FORUM Ekonomi Dunia (World Economic Forum) telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan  lebih baik dalam bidang pendidikan dari 141 buah negara di seluruh dunia pada tahun 2018.

Berdasarkan laporan terbaharunya, Malaysia menduduki tangga ke-19 lebih baik daripada negara maju seperti United Kingdom (UK) di tangga 20, Perancis (26), dan Jepun (31).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, kualiti pendidikan Malaysia, berada di tangga kedua  selepas Singapura (1), Indonesia (3), Thailand (4), dan Vietnam (5).

Ini meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kompetatif dan progresif. Malaysia juga merupakan negara pilihan dalam kalangan negara Arab dan Asia Ocenia untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Penekanan lebih meluas dalam pembangunan sektor pendidikan  misalnya turut menjadikan Malaysia  setanding dengan Singapura bagi rantau Asia Tenggara, turut menjadikan sistem pendidikan Malaysia adalah setanding Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.

Komitmen dan tujahan oleh kerajaan Malaysia yang memberikan  keutamaan kepada aspek pendidikan,  menjadikan kualiti pendidikan terus berada di landasan yang baik.

Suasana kondusif serta prasarana terbaik di sekolah dan pusat pengajian tinggi, disokong dengan  peningkatan kurikulum terkini, menjadikan kualiti pendidikan diiktiraf di antara terbaik di dunia.

Pencapaian tersebut sebenarnya mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menentukan bahawa setiap rakyat menerima pendidikan  berkualiti dan tidak disisihkan daripada sistem persekolahan, kerana Malaysia yakin menerusi pembangunan modal insan akan dapat melonjakkan pencapaian sebagai negara maju pada tahun 2020.

Inisiatif Kementerian Pendidikan di peringkat sekolah rendah telah  membuktikan bahawa program Linus (Literasi dan Numerasi) kepada  kanak-kanak darjah 2 menunjukkan peningkatan yang besar, iaitu 97.5 peratus kadar literasi dan 98.6 peratus kadar numerasi.

Bagi kanak-kanak yang berada  di tahun 1 bagi kohort ke-2, kadar literasi ialah 91 peratus manakala kadar numerasi ialah 95.4 peratus.

Pengukuran kadar literasi dan numerasi ini dapat membantu usaha mengesani murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran pada peringkat awal.

Kita di Malaysia percaya dengan teori bahawa guru dan pendidik  yang berkualiti melahirkan muridmurid berkualiti, atau pendidikan yang berkualiti melahirkan generasi manusia dan masyarakat yang berkualiti.

Justeru, warga pendidik mestilah mendapat imbuhan serta ganjaran setimpal bagi menghasilkan kualiti pendidikan yang berterusan.

Menurut Profesor Sufean  Hussin (2018), sebanyak 16 indeks atau kriteria global digunakan untuk kita mengetahui dan memahami kedudukan Malaysia secara komparatif dengan negara lain di dunia.

Di antaranya adalah literasi asas, literasi pelbagai budaya, literasi nilai moral /agama, literasi estetika dan tatasusila, literasi ekonomi dan kewangan serta literasi sains dan teknologi.

Sebenarnya kejayaan ini juga berpaksikan kepada falsafah pendidikan di Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,  berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. 

Ukuran-ukuran yang dibuat itulah telah melonjakkan kedudukan  Malaysia sebagai sebuah negara 'tiger' yang sedang mengalami transformasi  pendidikan berkesan dan mampu bersaing di peringkat global.

Bagi meneruskan usaha menambah baik kedudukan daya saing di peringkat global, terutamanya dalam  pendidikan rendah dan menengah, Malaysia sentiasa membuka ruang kepada semua pihak untuk membantu memperkenalkan pelbagai penambahbaikan.

Ini adalah sesuatu yang amat penting kerana bidang pendidikan sentiasa berkembang dan amat bergantung kepada perubahan persekitaran.

Dengan komitmen warga pendidik, pemimpin masyarakat dan ibu bapa mampu menyumbang idea bagi membentuk sebuah blueprint pendidikan yang bakal mencorakkan arah tuju sistem  pendidikan pada masa hadapan.

 

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman,

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM.