ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menafikan makam lama dengan nisan purba ditemui di  Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda milik Merong Mahawangsa.

Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, makam ditemui itu kemungkinan adalah makam pemerintah Kota Bukit Meriam yang juga merupakan Sultan Kedah terawal.

“Ketika zaman pemerintahan Kota Bukit Meriam, ia ditadbir Sultan Kedah pertama, iaitu Sultan Mudzafar Shah I (1136-1179), diikuti Sultan Mu’adzam Shah (1179-1202) dan Sultan Muhammad Shah (1202-1236).

“Merong Mahawangsa beragama Hindu sementara Sultan Kedah pertama, Sultan Mudzafar Shah I beragama Islam,” katanya.

Batu nisan diperbuat dari batu kawi yang berwarna kemerahan.

Wan Shamsudin berkata, Sultan Mudzafar Shah I dikenal sebagai Paduka Sri Darbar Raja sebelum memeluk Islam dengan bantuan Syeikh Abdullah Yamani.

Kata beliau, Sultan Mudzafar Shah I memeluk Islam selama 44 tahun merupakan antara orang yang bertanggungjawab mengembangkan Islam di Kedah.

“Yang keduanya, zaman Merong Mahawangsa dan zaman Sultan Mudzafar Shah I wujud pada zaman yang betul-betul berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Jelasnya, Merong Mahawangsa yang berasal dari Parsi dipercayai hidup sezaman dengan Nabi Sulaiman, manakala Sultan Mudzafar Shah I pula ketika 1136

.“Merong Mahawangsa hidup zaman sebelum Islam, iaitu sekitar ribuan tahun lampau, bagaimanapun Sultan Mudzafar Shah I hidup zaman pra Islam, iaitu kira-kira lebih 800 lepas," katanya.

Wan Shamsudin menunjukkan bentuk mata wang perak dicipta Sultan Kedah Ke-3, Sultan Muhamad Shah yang boleh dijadikan bukti.

Menurut Wan Shamsudin, Merong Mahawangsa hanya dikisahkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang tidak memiliki bukti jelas dan berbentuk mitos. Bagaimanapun, kata beliau, kisah Sultan Mudzafar Shah I dicatatkan dalam Kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah merupakan sumber lebih dipercayai.

Katanya, selain itu, penemuan mata wang perak dicipta Sultan Kedah ke-3, iaitu Sultan Muhamad Shah merupakan bukti terbaik ia bukan Makam Merong Mahawangsa kerana mata wang Islam pertama Kedah.

Wan Shamsudin berkata, makam salah seorang pemerintah Kota Bukit Meriam tidak pernah ditemui, sehinggalah dijumpai di tanah lot persendirian milik penduduk di Kampung Bukit Berangan sebelum dipindahkan ke Masjid Sintok Bugis.

Katanya, makam berusia 839 tahun berkenaan itu berkemungkinan milik Sultan Mudzafar Shah I yang mangkat pada 20 Julai 1179 dan disemadikan di Langgar (Makam) Diraja Bukit Meriam.

Dipercayai milik Sultan Mudzafar Shah I

Sementara itu, Ketua Penyelidik Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas PSMCK, Syamsul Anuar Ismail berkata, penemuan baharu itu sekali gus menolak penemuan makam Sultan Mudzafar Shah I di Kampung Pengkalan Bujang.


 

SYAMSUL

Kata beliau, batu nisan terdapat di makam berkenaan diperbuat daripada batu kawi yang belum pernah ditemui di Kedah, malah juga di Semenanjung Malaysia, sedangkan batu di makam di Kampung Pengkalan Bujang dari jenis Samudera-Pasai.

Menurutnya, tiada tulisan yang menyatakan nama ataupun tarikh, sekali gus amat sukar menentukan siapakah pemilik sebenar makam itu.

Pun begitu, katanya, wujudnya gelaran Keramat Tok Wahid di kawasan perkuburan di Kampung Berangan di Kota Bukit Meriam, sekali gus ia sedikit sebanyak menambah kebarangkalian terdapat seorang pemimpin awal.

Sekumpulan ahli PSMCK melawat makam dipercayai milik Sultan Mudzafar Shah I. Batu nisan diperbuat daripada batu kawi yang berwarna kemerahan.

Dalam bahasa Arab, wahid bererti pertama dan ia mengaitkan kepada Sultan Mudzafar Shah I sebagai Sultan Kedah pertama.

Kaji selidik itu turut disertai ahli jawatankuasa Biro Kaji Selidik PSMCK, penyelidik Muzium, wakil Jabatan Warisan Negara Zon Utara, ahli Kerabat Diraja dan penuntut UUM.