kongsi kuiz subjek Sains untuk pelajar Tingkatan Tiga dan Lima jawab

Ustazah Zulfa sediakan 10 soalan mudah untuk calon UPSR jawab – Boleh rujuk buku teks

Cikgu Mohd Azif kongsi set latihan Fizik untuk calon SPM ulangkaji sepanjang PKP

Latih tubi soalan objektif Matematik SPM 2020 – Perkongsian Guru Cemerlang